Oleh pada 28 Nov 2022 kategori

Dengan lebih 15,000 ke 18,000 spesis baru hidupan ditemui setiap tahun, kesukaran menamakan jenis makhluk yang ditemui adalah perkara biasa.

Proses menamakan kategori spesis baru, kadangkala memerlukan penyelesaian yang kreatif dengan menggunakan nama tokoh atau selebriti terkenal dunia; solusi ini bukan saja memudahkan penyelidik bahkan memberikan pendedahan tentang spesis saintifik kepada masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda mendengar tentang lima spesis hidupan yang diklasifikasikan menggunakan istilah mewakili nama asal tokoh atau selebriti? Berikut adalah lima daripada banyak contoh yang ada.

1. Tosanoides obama

tosanoides obama

Tosanoides obama adalah seekor ikan berwarna jingga yang ditemui kali pertama sekitar tahun 2016 di kepulauan Monumen Lautan Nasional Papahānaumokuākea, terletak di bahagian barat laut Kepulauan Hawaii.

Nama Barrack Obama terpilih untuk diabadikan sebagai nama spesis ikan baru ditemui, sebagai menghormati usaha Obama memperluaskan kawasan garis sempadan yang ditetapkan semasa kerajaan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran beliau.

Selain ikan, nama Obama juga dijadikan label kepada sejenis lintah penghisap darah, didefinisikan sebagai Baracktrema obamai yang ditemui pada badan dua ekor kura-kura dalam tahun 2015.

Kura-kura itu semasa ditemui, hidup di negara kita.

2. Tasmanicosa hughjackmani

tasmanicosa hughjackmani hugh jackman

Tasmanicosa hughjackmani adalah nama saintifik sejenis labah-labah.

Dinamakan sempena aktor terkenal Hugh Jackman, nama biasa bagi labah-labah ini adalah 'wolverine wolf spider.'

Penyelidik memilih untuk menamakan spesis ini berdasarkan pelakon tersebut disebabkan bakat lakonan yang ditonjolkan Jackman dalam filem yang disertai beliau, selain daripada kerja-kerja amal dan kebajikan yang kerap beliau lakukan.

Dalam erti kata lain, penyelidik itu peminat utama beliau.

Tasmanicosa hughjackmani mampu melihat dalam gelap dengan cukup cemerlang, tanpa memerlukan sebarang kehadiran cahaya yang kita perlukan. Biasa hidup dalam tempat gelap, labah-labah ini mampu bertahan lebih setahun tanpa memerlukan sebarang pengambilan makanan.

3. Sericomyrmex radioheadi

sericomyrmex radioheadi radiohead

Sejenis spesis semut yang ditemui dalam tahun 2017 dua orang penyelidik bernama Ana Ješovnik dan Ted R. Schultz, di bahagian hutan Amazon yang terletak di Venezuela, diberikan nama Sericomyrmex radioheadi mewakili kumpulan rock Britain, Radiohead.

Spesis Sericomyrmex dalam keluarga semut mempunyai perbezaan yang ketara berbanding semut-semut lain. Tubuh semut dalam keluarga ini mempunyai bulu-bulu halus yang jelas kelihatan, sehinggakan semut dalam kategori ini turut digelarkan sebagai semut sutera.

Kumpulan Radiohead terpilih untuk dijadikan nama spesis baru ini disebabkan oleh usaha kumpulan ini yang cekal sejak awal lagi, berkempen menyedarkan orang ramai tentang bahaya pemanasan global yang sedang berlaku.

4. Meranoplus mosalahi

meranoplus mosalahi mohamed salah

Sama seperti penghormatan terhadap kumpulan Radiohead, sejenis spesis semut dalam keluarga Meranoplus dinamakan sebagai Meranoplus mosalahi - sempena pemain bola sepak Mesir, Mohamed Salah.

Dikategorikan sebagai semut pekerja dalam sistem organisasi hidupan itu, spesis ini ditemui sekitar tahun 2014 di Dhofar, Oman tetapi hanya lengkap diklasifikasikan tahun 2019.

Gemar duduk dalam kawasan hutan yang berumput tebal, Meranoplus mosalahi dikategorikan sebagai semut jenis perlahan pergerakannya, jauh berbeza berbanding individu yang namanya terpilih menjadi nama spesis semut ini.

5. Scaptia beyonceae

scaptia beyonceae beyonce

Apa agaknya perasaan penyanyi terkenal Beyonce, apabila mengetahui namanya diguna bagi menamakan sejenis spesis lalat? Scaptia beyonceae telah pun ditemui pada dekad 1980-an tetapi hanya dapat diklasifikasikan secara lengkap pada tahun 2011.

Ada kisah lucu kenapa nama Beyonce terpilih.

Scaptia beyonceae adalah lalat ditemui di Queensland, Australia dan jarang ditemui untuk penyelidikan. Uniknya, lalat ini mempunyai bahagian belakang yang berwarna keemasan, disebabkan oleh ketebalan bulu berwarna emas yang hanya tumbuh pada bahagian tersebut.

Oleh kerana sifat unik tersebut, salah seorang penyelidik yang bertanggungjawab menamakan spesis lalat ini memilih nama Beyonce...kerana kita semua tahu Beyonce terkenal dengan punggungnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)