langkawi kedah pulau legenda

Pernahkah anda mengetahui tentang satu bentuk perjanjian yang dilakukan di antara bandar atau daerah di negara kita, yang menjalinkan hubungan dengan bandar atau daerah di negara lain, bagi berkongsi budaya dan juga ekonomi sesama mereka?

Hubungan rasmi yang dinamakan 'bandar kembar' ini banyak diamalkan di seluruh dunia dalam mendekatkan lagi hubungan antarabangsa di antara bandar/daerah serta usaha memupuk keamanan, selain daripada menggalakkan lebih banyak aktiviti pelancongan dan perdagangan.

Secara rasminya, hubungan ini digelarkan sebagai 'diplomasi antara bandar' dan budaya ini sudah diamalkan sejak abad ke 19 di Eropah, sebelum diperluaskan lagi selepas tamat perang dunia kedua. Berikut adalah beberapa contoh bandar/daerah di negara kita yang mempunyai bandar kembar lain, di seluruh dunia.

1. Pulau Langkawi - Pulau Kish

pulau kish iran dan pulau langkawai

Gerakan untuk menghubungkan Pulau Langkawi di Malaysia dan Pulau Kish yang terletak di Iran, dimulakan semasa Kedah berada di bawah pemerintahan Menteri Besar Allahyarham Datuk Seri Azizan bin Abdul Razak pada tahun 2009. Kerajaan Iran mengumumkan minat untuk mempromosikan Pulau Kish yang terletak di Teluk Parsi, sebagai pulau kembar Langkawi.

Menyedari hakikat wujudnya potensi pelancongan yang besar, satu memorandum kesefahaman telah pun ditandatangani di antara kerajaan Kedah dan kerajaan Iran.

Bagaimanapun, tidak berlaku banyak usaha untuk menggiatkan hubungan yang telah terjalin di antara Pulau Langkawi dan Pulau Kish, menyebabkan kerajaan Iran mula menyatakan minat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pulau berkembar Pulau Kish pada tahun 2015.

2. Kota Bharu - Kasaoka

pelancong jepun melawat menara jam kasaoka

Kasaoka adalah sebuah bandar yang terletak di daerah Okayama di Jepun. Terletak di bahagian barat daya Jepun, Kasaoka terkenal sebagai pusat makanan laut. Hubungan di antara kedua buah bandar ini sebenarnya telah terjalin lama bermula pada 1999, dengan Menara Jam Kota Bharu telahpun dilancarkan oleh Yosuke Yoshioka, wakil kepada Bandar Kasaoka pada 29 Mei 2005.

Menara jam tersebut kemudiannya dialihkan untuk dibina semula di kawasan yang yang penduduk tempatan gelarkan dahulu sebagai 'Padang Bas,' bagi menaik taraf kawasan tersebut untuk dijadikan kawasan komersial. Pengumuman usaha ini telah dilakukan pada tahun 2015 dengan kawasan menara jam itu dipasang, kini digelarkan Laman Kabutogani.

3. Seremban - Bukittinggi

papan tanda seremban di bukittinggi

Berkongsi budaya yang hampir serupa dengan adat minangkabau menjadi penyatu kepada kedua-dua bandar, Seremban dan Bukittinggi mula menjalinkan hubungan diplomasi sebagai bandar kembar bermula pada 18 Januari 1985 lagi. Dalam deklarasi yang dipersetujui kedua-dua budah daerah, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus sama-sama berkongsi persaudaraan, kebudayaan, bahasa dan sejarah.

Banyak sebenarnya faedah yang telah pun diperolehi kedua-dua daerah hasil daripada hubungan ini, dengan pertukaran budaya dan pendidikan menjadi elemen penting perkongsian bersama. Sekiranya anda dapat berkunjung ke Bukittinggi, di tengah-tengah kota Bukittinggi ada satu mercu tanda yang dibina menandakan persahabatan yang telah terjalin sekian lama, di antara kedua-dua buah daerah.

4. Kuala Terengganu - Makassar

kuala terengganu dan makassar

Bandar Kuala Terengganu menjadi bandar kembar kepada bandar Makassar di Indonesia melalui satu perjanjian yang telah ditandatangani pada 9 haribulan Mei 2012, bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua bandar. Idea ini ditimbulkan oleh Kota Makassar sendiri berikutan wujudnya perkongsian budaya yang mirip serta sejarah yang saling berhubung kait.

Kedua-duanya berkongsi identiti yang sama, sebuah bandar pelabuhan yang pernah menghubungkan kapal-kapal pedagang berlayar dari Tanah Melayu, Sulawesi dan juga daripada China.

Bagaimanapun, perjanjian usaha sama pertukaran budaya di antara kedua-dua bandar ini tamat pada tahun 2015, sebelum Gabenor Sulawesi Selatan menyatakan minat untuk kembali menjalin hubungan dengan Kuala Terengganu, pada tahun 2017 dengan fokus Kuala Terengganu untuk menggalakkan lebih kerap pertukaran pelajar dilakukan.

5. Sibu ada 15 bandar kembar

sekolah wong nai siong di sibu

Jika sebelum ini kami berkongsi tentang bandar di Malaysia yang mempunyai satu bandar kembar lain, bagi Sibu pula berbeza, Setakat ini, Sibu mempunyai 15 bandar kembar dengan kesemuanya berada di China namun bandar kembar Sibu yang paling terkenal adalah bandar Foochow/Fuzhou.

MIgrasi penduduk dari Foochow, China ke Sibu semasa zaman penjajah memerintah Sarawak satu masa dulu pada abad ke 19, membuatkan penduduk Foochow merupakan antara komuniti besar di Sibu. Kisah penduduk Foochow hadir di Sibu, bermula selepas kerajaan China mula menindas penganut agama Kristian ekoran ancaman ke atas agama Confucius di China.

Wong Nai Siong, seorang pemimpin komuniti di Foochow membawa lebih 1000 orang penduduk Foochow berpindah ke Sibu bagi membuka penempatan baru di kawasan tersebut, pada tahun 1902. Dua tahun kemudian, tindakannya melawan arahan penjajah membuatkannya dihalau keluar , meninggalkan Sibu yang telah diusahakannya selama hampir dua tahun.

Selain Foochow yang mempunyai sejarah panjang dengan Sibu, 14 bandar lain yang menjalinkan hubungan dengan Sibu adalah Bozhou, Fuqing, Guangning, Gulou, Gutian, Jintang, Minqing, Nanping, Ningde, Pingnan, Putian, Puyang, Qinghe dan Wuyishan.

6. Kota Kinabalu, Bandaraya Melaka dan bandar berkembar lain

portuguese square melaka sama seperti lisbon

Selain Sibu, Kota Kinabalu juga tak kurang hebatnya dalam hubungan diplomasi peringkat bandar -  dengan menjalinkan hubungan bersama 13 bandar kembar. Lima dari China iaitu Hangzhou, Heyuan, Jiangmen, Wuhan dan Zhangjiagang, Rockingham di Australia, Vladivostok di Russia, Yeosu dan Yongin dari Korea Selatan, Taipei dan Taoyuan dari Taiwan, Ratchaburi dari Thailand dan yang terakhir Portland dari Amerika Syarikat.

Bandaraya Melaka pula mempunyai 11 bandar antarabangsa yang berkongsi status sebagai bandar berkembarnya. Bandar Changsha, Guangdong, Haikou dan Nanjing dari China, Valparaiso dari Chile, Kota Tua dari Indonesia, Vigan dari Filipina, Hoorn dari Belanda, Kirishima dari Jepun dan Lisbon dari Portugal.

Sebenarnya, ada banyak lagi bandar berkembar di negara kita yang menjalinkan hubungan diplomasi secara terus dengan bandar atau daerah lain di serata dunia. Sebagai contoh, Johor Bahru dengan Istanbul, Kuala Lumpur dengan banyak bandar lain seperti Ankara, Dubai dan Isfahan, Petaling Jaya dengan Asan di Korea Selatan dan Bandung di Indonesia serta banyak lagi hubungan diplomasi peringkat bandar yang diwujudkan.

Hubungan 'bandar berkembar' ini bukan saja terjalin secara antarabangsa, malahan boleh juga berlaku pada peringkat tempatan. Johor Bahru dan Kuching adalah salah satu bandar berkembar dalam negara kita, selain Kuala Lumpur dengan Bandaraya Melaka yang dinobatkan bandaraya kembar pada tahun 1989.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)