Dalam apa jua peperangan sekalipun, kebiasaannya beberapa orang perisik atau pentintip akan dihantar untuk melakukan tugas-tugas mendapatkan maklumat sulit pihak musuh, sekaligus memudahkan musuh dikalahkan apabila segala perancangan mereka mudah dipatahkan melalui maklumat sulit yang sudah diperolehi.

Dalam konflik Palestin-Israel juga, pihak Israel mempunyai unit pengintip mereka sendiri yang secara umumnya dikenali sebagai Musta'ribeen. Sekali pandang, tiada siapa yang akan menyangka bahawa golongan Musta'ribeen ini adalah orang Israel.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka ini kebiasaannya berpakaian seperti orang Palestin, mampu bertutur dalam dialek seperti orang Palestin malah lentok tubuh dan gaya hidup mereka juga seperti orang Palestin biasa. Kebiasaanya mereka ini akan memakai kain bercorak kotak-kotak yang juga dikenali sebagai keffiyeh atau balaclavas.

Dihadapan askar Israel juga, mereka berpura-pura sebahagian daripada orang Palestin yang menentang Israel. Malah, mereka juga tidak malu untuk berada di barisan hadapan sambil menjerit mesej-mesej kebencian terhadap Israel dan membaling batu-batu kecil terhadap askar Israel.

Namun, apa yang dilakukan mereka sebenarnya adalah untuk membuat helah agar para penentang Israel ini semakin rapat dengan askar Israel. Apabila kumpulan orang Palestin yang menentang Israel ini semakin rapat, ketika inilah askar Israel akan menggunakan kekerasan sementara ahli Musta'ribeen akan mengeluarkan senjata daripada pakaian mereka untuk menyerang orang Palestin.

Menyamar sebagai orang Arab

perisik israel

Musta'ribeen atau mista'arvim dalam bahasa Henbrew berasal daripada perkataan bahasa Arab "musta'rib" yang membawa maksud individu yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Arab dan budara Arab.

Dalam kalangan pasukan tentera Israel, Musta'ribeen merujuk kepada pasukan khas yang akan menyamar sebagai orang Arab yang akan menjalankan pelbagai misi khas di Palestin dan pelbagai negara Arab lainnya. 

Ejen Musta'ribeen bukan calang-calang individu. Mereka akan dilatih untuk menyertai pelbagai latihan yang spesifik untuk misi dan lokasi yang akan dihantar. Sekiranya mereka akan dihantar untuk misi di Palestin, mereka akan dihantar untuk mempelajari bahasa, budaya dan cara hidup seperti orang Palestin.

Antara misi utama mereka adalah mendapatkan maklumat sulit musuh, menahan rakyat Palestin, menimbulkan huru-hara dan melakukan misi anti-pengganas (dalam hal ini, mereka menganggap orang Palestin yang menentang Israel sebagai pengganas.

Sejarah penubuhan unit khas Musta'ribeen

mossad 232

Walaupun kewujudan unit khas ini baru diketahui umum, sebenarnya Musta'ribeen bukanlah unit khas tentera Israel yang baru. Lebih menarik, unit in dipercayai sudah wujud pada tahun 1942 lagi, sebelum kewujudan negara haram Israel pada tahun 1950.

Unit ini pada awalnya adalah sebahagian daripada Palmach, sebuah bahagian elit daripada militan Haganah yang kemudiannya menjadi teras tentera Israel. Tidak banyak maklumat diketahui mengenai pasukan ini kerana mereka bergerak secara sulit.

Askar Israel kemudian membubarkan unit khas ini setelah operasi mereka ini telah diketahui umum. Walau bagaimanapun, pihak tentera Israel telah menubuhkan unit baru yang mempunyai visi dan misi yang sama.

Seseorang ejen Musta'ribeen juga sangat sukar dikesan. Hal ini adalah kerana mereka akan dilatih dengan dialek tempatan. Sebagai contoh, sekiranya mereka dihantar ke Palestin, dialek Palestin mereka mestilah umpama ianya bahasa utama mereka. Begitu juga sekiranya mereka dihantar ke negara Arab lain seperti Yaman dan Tunisia.

Dihantar menjalani latihan intensif

pengintip israel 42

Seseorang ejen Musta'ribeen dikehendaki untuk menjalani latihan khas antara 4 hingga 6 bulan untuk mempelajari pelbagai perkara termasuklah menguasai gaya hidup masyarakat tempatan dan agama mereka seperti berpuasa dan sembahyang. Secara keseluruhannya, seseorang ejen akan menjalani latihan intensif selaman 15 bulan, termasuklah latihan-latihan di lapangan seperti memandu, menembak dan bergerak secara selamat dalam kalangan rakyat Palestin.

Kebiasaannya seseorang ejen juga akan dilatih pelbagai teknik penyamaran seperti pemakaian rambut dan misai palsu agar kelihatan seperti orang tempatan. Bentuk fizikal tubuh badan mereka juga akan menentukan lokasi mereka akan dihantar.

Musta'ribeen merujuk kepada golongan ejen khas ini. Walau bagaimanapun, dalam kalangan tentera Israel, mereka dikenali dengan nama kod atau unit tertentu. Salah satu unit Musta'ribeen yang terkenal adalah Rimon yang ditubuhkan pada tahun 1978 dan kekal aktif sehingga tahun 2008.

Misi unit Rimon ini kebanyakannya tertumpu di bahagian Gaza (atau lebih tepat lagi Gaza Strip). Satu lagi unit popular yang beroperasi di Gaza adalah Shimson yang menjalankan misi disana antara tahun 80-an dan 90-an.

Salah satu unit Musta'ribeen yang masih kekal aktif sehingga hari ini adalah Duvdevan 217. Unit elit ini ditubuhkan ketika tahun 80-an oleh Ehud Barak yang ketika itu merupakan Perdana Menteri. Unit ini dikatakan masih aktif dikawasan Tebing Barat dan dikatakan antara yang paling aktif dan sukar dikesan.

Peranan Musta'ribeen dalam kumpulan protes rakyat Palestin

Kerana pakaian mereka yang menyerupai orang Palestin, ejen Musta'ribeen kebiasaannya sukar dikesan. Dalam protes terbaru pada Disember 2018 terhadap pengumuman Presiden Donald Trump untuk mengiktiraf Juruselam sebagai ibu negara Israel, peranan Musta'ribeen ini dapat dilihat dengan jelas.

Menurut salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian, 5 orang Musta'ribeen yang berpakaian seperti orang Palestin tiba-tiba mengeluarkan senjata yang disembunyikan dalam pakaian mereka dan menembaknya ke udara. Selain menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Palestin, ianya merupakan isyarat bagi mengarahkan askar Israel merempuh kumpulan yang memprotes ini.

Bagaimanakah askar Israel ini mengetahui kewujudan Musta'ribeen dalam kalangan rakyat Palestin yang sedang memprotes ini? Mudah. Antaranya adalah apabila tentera Israel tidak bertindak balas menembak atau membaling bom gas pemedih mata walaupun mereka dibaling dengan batu, itu bermakna ejen Musta'ribeen sudah berada dalam kalangan rakyat Palestin yang sedang memprotes.

Disebabkan kewujudan Musta'ribeen ini juga, rakyat Palestin nampaknya perlu semakin bijak untuk tidak terlalu agresif untuk mara terlalu hampir dengan askar Israel kerana mereka mungkin sudah termasuk perangkap golongan Musta'ribeen ini. Mereka perlu lebih berwaspada dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba membawa orang ramai berada terlalu hampir dengan askar Israel.

Selain itu, para peserta protes juga biasanya akan memasukan baru mereka ke dalam seluar bagi memudahkan mereka memudahkan mereka dibezakan dengan golongan Musta'ribeen yang biasanya akan menyorokkan senjata mereka di dalam baju.

Kreditm 

  1. Wikipedia
  2. Al-Jazeera
  3. TRT World



Hakcipta iluminasi.com (2017)