pengganas agama seluruh dunia

Dalam zaman sekarang, berikutan pengaruh media yang berjaya membentuk pemikiran masyarakat - apabila disebutkan saja perkataan 'terrorism' atau 'aktiviti keganasan', ramai di kalangan masyarakat dunia akan terus membayangkan berkenaan kumpulan militan Islam yang aktif melakukan perkara-perkara keji.

Persepsi ini diperkuatkan lagi dengan propaganda 'fobia Islam' atau 'Islamophobia' yang sering digembar-gemburkan, sedangkan realitinya setiap agama sebenarnya mempunyai kumpulan pengikutnya sendiri, yang akan bertindak melampaui batas hukum disebabkan oleh rasa taksub dan hilang kewarasan diri.

Kita biasa dengar berkenaan al-Qaeda, gerakan Taliban dan Hamas yang pada ketika ini, sering dikaitkan dengan insiden keganasan namun jarang benar kita memperkatakan tentang kumpulan pengganas agama lain, yang sebenarnya turut sama bergerak aktif dalam menyebarkan ketakutan di serata dunia.

Aktiviti keganasan penganut Buddha

pemimpin bbs di sri lanka

Dalam ajaran agama Buddha, wujud satu konsep yang sangat penting - dinamakan sebagai 'ahimsa' atau 'tidak sama sekali mencederakan individu lain' yang sepatutnya dipegang oleh setiap orang penganut agama Buddha. Malangnya, konsep itu tidak dipatuhi sepenuhnya sesetengah kelompok pengamal Buddha dengan kewujudan beberapa kumpulan ekstrimis Buddha, menggunakan topeng agama sebagai pelindung aktiviti kejam mereka.

Salah satu kumpulan ekstrimis Buddha paling terkenal adalah DKBA atau Democratic Karen Buddhist Army, yang beroperasi di Myanmar. Di ketuai oleh seorang sami Buddha bernama U Thuzana sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2018, DKBA yang aktif sejak tahun 1992 bersetuju untuk melakukan gencatan senjata pada tahun 2010 sebelum tugas mereka diteruskan oleh kumpulan baru DKBA-5, dengan kekuatan 10,000 orang askar.

bbs pengganas buddha sri lanka

DI Sri Lanka pula, sebuah kumpulan aktivis bernama Bodu Bala Sena atau BBS mula aktif sejak tahun 2012, diketuai oleh kumpulan sami Buddha terbesar di negara itu. Menuntut agar tampuk pemerintahan negara tersebut diberikan kepada mereka, impian BBS adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang berpaksikan kepada kelompok majoriti Hela, menjadikan Buddha sebagai agama rasmi sepenuhnya tanpa ada unsur luar cuba menukar cara hidup mereka.

Bagaimana dengan ekstrimis Kristian?

kumpulan aryan nation

Antara kumpulan ekstrimis Kristian yang paling terkenal, sudah pasti kumpulan Ku Klux Klan (KKK) yang mengalami turun naik nasib sejak abad ke 19 sehinggalah ke hari ini. Membawa pegangan Protestan sepenuhnya dan sangat anti ajaran Katolik, pengikut KKK tidak takut untuk bertindak ganas dalam merealisasikan impian mereka untuk membangunkan semula Amerika Syarikat sebagai sebuah negara mesra Protestan.

Selain KKK, salah satu kumpulan militan Kristian yang pernah aktif adalah CSA atau The Covenant, The Sword dan The Arm of the Lord yang merupakan pecahan gerakan sebuah gereja di Missouri, Amerika Syarikat. Dibentuk berdasarkan kepada hubungan mereka dengan pemimpin daripada KKK dan juga beberapa buah kumpulan lain. Mempunyai sistem latihan yang mampu melahirkan pembunuh yang berkemahiran tinggi, CSA bagaimanapun berjaya dibendung lebih awal selepas satu operasi berjaya memberkas kesemua pemimpin mereka pada tahun 1985.

Sebuah kumpulan yang masih aktif sehingga sekarang adalah Aryan Nation, sebuah kumpulan yang membawakan ideologi anti semitik dan berpegang kepada falsafah Nazi yang wujud sejak tahun 1970-an. Digelarkan sebagai kumpulan pengganas terbesar Kristian yang masih aktif, berikutan saiznya yang terlalu besar serta rangkaian individu yang merata luasnya - sehingga kini aktiviti Aryan Nation masih aktif walaupun dalam skala lebih kecil, berbanding dahulu.

Gerakan keganasan komuniti Hindu

rss kumpulan ekstrimis india

Sekiranya aktiviti keganasan di kalangan penganut agama lain jarang dapat dikaitkan dengan pemerintah, bagi komuniti Hindu di India pula lain ceritanya. Di negara tersebut wujud sebuah kumpulan NGO yang dinamakan sebagai Rashtriya Swayamsevak Sangh atau RSS, yang merupakan kumpulan NGO terbesar di India dan dunia. RSS pula dikatakan tulang belakang sebenar parti pemerintah India ketika ini, iaitu BJP.

Pengikut RSS percaya bahawa setiap penganut Hindu sebenarnya merupakan waris kepada keturunan bangsa Aryan yang megah satu masa dulu, jadi mereka percaya keamanan hanya akan boleh digapai sekiranya mereka dapat mewujudkan sebuah negara yang bersatu daripada segi kedudukan, bangsa dan budaya. Mengambil pendekatan keras, RSS pernah berhadapan dengan Mahatma Gandhi yang disifatkan sebagai pembelot serta pernah diharamkan British, ketika era kolonialisasi di sana.

rss ngo pemerintah india bjp

Punca kematian Gandhi juga adalah disebabkan oleh pembunuh yang dihantar oleh pihak RSS sendiri. Sehingga kini RSS terus terlibat dalam pelbagai jenis aktiviti keganasan yang dijalankan, antaranya tragedi pengeboman keretapi tahun 2007, pengeboman Masjid Mekah di Hyderabad tahun 2007 serta beberapa kejadian pengeboman yang berlaku. Bagaimanapun, berikutan perlindungan kerajaan India ke atas gerakan mereka - jarang sekali hukuman setimpal dapat dijatuhkan pada RSS.



Hakcipta iluminasi.com (2017)