Setiap hari beribu orang Palestin bangun ketika langit masih lagi gelap, bagi memulakan rutin perjalanan mereka bekerja di negara haram Israel.

Majoritinya melalui rutin sama lima atau enam hari seminggu, bangkit daripada lena seawal jam 3.30 pagi. Salah seorang yang menjalani kehidupan tersebut adalah seorang warga Palestin bernama Tarek al Taweel. Beliau bekerja sebagai seorang pekerja pembinaan, membina sebuah pangsapuri mewah di bahagian timur Jerusalem. Unitnya yang paling mahal mampu mencecah harga RM2.5 juta.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagi Tarek, pekerjaannya dianggap baik. Dia dibayar sebanyak 250 shekels atau RM285 sehari jauh lebih banyak berbanding bekerja di negaranya sendiri. Setiap hari Tarek bersama-sama ayah, pakcik dan abangnya merempuh dugaan perjalanan masuk ke Israel membantu membangunkan negara haram itu.

Mereka tetap mampu berbangga dengan hasil kemahiran mereka dalam pertukangan walaupun hasilnya dinikmati orang lain. Apa yang mereka benci, adalah apa yang perlu mereka lalui setiap hari untuk masuk ke Israel.

Bagai tawanan dalam negara sendiri

pekerja pembinaan palestin bina israel

Tentera Israel telah menjajah Palestin sejak lebih 50 tahun dahulu. Bagi individu seperti Tarek yang berumur 30 tahun, mereka tidak pernah hidup dalam sistem yang berbeza kerana semua regulasi Israel sudah menjadi sebahagian daripada sistem sosial mereka membesar. Sebagai warga Palestin, mereka seolah sudah menerima hakikat wujud dua sistem sosial yang berbeza dengan satu untuk warga Israel dan satu lagi untuk golongan seperti mereka.

Semua warga Palestin akan diuruskan oleh badan kawalan Israel bergelar Shin Bet, yang menyimpan semua informasi berkenaan warga Palestin pemegang permit pekerjaan untuk masuk ke Israel. Shin Bet juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang mana-mana warga Palestin daripada bekerja, masuk atau mendapatkan bantuan perubatan - walaupun tanpa sebarang sebab munasabah.

kerja palestin di israel

Permit pekerjaan dikeluarkan oleh Shin Bet kepada warga Palestin untuk bekerja, dengan syarat mereka masuk ke Israel pada awal pagi dan meninggalkan negara tersebut pada penghujung hari.

Setiap hari, 70 ribu warga Palestin akan bergegas masuk ke Israel melalui beberapa pintu, dengan Tarek kebiasaannya akan melalui 'checkpoint 300' untuk ke tempat kerja. Majoriti warga Palestin senasib seperti Tarek, bekerja dalam sektor pembinaan.

Setiap hari, Tarek dan ahli keluarganya bangun seawal mungkin untuk menyiapkan diri dan menempuh perjalanan selama 3 ke 4 jam agar tiba ke lokasi pekerjaannya di Jerusalem timur. Jarak sebenarnya pula hanyalah 32 km.

Israel memainkan peranannya

netanyahu shin bet

Pada mulanya Tarek dianggap tidak layak untuk bekerja di Israel, walaupun berkemahiran tinggi dalam bidangnya. Hanya selepas dia berkahwin barulah dia melayakkan diri mendapat pekerjaan di Jerusalem.

Israel adalah kawasan larangan bagi warga Palestin, melainkan kumpulan penduduk di bahagian timur Jerusalem yang diberikan kebenaran khas keluar masuk. Hanya wanita dan lelaki berusia 50 tahun dan 55 tahun ke atas dibenarkan masuk tanpa permit dari Tebing Barat, apabila semua sekatan dibuka.

Pekerja seperti Tarek pula diletakkan syarat perlu berusia 23 tahun, berkahwin dan mempunyai anak untuk mendapatkan permit kerja Israel. Atas sebab itulah kelahiran anak pertamanya yang dinamakan Azem membuka pintu rezeki baru buat Tarek.

tarek dan keluarganya

Tarek menimang anaknya sambil dilihat isterinya

Syarat seperti itu dikenakan pihak kerajaan Israel berikutan pandangan mereka merasakan individu yang sudah mempunyai anak seperti Tarek, berkemungkinan besar tidak akan melakukan aktiviti keganasan dan jenayah, kerana takut risiko kehilangan mata pencarian yang amat berharga untuk menyara keluarga di Palestin.

Permulaan pagi Tarek setiap hari

ribuan orang beratur lalu checkpoint israel

Sekitar jam 4.00 pagi, Tarek beserta enam orang lagi akan menaiki sebuah van yang menuju ke Bethlehem. Mereka kemudiannya akan tiba ke 'Checkpoint 300' yang turut sama dikenali dengan nama 'Checkpoint Rachel', terletak berdekatan dengan makam Rachel  - dipercayai salah seorang isteri kepada Jacob berdasarkan kisah dalam Bible.

Di situlah mereka perlu menyeberangi sekatan dinding konkrit setinggi 26 kaki yang dibina kerajaan Israel, sebagai sempadan wilayah memisahkan dua negara yang berbeza. Walaupun baru 5 pagi, kawasan itu sudah dipenuhi dengan barisan teksi, van dan bas yang menunggu giliran untuk masuk ke Israel. Tarek pula perlu beratur dan berjalan kaki, bersama pekerja-pekerja lain.

pekerja palestin panjat pagar

Mereka yang beratur, bersesak-sesak hanya ditemani lampu kalimantang yang menerangi mereka. Bagi yang berani - mereka memanjat pagar cuba memotong barisan yang sangat perlahan pergerakannya.

Situasi yang sempit itu bagi mereka yang terpaksa melaluinya sebagai rutin harian, merupakan pengalaman yang membahayakan nyawa. Insiden tolak menolak sehingga mengakibatkan kecederaan adalah perkara biasa. Individu yang pengsan sudah jadi kemestian. Ada juga beberapa orang meninggal dunia kerana dihimpit-himpit individu lain yang lebih besar dan lebih kuat.

Apa yang memalukan bagi Tarek, setiap hari pasti ada barisan pelancong berdiri di luar menangkap gambar mereka yang bersusah payah mahu pergi bekerja,  membuatkan dia rasa maruah warga Palestin yang beratur semua seolah-olah langsung tidak berharga.

Ada 13 pintu sekatan yang dibuka setiap hari bagi membolehkan kemasukan pekerja dari Palestin. Sekiranya ditanya pada mereka pintu mana yang paling teruk - majoriti bersetuju Checkpoint 300 adalah yang paling azab kerana keadaannya.

Semakin dekat dengan subuh, semakin kuatlah barisan pekerja saling tolak-menolak untuk dapat cepat sampai masuk ke Israel.

Melangkah ke Israel

warga palestin beratur lalu sekatan

Tarek melangkah pantas setelah mendekati pintu berpusing yang menjadi jalan keluar daripada kesesakan orang yang beratur.

Dia menanggalkan tali pinggangnya. Semua warga Palestin wajib menanggalkan barangan yang mereka pakai seperti jam, tali pinggang, cincin dan sebagainya untuk diimbas oleh pengimbas sebelum mereka sendiri perlu melalui mesin pengesan besi. Selepas lulus, setiap seorang perlu meletakkan jari pada mesin pengimbas jari bagi mengesahkan serta merekodkan kehadiran mereka hari itu.

Ketepatan masa amat penting bagi pekerja Palestin. Kebanyakan van yang mengangkut mereka akan bergerak meninggalkan Checkpoint 300 tepat jam 7 pagi. Seandainya mereka terlewat dan gagal menghadirkan diri ke lokasi kerja pada waktu sepatutnya, pendapatan mereka akan dipotong.

wajah sedih palestin hidup bawah israel

Gaji dan pendapatan mereka pula dikawal oleh ejen-ejen broker yang dilantik oleh pihak berkuasa Israel. Seandainya ada masalah pada kehadiran, sangat sukar untuk pekerja mempertahankan hak mereka kerana ejen-ejen ini diberikan kebebasan untuk melakukan potongan gaji tanpa sebarang peluang mempertahankan diri.

Tarek memakai semula tali pinggangnya.

Dia berlari mengejar van yang akan mengangkutnya ke lokasi pembinaan yang sedang diusahakannya ketika itu. Jam sudah melebihi pukul 7 pagi, menandakan sudah lebih 2 jam Tarek bersesak-sesak dalam koridor beratur untuk ke Israel hari itu.

Hampir saja dia terlewat tetapi nasib baiklah van tersebut masih ada bagi membolehkan Tarek kembali bekerja dalam negara Israel, yang dulunya menumpang tetapi kini menjajah negaranya.


Artikel ini adalah olahan dan terjemahan semula artikel A Palestinian’s daily commute through an Israeli checkpoint yang diterbitkan pada 25 Mei 2017.




Hakcipta iluminasi.com (2017)