Bagi kita di Malaysia, mungkin tidak ramai yang tahu tentang cerita berkenaan seorang lelaki bernama Nizar Banat.

Nizar seorang aktivis politik Palestin, menjadi nama yang dikenali di seluruh Asia Barat sekitar tahun 2021, kerana kritikan tajam garapannya terhadap Pihak Berkuasa Palestin atau Palestinian Authority (PA).

Konflik di antara beliau dengan kerajaan sendiri ini bagaimanapun berakhir dengantragis, selepas penangkapannya oleh pihak berkuasa Palestin didakwa mengakibatkan kematian semasa dalam tahanan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Siapakah Nizar Banat dan mengapakah dia menjadi antara individu paling lantang mengkritik PA dan apakah peristiwa yang membawa kepada kematiannya.

Suara Pembangkang

nizar banat mati dalam tahanan

Kita mungkin mempunyai pandangan yang samar dalam isu konflik Palestin dengan negara haram Israel, di mana kita sering melihat Palestin dalam kaca mata lebih positif.

Walaupun begitu, harus kita tidak lupakan sebaik mana pun imej wakil Palestin di mata kita, apa yang dialami oleh penduduk Palestin di sana pasti berbeza dengan apa yang kita andaikan nyata. Nizar menjadi salah seorang buktinya.

Nizar Banat dikenali sebagai pengkritik kuat PA, yang mahukan reformasi politik berlaku dalam sistem pentadbiran kerajaan Fatah menjadi kerajaan rasmi diiktiraf sebagai suara rakyat Palestin di wilayah Palestin.

Pimpinan PA pada perspektif Nizar, lebih berminat untuk mengekalkan kekuasaan, tidak malu untuk mengamalkan korupsi dan nepotisme demi menjaga kedudukan sendiri serta sebenarnya tidak mengambil kira kesejahteraan rakyat Palestin.

Nizar menjadi antara suara paling lantang mencemuh pembatalan pilihan raya tahun 2021, yang disifatkan beliau sebagai satu helah pimpinan PA untuk terus menguasai kerajaan, tatkala banyak pihak percaya sekiranya pilihanraya berlangsung - ada kemungkinan kerajaan Fatah akan tumbang.

Beliau juga percaya warga Palestin selama ini dinafikan hak kebebasan bersuara dan tidak dibenarkan melakukan perbincangan politik secara terbuka, ekoran tekanan PA.

Hubungan dengan Pihak Berkuasa Palestin

nizar banat sedang melakukan podcast

Hubungan Nizar dengan PA sentiasa dalam keadaan tegang.Gerakan aktivisme dan kritikannya yang dibuat tanpa ada tapisan, membuatkan Nizar menjadi duri dalam daging kepemimpinan PA.

Dia telahpun ditangkap beberapa kali dalam masa lampau atas aktiviti politiknya, yang hanya memperkuatkan lagi gerakannya dalam menukar kerajaan Palestin ke sebuah badan yang berbeza.

Salah satu tuntutan utama Nizar adalah untuk mewujudkan sistem pilihan raya yang demokratik dalam menentukan pihak manakah bakal menerajui PA. Beliau konsisten menyuarakan tuntutan agar rakyat Palestin diberikan sebuah pilihan raya yang terbuka, adil, dan inklusif selepas lebih dari satu dekad tidak dilangsung.

Tuntutan lantang ini dilihat sebagai cabaran kepada kepemimpinan Presiden Mahmoud Abbas dan parti Fatah yang menguasai kerajaan.

Antara usaha Nizar dalam mencalarkan reputasi kerajaan Fatah, adalah melalui pendedahan yang mendakwa kontrak kerajaan dan pekerjaan sering diberikan kepada kroni atau individu berkait kerajaan.

Dakwaan ini walaupun dinafikan pihak kerajaan, disokong sebahagian besar rakyat Palestin yang merasa mereka tidak mendapat peluang akibat ketiadaan hubungan politik.

Tragedi berlaku

keluarga nizar banat

Pada 24 Jun 2021, Nizar Banat ditangkap pasukan keselamatan PA di bandar Hebron.

Kaedah penangkapannya menjadi subjek kontroversi dan pertikaian kerana banyak pihak mendakwa Banat ditangkap secara keras dan diseksa semasa dalam tahanan.Beberapa jam selepas penangkapannya, Nizar Banat meninggal dunia dalam tahanan PA.

Keterangan rasmi Pihak Berkuasa Palestin mengatakan kematian beliau adalah akibat masalah kesihatan yang sudah pun wujud, lama sebelum semasa operasi menangkap beliau.

Walau bagaimanapun penjelasan itu hanya mengakibatkan banyak pihak baik di Palestin sendiri dan diperingkat antarabangsa skeptikal. Terlalu banyak perkara yang tidak kena, menimbulkan banyak keraguan bahawa ada unsur jenayah yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian beliau.

Protes antarabangsa

Dia ditangkap pada jam 3.30 pagi dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 6.45 pagi oleh pegawai keselamatan PA. Berita kematian Nizar memulakan gelombang protes dan kemarahan di Palestin.

Penunjuk perasaan membanjiri jalanraya, menuntut pendedahan telus atas apa yang telah berlaku sehingga mengakibat kematian beliau. Tuntutan mendesak reformasi politik dalam PA juga lantang kedengaran.

Protes ini malangnya ditangani dengan tindakan keras pasukan keselamatan PA, yang seakan bimbang insiden itu akan membawa kepada lebih banyak krisis di antara kerajaan dengan warga Palesin.

Komuniti antarabangsa juga bersuara dalam perkara ini khususnya dari Eropah, dengan banyak negara dan pertubuhan hak asasi manusia menyuarakan persoalan mereka tentang kematian Nizar selain mengecam masalah penindasan politik dilakukan kerajaan Fatah dalam wilayah Palestin.

Tuntutan untuk dibenarkan sebuah siasatan bebas dijalankan menerusi penubuhan suruhanjaya mendapat sokongan yang besar.

PA bersetuju untuk memulakan siasatan dalaman tetapi seperti biasa, jawapan-jawapan standard menafikan berlakunya kecuaian atau jenayah dinyatakan bagi memastikan perhatian orang ramai beralih ke isu berbeza.

Pendorong perubahan

protes kematian nizar banat

Walaupun bergerak sendirian biasanya hanya dengan media sosial, kematian Nizar Banat menjadi pemangkin tuntutan politik wilayah Palestin; melibatkan reformasi politik, penghormatan hak asasi manusia dan kredibiliti pimpinan PA sendiri.

Peristiwa penangkapan dan kematiannya menyebabkan warga Palestin mula berani bangkit mempertikaikan isu-isu yang telah lama menjadi kebimbangan banyak rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun, lanskap politik Palestin sangat kompleks kerana melibatkan masyarakat yang berpecah belah, dengan dua kuasa utama iaitu kerajaan diiktiraf Fatah dan kerajaan tidak rasmi Hamas bersaing untuk kuasa, menyukarkan sebarang perubahan berlangsung dengan lebih baik.

Situasi ini diburukkan lagi dengan apa yang telah berlaku di Palestin ketika ini, bila mana serangan pihak Hamas ke atas Israel telah mengakibatkan tindak balas ketenteraan Israel berlaku dalam tahap maksima.

Fatah atau Hamas, Palestin atau Israel, Mahmoud Abbas atau Ismail Haniyeh, kesemuanya adalah faktor yang memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju orang Palestin yang seterusnya.

Bagi orang seperti Nizar yang tidak punya kuasa, memainkan peranan sebagai pempengaruh dilihat sudah cukup untuk menggoncang mereka yang sedang memegang kuasa.

Cuma harga yang perlu dibayar Nizar, sangat tinggi nilainya.

Rujukan

Nizar Banat: The death shaking the Palestinian leadership




Hakcipta iluminasi.com (2017)