Oleh pada 31 Mar 2018 kategori

Air merupakan satu keperluan bagi setiap manusia. Di Malaysia, kita harus bersyukur kerana dapat menikmati bekalan air bersih tanpa sebarang masalah besar (kecuali di kawasan-kawasan pedalaman dan terpencil). Maka, gunakanlah ia dengan sebaik-baiknya dan elakkan pembaziran.

Walau bagaimanapun, di sesetengah kawasan di Afrika, masalah kekurangan dan ketandusan air merupakan masalah yang biasa di hadapi. Dan ianya sangat kritikal bagi setiap penduduk untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Menariknya, sekumpulan saintis daripada Barat telah berjaya mencipta sebuah menara yang berfungsi untuk mengumpul air, hatta di kawasan panas terik sekalipun. Siapa sangka kumpulan ini berjaya membina menara yang diperbuat daripada buluh dengan anggaran kos setiap satunya sekitar RM3800 sahaja.

penyelesaian masalah kemarau air

Menara buluh yang diberi nama Warka Water Tower (Menara Air Warka) ini mempunyai kebolehan menyerap wap-wap air yang terkondensasi daripada kawasan sekeliling dengan begitu efektif sekali. Nama menara ini diberi sempena mengambil nama sebuah pokok "warka" yang wujud di Ethiopia.

Menara ini diperbuat daripada buluh dan jaringan poliester yang kalis air. Bukan sahaja air hujan, malah ianya mampu meresap air embun dan kabus. Air yang terkumpul kemudiannya akan disalurkan dalam sebuah bekas yang terletak pada bahagian bawah menara ini.

Bagi setiap menara, ianya dianggarkan mampu mengumpul sekitar 98 liter air setiap hari, cukup untuk menampung kira-kira 50 orang penduduk sekitar. Selain itu, menara ini juga dikatakan merupakan solusi terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan air memandangkan bahan-bahan untuk membinanya boleh didapati di kawasan setempat.

Rekabentuk unik dan genius

Menara yang mempunyai ketinggian kira-kira 9 meter dan lebar 3.87 meter ini direkabentuk oleh Arturo Vittori dan Andreas Vogler. Berikut merupakan lakaran berserta skala menara ini.

warka water tower

Mengumpul air hujan mungkin tidak sukar. Anda hanya perlu meletakkan baldi apabila hujan turun. Walau bagaimanapun, mengumpul air daripada embun bukanlah perkara mudah. Dari segi sains, embun terhasil apabila suhu di sesuatu permukaan turun lebih rendah daripada suhu kawasan sekeliling.

Embun biasanya terhasil antara pada waktu malam dan ketika matahari terbit. Sekiranya ada biasa meletakkan kenderaan di kawasan tidak berbumbung, pada waktu pagi anda akan dapati lapisan air seakan-akan air hujan pada bumbung kenderaan anda. Itulah air embun.

Bagi mengumpul air embun yang terhasil ini, Vittori dan pasukannya telah melakukan kajian untuk mencari bahan terbaik untuk membina bahagian corong menara ini. Bahan yang dipilihnya itu mestilah mampu mengurangkan haba pada kadar yang pantas agar lebih banyak air embun dapat dihasilkan pada waktu yang singkat ini,

Bahagian atas menara ini juga diletakkan lapisan reflektif bagi menghalau burung daripada hinggap di menara ini. Sementara itu, buluh dipilih kerana ianya mudah didapati selain sifatnya yang boleh menyerap dan menyimpan air dengan baik.

jaring memerangkap air kabus

Sementara itu, bagi tujuan mengumpul air daripada kabus pula, terdapat jaring poliester yang kalis air diletakkan bagi membolehkan lebih banyak air dikumpulkan apabila kabus meresapi jaringan halus ini. Bagi tujuan pengumpulan air daripada kabus ini, sekumpulan saintis daripada Massachusetts Institute of Technology dikatakan sedang turut melakukan kajian yang serupa bagi meningkatkan kadar pengumpulan air daripada kabus.

Sekiranya anda berminat, sila tonton filem atau dokumentari ringkas dibawah mengenai bagaimana menara ini berfungsi.

Buat masa ini, kajian masih diteruskan bagi menambah baik efisiensi menara ini dalam proses pengumpulan air. Dengan harga sekitar RM3800 sahaja dan boleh dipasang dalam masa yang singkat, Warka Water Tower merupakan solusi terbaik bagi mengatasi masalah kekurangan air di beberapa kawasan di Afrika.

Seperkara lagi yang menarik mengenai menara ini, ianya tidak memerlukan sebarang tenaga elektrik untuk beroperasi. Dalam erti kata lain, pembinaan dan penggunaan menara ini sama sekali tidak akan memberi pencemaran terhadap alam sekitar. Sekiranya anda seorang jurutera atau saintis, maka ciptalah sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain sepertimana yang dilakukan oleh Vittori dan pasukannya ini.

Kredit:

  1. Smithsonian
  2. Wired

tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)