penghasilan vaksin covid 19

Buat pertama kalinya, salah satu daripada vaksin-vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan oleh para saintis telah berjaya melindungi spesis haiwan iaitu monyet rhesus, dari jangkitan novel koronavirus baru.

Para penyelidik dari Sinovac Biotech, sebuah syarikat swasta yang berpusat di Beijing, memberikan dua dos vaksin COVID-19 yang berbeza kepada 8 ekor monyet rhesus.

Tiga minggu kemudian, kumpulan itu memasukkan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, ke dalam paru-paru monyet-monyet tersebut melalui tiub ke bawah trakea.

Hasilnya, tiada seekor pun dari kumpulan berkenaan mendapat jangkitan penuh.

Monyet yang diberikan vaksin dengan dos tertinggi memberikan tindak balas terbaik, di mana 7 hari setelah haiwan tersebut didedahkan kepada virus ini, para penyelidik tidak dapat mengesannya di pharynx atau paru-paru.

Sebilangan haiwan yang diberikan dos lebih rendah mempunyai "sedikit virus", tetapi juga kelihatan dapat mengawal jangkitan.

Sebaliknya, 4 haiwan kawalan mengalami RNA viral pada tahap yang tinggi di beberapa bahagian badan dan radang paru-paru yang teruk.

Menurut pengarah kanan pengurusan pengawalseliaan luar negara Sinovac, Meng Weining, hasil ini memberikan mereka keyakinan yang tinggi bahawa vaksin ini akan berfungsi dengan baik bagi manusia.

sinovac syarikat menghasilkan vaksin

Seorang ahli virologi dari Icahn School of Medicine di Gunung Sinai yang telah bersama-sama membuat laporan status mengenai pelbagai vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan, Florian Krammer, berkata bahawa walaupun ia agak "old school", namun ia mungkin berhasil. 

"Apa yang saya paling suka adalah banyak pengeluar vaksin, yang juga di negara berpendapatan rendah dan sederhana, mampu menghasilkan vaksin seperti ini," kata Florian Krammer.

Namun Douglas Reed dari Universitu Pittsburgh, yang sedang membangunkan dan menguji vaksin COVID-19 dalam kajian monyet, berkata bahawa jumlah haiwan yang digunakan dalam kajian itu adalah terlalu kecil untuk menghasilkan keputusan statistik yang signifikan.

Pasukannya juga sedang dalam proses menyiapkan manuskrip yang menimbulkan kebimbangan tentang cara pasukan Sinovac mengembangkan stok coronavirus novel yang digunakan untuk menjangkiti monyet-monyet tersebut.

Kebimbangan tersebut adalah ia mungkin menyebabkan perubahan yang membuatkan virus itu kurang sama dengan virus yang menjangkiti manusia.

Satu lagi isu adalah monyet tidak mengalami simptom paling teruk yang disebabkan oleh SARS-CoV-2 pada manusia.

ujian klinikal vaksin covid 19

Para penyelidik Sinovac mengakui dalam kertas tersebut bahawa masih terlalu awal untuk menentukan model haiwan terbaik untuk mengkaji SARS-CoV-2.

Namun mereka menyatakan bahawa monyet rhesus yang tidak divaksinasi menunjukkan gejala-gejala seperti COVID-19.  

Sinovac adalah pembuat vaksin yang berpengalaman, di mana ia telah memasarkan vaksin virus yang tidak aktif untuk penyakit tangan, kaki, dan mulut, hepatitis A dan B, serta selesema burung atau selesema H5N1.

Tetapi Meng Weining mengatakan bahawa mereka boleh menghasilkan paling banyak adalah sekitar 100 juta dos vaksin dan mungkin perlu bekerjasama dengan pembuat vaksin lain jika vaksin mereka untuk COVID-19 terbukti selamat dan berkesan dalam percubaan ke atas manusia.

Syarikat itu baru-baru ini memulakan ujian klinikal fasa 1 di provinsi Jiangsu, utara Shanghai, yang bertujuan untuk mengukur keselamatan dan tindak balas imun terhadap 144 sukarelawan.

Sebilangan peserta yang sama akan menerima dos tinggi dan rendah atau plasebo.

Walaupun plasebo biasanya tidak digunakan dalam kajian fasa 1, namun Meng memberitahu bahawa ini dapat membantu menilai dengan lebih baik sama ada vaksin tersebut menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya.

vaksin covid 19 korona virus sudah siap ditemui

Syarikat itu berharap dapat memulakan kajian fasa 2 pada pertengahan Mei yang mempunyai reka bentuk yang sama tetapi mendaftarkan lebih daripada 1000 orang, dan hasilnya dijadualkan pada akhir bulan Jun.

Jika semuanya berjalan lancar, Sinovac akan berusaha untuk melancarkan percubaan keberkesanan fasa 3 tradisional yang membandingkan vaksin dengan plasebo ke atas ribuan orang.

Syarikat itu juga telah membincangkan untuk menyertai percubaan vaksin antarabangsa yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Memandangkan tahap penularan di China pada ketika ini adalah kurang, syarikat itu mempertimbangkan lebih banyak lagi ujian keberkesanan di negara-negara lain yang terkesan dengan virus ini.

Menurut WHO, 6 vaksin lain telah memasuki fasa ujian manusia pada 23 April dan 77 yang lain sedang dalam proses penghasilan.

Sebilangan besar vaksin ini menggunakan alat moden teknik genetik dan hanya 4 sahaja yang bergantung kepada teknologi pengaktifan kuno.

Namun Meng menyatakan bahawa apa yang paling penting bukanlah bagaimana ia dihasilkan, tetapi sama ada vaksin itu selamat dan berkesan.

Rujukan:

1. Science Mag

2. BBC

3. Healthline



Hakcipta iluminasi.com (2017)