Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO - World Health Organization) baru sahaja mengisytiharkan bahawa COVID-19 sebagai sebuah pandemik. Pengisytiharan ini sudah cukup menerangkan betapa luasnya skop novel koronavirus ini.

Malah, di Malaysia kita dapat lihat bahawa penularan wabak ini semakin luas selepas gelombang kedua wabak ini. Pujian dan sokongan harus diberikan kepada pihak Kementeri Kesihatan Malaysia yang sangat proaktif dalam menangani serangan COVID-19 ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika ini, salah satu topik yang hangat diperkatakan baik dalam kalangan ahli perubatan dan orang awam adalah berkisarkan penciptaan vaksin bagi menghalang jangkitan penyakit ini. Persoalan yang sering timbul adalah berapa lamakah masa yang diperlukan untuk menghasilkan vaksin.

Jawapan mudahnya, mungkin mengambil masa lebih setahun. Namun, teruskan bacaan untuk mengetahui mengapa ia mengambil masa yang begitu lama.

Maksud koronavirus

virus covid 19

Imej dari mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (oren), virus pernafasan yang menyebabkan COVID-19,

Pertama, kita perlu tahu apakah yang dimaksudkan dengan koronavirus atau singkatannya CoV. Koronavirus adalah sekumpulan virus yang boleh menyebabkan penyakit seperti demam atau yang lebih teruk lagi seperti Middle East Respiratory Syndrome (MERS-CoV) dan Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS-CoV).

Sejak tahun 2003, terdapat tiga wabak penyakit yang lebih teruk tetapi akhirnya terkawal. Kini, COVID-19 sedang merebak di seluruh dunia. Wabak ini dikatakan bermula di China dan kini merebak di Eropah dan A.S. Malah, pihak WHO sendiri sudah mengisytiharkannya sebagai sebuah pandemik.

Namun, terdapat dua aspek penting COVID-19, iaitu bahagian virus (strain) yang masih baru dan belum dilihat pada manusia. Dalam erti kata lain, vaksinas untuk menangani  virus ini belum dikembangkan lagi. Disebabkan itulah kajian lanjut perlu dilakukan sebelum vaksin bagi COVID-19 boleh dihasilkan.

Proses penghasilan vaksin

penciptaan vaksin

Sejak tempoh 20 tahun yang lalu, kita telah melihat perubahan yang ketara dalam proses pembangunan vaksin. Hasil daripada bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan beberapa buah negara dan kemajuan teknologi, tempoh pembangunan vaksin kini semakin pendek. 

"Perlumbaan" untuk membangunkan vaksin COVID-19 sedang rancak. Walau bagaimanapun, majoriti ahli sains bersetuju bahawa vaksin itu mungkin tidak akan sempat disiapkan pada waktunya ketika COVID-19 sampai ke kemuncak penularannya.

Walaupun begitu, jika sempat sekalipun, adalah penting untuk diingat bahawa vaksin itu tidak boleh menyembuhkan mereka yang telah dijangkiti virus. Ia hanya boleh digunakan sebagai alat untuk mencegah penyebaran wabak tersebut.

Kumpulan pembangunan vaksin 

kajian vaksin

Apabila berita mengenai wabak ini telah tular, beberapa kumpulan mula mengusahakan vaksin tersebut. Tiga daripada kumpulan ini berada dalam tekanan tertentu dalam persaingan kerana mereka dibiayai oleh CEPI (Coalition for Epidemic Preparedness Innovations).

CEPI adalah organisasi bukan kerajaan yang bertapak di Oslo, Norway yang ditubuhkan untuk membantu mempersiapkan pandemik dunia masa depan. Sejak wabak COVID-19, CEPI telah membelanjakan lebih daripada $ 19 juta dalam kumpulan penyelidikan dan pembangunan vaksin.

Semua mata kini terarah pada dua kumpulan yang dibiayai oleh CEPI: startup bioteknologi Moderna Therapeutics (berpusat di Massachusetts) dan makmal di University of Queensland (Brisbane, Australia). Kedua-dua kumpulan itu menyatakan bulan lalu bahawa mereka telah membangunkan calon vaksin untuk COVID-19. 

Mereka merancang untuk memulakan ujian terhadap manusia dalam beberapa bulan akan datang. Moderna baru-baru ini telah menghantar sampel vaksin ke National Institute of Allergy and Infectious Diseases (NIAID). Ujian klinikal dijangka bermula menjelang akhir bulan April.

Setakat ini, ia telah mendedahkan bahawa 45 sukarelawan akan mengambil bahagian dalam ujian ini. Para peserta yang terlibat mesti sihat dan berumur antara 18 hingga 55 tahun. Namun, terdapat banyak proses yang panjang sebelum ujian klinikal dan penggunaan vaksin pada manusia dapat dijalankan.

Mungkin lebih daripada setahun 

vaksin covid 19

Buat masa ini, terdapat beberapa calon vaksin yang telah dibangunkan, antaranya:

  1. Remdisivir 
  2. AS03 
  3. Inno-400 
  4. mRN-1273
  5. TAK-88

Antara kesemua ini, yang paling advance setakat ini ialah ubatan (drug) Remdisivir yang asal sasarannya ialah Ebola virus tetapi tidak berjaya. Percubaan klinikal ke-3 sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap keberkesanan dan keselamatan ubatan ini terhadap pesakit COVID-19.

Masih sukar meramalkan keberkesanan ubatan ini walaupun pelbagai laporan positif sudah ada, hanya laporan keseluruhan yang mampu menentukannya. 

Dijangkakan akan berlaku satu 'disruption' atau langkah mengejut daripada pihak saintis negara China dalam menghasilkan vaksin mereka sendiri. Dari segi regulasi dan peraturan, negara China memiliki kelebihan dalam mengeluarkan vaksin secara drastik tanpa memerlukan kajian lanjutan. Sudah pasti, ianya juga memberi satu kerisauan terhadap kesan sampingan dan lain-lain.

Antara cabaran terbesar syarikat-syarikat biofarmasiutikal dalam membuat vaksin bagi jangkitan seperti SARS, MERS dan COVID-19 ini ialah faktor kewangan, percubaan klinikal dan pemasaran. Untuk menentukan tahap keberkesanan vaksin, sejumlah pesakit COVID-19 diperlukan untuk menjalani percubaan umunisasi. 

Pada ketika ini, sukar untuk mengatakan bila vaksin akan tersedia. Sesetengah pakar menganggarkan ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa bulan. Namun, sesetengah pakar menggunakan pendekatan yang lebih realistik dan meramalkan kita perlu menunggu vaksin sekurang-kurangnya lebih daripada setahun.

Kredit:

  1. WHO
  2. LA Times
  3. CNBC
  4. Dr. Amin Rukaini



Hakcipta iluminasi.com (2017)