Pada tahun 2017, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun bermain di kawasan ladang sekitar rumahnya. Leka berseronok, dahinya tercalar dan luka namun budak itu meneruskan aktivitinya. Pulang ke rumah, ibu bapanya memeriksa luka tersebut, menyapu ubat dan merumuskan itu hanya luka biasa.

Bagaimanapun enam hari kemudiannya, kanak-kanak itu mula mengalami simptom-simptom ganjil; rahangnya sukar untuk dibuka, dia mengalami kesukaran bernafas dan ototnya mula hilang kawalan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kanak-kanak itu dibawa ke Oregon Health and Science University untuk diperiksa dan didapati mengidap penyakit kancing gigi (tetanus) - kes pertama yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 30 tahun di Oregon.

Puncanya - dia tidak menerima suntikan vaksin kancing gigi.

Realiti penyakit kancing gigi

kancing gigi tetanus vaksin

Dianggarkan setiap tahun, sebanyak 1 juta kes tetanus berlaku di seluruh dunia dengan kadar kematian setinggi 300,000 ke 500,000 bagi mereka yang diserang penyakit itu. Bagi negara seperti kita di mana program pemvaksinan kanak-kanak dilakukan dengan rapi, masalah serangan kancing gigi jarang menyerang kanak-kanak dengan majoriti kes dilaporkan melibatkan individu sudah berusia, orang asal dan juga pekerja migran.

Serangan tetanus boleh dikatakan sangat jarang berlaku sehinggakan majoriti doktor di negara kita tidak berpengalaman merawat penyakit ini, sehingga mampu menyebabkan kesilapan dilakukan semasa proses diagnosis. Walaupun sudah mempunyai pengalaman lama, pakar-pakar perubatan negara kita tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan penyakit kancing gigi sekiranya berlaku.

kancing gigi sakit

Apa yang membuatkan kancing gigi berbahaya adalah kehilangan kawalan individu terhadap otot di sekitar rahang, akibat jangkitan bakteria yang bernama clostridium tetani atau C.tetani. Bakteria ini boleh ditemui dalam tinggalan najis manusia atau haiwan yang akan masuk ke dalam tubuh menerusi luka yang terdedah.

Selepas berjaya menyusup masuk, C.tetani akan merembeskan bahan beracun neurotoxin dari jenis tetanospasmin yang akan mengganggu hubungan otot dengan saraf di tulang belakang. Ini akan menyebabkan seseorang merasa sukar untuk mengawal gerakan otot dan tulangnya dan mengganggu sistem saraf genap 8 hari selepas seseorang individu dijangkiti bakteria tersebut.

Di negara kita, walaupun pemvaksinan telah berjaya dilakukan, jumlah kes kancing gigi masih berlaku dengan 186 kes dilaporkan dalam tempoh 2010 hingga 2013. 23 daripada mereka meninggal dunia.

Bayaran perubatan hanya kerana tidak divaksin

tetanus anti vaksin

Kanak-kanak itu semasa dimasukkan ke hospital masih sedar, cuma dia tidak berjaya membuka rahangnya. Bagaimanapun, masalah pernafasan yang dia hadapi disebabkan pengecutan paru-paru menyukarkan dia bernafas, memaksa pakar menebuk dadanya bagi membolehkan udara disalurkan dengan lebih baik. Vaksin anti tetanus dan juga vaksin DTaP diberikan pada beliau.

Tubuh kecil itu seakan-akan ditarik-tarik bila berlakunya serangan, menggeletar dan mengerekot, namun teriakan tidak kedengaran kerana rahangnya yang menggetap dengan rapat. Demam panas menyerangnya setiap hari ekoran serangan bakteria. Bagi menenangkan otot kanak-kanak itu, doktor mengambil jalan memberikan dia dadah yang dapat meredakan aktiviti ototnya.

Begitulah rutin yang dilalui kanak-kanak malang dirawat selama 57 hari di hospital dengan 47 hari daripadanya, di unit rawatan rapi. Bagi mereka yang bertanggungjawab merawat kanak-kanak itu, kesakitan yang dialami kanak-kanak itu merupakan satu pengalaman ngeri yang sangat sukar untuk dilupakan.

tetanus kejang otot

Pada hari ke 57, kanak-kanak itu disahkan selamat untuk keluar namun harus ditempatkan buat sementara di pusat pemulihan bagi membolehkan dia melatih kembali ototnya yang sudah hilang upaya untuk berfungsi. Pada hari pertama dia dibenarkan keluar hospital, kanak-kanak itu tidak boleh berjalan lebih 6 meter dan hanya selepas sebulan menjalani fisioterapi - dia kembali aktif seperti sebelumnya.

Yang lebih memilukan, bil perubatan yang perlu ditanggung ibu bapanya semua sekali berjumlah $811,929 atau RM3.32 juta keseluruhannya. Tidak dilaporkan bagaimana mereka berjaya melunaskan bayaran tersebut tetapi apa yang telah dilalui mereka, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita juga.

Ibu bapa harus sedar - masa depan anak anda, ada dalam tangan anda.

Nota : Semua gambar dalam artikel ini hanyalah sekadar hiasan, tidak berkait dengan kes yang dinyatakan dalam tulisan.

Rujukan

NZ Herald

IIUMedic (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)