perbandingan jenis jenis vaksin covid 19

Ketika ini terdapat beratus-ratus vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan dan sesetengah daripadanya telah memberikan hasil positif dalam fasa percubaan klinikal fasa 3.

Ini memberikan berita baik dan peluang untuk kita meredakan pandemik ini, sekaligus memungkinkan kita hidup seperti sebelum ini.

Namun, bagaimana beberapa jenis vaksin yang berbeza berfungsi dan dibandingkan antara satu sama lain?

Bagaimana vaksin berfungsi?

vaksin covid 19 883 873

Semua vaksin berfungsi dengan mengajar badan kita untuk mengenali dan melawan patogen dengan cara yang selamat.

Ia mendorong sistem kekebalan tubuh kita untuk menghasilkan antibodi, sel-T atau kedua-duanya, jadi jika kita mengalami jangkitan pada masa akan datang, sistem kekebalan tubuh kita tahu bagaimana untuk melawan.

 Vaksin boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai teknologi yang berbeza dan vaksin Covid-19 yang paling maju pada ketika ini menggunakan empat pendekatan berbeza:

  1. vaksin vektor virus 
  2. vaksin RNA
  3. vaksin virus "lengkap" 
  4. vaksin subunit protein

Vaksin vektor virus  

vaksin virus vektor

Virus yang tidak berbahaya diubah dengan memperkenalkan sebahagian daripada kod genetik virus penyebab penyakit, seperti kod untuk protein 'spike' Covid-19.

Virus yang tidak berbahaya tersebut mengangkut kod ini ke sel kita, dengan cara yang serupa dengan vaksin RNA, yang kemudiannya mula menghasilkan protein.

Ini mencetuskan tindak balas imun, menjadikan sistem imun kita menyerang virus yang sebenarnya pada masa akan datang.

Oxford-AstraZeneca adalah vaksin virus vektor pertama yang diluluskan untuk Covid-19.

Terdapat banyak lagi vaksin jenis ini dalam penyelidikan peringkat akhir seperti CanSino Biologics, Gamaleya Research Institute dan Janssen.

Kesemua syarikat ini menggunakan adenovirus, sekumpulan virus yang menyebabkan selesema, sebagai vektor atau pembawa.

Contoh lain vaksin virus vektor adalah vaksin Ervebo (rVSV-ZEBOV) Ebola, yang menggunakan virus stomatitis vesikular (penyakit virus ternakan yang disebarkan terutamanya oleh lalat menggigit) sebagai pembawa.

Vaksin RNA

vaksin rna

Pengutus asid ribonukleik (RNA) adalah urutan kod genetik yang digunakan oleh badan kita sepanjang masa di mana ia memberitahu sel-sel kita protein apa yang akan dibina supaya ia dapat berfungsi.

Untuk menghasilkan vaksin RNA, saintis membangunkan versi sintetik virus pengutus RNA.

Apabila virus ini disuntik ke dalam badan kita, sel-sel membacanya sebagai arahan untuk mula membina protein virus yang relevan, sebagai contoh protein "spike" COVID-19.

Ini mendorong sistem kekebalan tubuh kita untuk bertindak balas, dan dengan berbuat demikian badan kita belajar bagaimana untuk melindungi dari jangkitan Covid-19 di masa depan.

Dua vaksin COVID-19 jenis RNA telah diluluskan untuk digunakan adalah Pfizer-BioNTech dan Moderna. Kedua-duanya telah melaporkan tahap keberkesanan vaksin yang tinggi iaitu sekitar 95%.

Kedua-dua ini adalah vaksin RNA pertama yang pernah diluluskan untuk digunakan terhadap sebarang penyakit.

Namun, para penyelidik telah menggunakan teknologi ini untuk seketika dan ia telah diberikan kepada pesakit dalam ujian klinikal untuk penyakit lain, seperti barah.

Vaksin virus "lengkap"

vaksin virus penuh

Vaksin ini mungkin wujud dalam dua keadaan iaitu yang pertama adalah vaksin "tidak aktif" iaitu versi virus ini yang tidak aktif dengan terdedah kepada haba, bahan kimia atau radiasi.

Yang kedua adalah vaksin zarah seperti virus, iaitu versi virus itu yang hampir menyerupai virus sebenar yang dicipta secara buatan, namun ia tidak mengandungi sebarang bahan genetik, jadi ia tidak berjangkit

Vaksin ini tidak boleh menyebabkan penyakit, tetapi akan menyebabkan tubuh kita menghasilkan tindak balas imun yang akan melindungi terhadap jangkitan di masa depan.

Antara vaksin Covid-19 jenis tidak aktif ini yang paling maju yang sedang dibangunkan termasuklah Sinovac, Bharat Biotech dan dua lagi oleh Sinopharm.

Contoh vaksin yang tidak aktif termasuk vaksin batuk kokol, penyakit anjing gila dan hepatitis A.

Satu vaksin COVID-19 yang sedang berada dalam ujian klinikal fasa III jenis vaksin zarah seperti virus adalah Medicago Inc.

Contoh vaksin zarah seperti virus yang ada ketika ini ialah vaksin barah serviks HPV.

Vaksin subunit protein

virus protein subunit

Sebahagian kecil kod genetik virus ini dimasukkan ke dalam sel lain, mungkin sel bakteria, ragi, mamalia atau serangga.

Kod tersebut mengandungi arahan untuk sel ini mula membina protein virus, misalnya protein ‘spike’ Covid-19.

Sel-sel seperti ini bertindak sebagai kilang, dengan membina sejumlah besar protein yang kemudiannya diekstrak, dibersihkan dan digunakan sebagai bahan aktif dalam vaksin.

bagaimana vaksin covid 19 berfungsi 2

Apabila ia disuntik, tubuh kita belajar mengenali protein virus ini maka ia dapat meningkatkan tindak balas imun yang melindungi terhadap jangkitan di masa depan.

Beberapa vaksin Covid-19 yang paling maju menggunakan pendekatan ini termasuklah Novavax dan Akademi Sains Cina.

Contoh vaksin subunit protein yang ada ketika ini adalah untuk hepatitis B, yang menggunakan sel ragi untuk membina protein virus.

Perbandingan vaksin Covid-19 yang berbeza

Pendekatan vaksin yang berlainan memberikan peluang dan cabaran yang berbeza, oleh sebab itu kita memerlukan pelbagai vaksin untuk mengawal pandemik COVID-19 ini.

perbandingan jenis vaksin covid 19 230

Rujukan:

1. Wellcome

2. Gavi

3. CDC



Hakcipta iluminasi.com (2017)