Oleh pada 20 Jan 2018 kategori

Sumber foto: The Star Online

Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menunjukkan taring setelah mendapat tiket ke separuh akhir Masters Malaysia, malam tadi.

Pemegang pingat perak Olimpik Rio 2016 tersebut menunjukkan kualiti mereka dengan bangun setelah kalah di set pertama bagi meraih kemenangan 12-21, 21-18, 21-18 terhadap juara dunia 2017 dari China, Liu Chen-Zhang Nan menerusi aksi suku akhir di Arena Axiata Bukit Jalil.

Mereka sekarang berada di laluan yang betul untuk mengembalikan kejuaraan yang kali terakhir diperoleh semasa Siri Super Akhir 2016, dalam pertemuan ke atas pasangan Taiwan, Chen Hung Lin-Wang Chi Lin untuk merebut tempat ke peringkat akhir.

Dalam pada itu, beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie juga berjaya ke separuh akhir setelah berjaya menewaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-15.

“Kami bermain dengan baik hari ini, bukan mudah bermain menentang rakan sepasukan kerana sudah tahu kelebihan dan kelemahan masing-masing. Cuma, strategi perlawanan kami hari ini menjadi dan berjaya mengatasi mereka,” ujar Shevon.

Mereka bakal berlawan dengan pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong yang mara setelah mengalahkan satu lagi pasangan beregu campuran tempatan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-13, 21-17.

Sementara itu, harapan perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk memberi kejutan terhadap Ratchanok Intanon selaku pemain nombor empat dunia dari Thailand musnah sama sekali setelah kalah 23-21, 6-21, 10-21.

“Saya banyak melakukan kesilapan terutama set kedua dan ketiga. Saya tidak sabar dan terlalu fikir mahu cepat tamatkan perlawanan, itu yang perlu saya perbaiki lagi,” jelas Jin Wei.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)