Oleh pada 25 Jul 2021 kategori

Nama sukan mampu dikategorikan kepada dua jenis. Yang pertama adalah nama yang dihasilkan daripada perlakuan atau perbuatan yang dimainkan ketika sukan itu berjalan, seperti bola sepak, bola tampar atau berbasikal.

Yang kedua adalah nama sukan yang langsung tidak menggambarkan apa yang berlaku, tetapi istilahnya sudah dikenali ramai. Pernahkah anda terfikir bagaimana sukan-sukan kategori kedua ini mendapat namanya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 8 jenis sukan yang mempunyai nama unik serta penerangan ringkas kenapa sukan itu dinamakan sedemikian rupa.

1. Sejarah istilah Badminton

asal usul nama badminton

Dari mana datang nama badminton? Mesti tak ramai dapat meneka bahawa istilah 'badminton' sebenarnya merupakan nama kepada sebuah estet milik Duke of Beaufort, yang terletak di Gloucestershire, England.

Badminton House adalah nama lokasi di mana sukan badminton dimainkan buat kali pertama di England pada tahun 1874, oleh komuniti pegawai kerajaan British yang mempelajari sukan itu dari koloni jajahan mereka ketika itu India.

Di kalangan masyarakat India ketika itu, badminton dinamakan sebagai 'poona'. 

2. Asal-usul perkataan Tenis

anna kournikova pemain tenis

Istilah 'tennis' sebenarnya datang daripada istilah Perancis Kuno 'tenez' yang membawa makna 'bersedia.'

Masyarakat Perancis mencipta permainan ini sekitar abad ke 12, pada awalnya menggunakan telapak tangan tanpa raket jadi mereka menamakannya sebagai je de paume.

Setiap kali bola hendak dipukul, pemain yang memegang giliran akan menjerit 'tenez' sebagai isyarat agar pemain lawan bersedia untuk menerima hantarannya.

Lama-kelamaan permainan itu mula dikenali sebagai 'tenez' dan raket mula digunakan sekitar abad ke 16 bagi menggantikan tapak tangan.

3. Sejarah istilah sukan Ping-Pong

table tennis ping pong nama

Pasti ramai menyangkakan sukan ini berasal dari China, kerana namanya yang seakan berbunyi dari sana bukan? Salah! Istilah dan sukan ping-pong berasal dari Victoria, England.

Masyarakat England sekitar 140 tahun dahulu mencipta ping-pong ekoran cuaca sejuk yang tidak membolehkan mereka bermain tenis di luar. Untuk mengatasi kekangan itu, mereka mencipta ping-pong, sejenis sukan seperti tenis yang boleh dimainkan dalam kediaman.

Sukan itu dinamakan sedemikian rupa berpunca daripada bunyi yang terhasil setiap kali bola dipukul. Disebabkan itulah ping-pong turut dikenali sebagai tenis meja.

4. Asal-usul perkataan Futsal

futsal bola sepak dalam dewan

Berbanding sukan lain dalam artikel ini, futsal adalah sukan yang paling baru, dimulakan secara kecil-kecilan dekad 1930-an hasil idea seorang guru di Uruguay bernama Juan Carlos Ceriani, yang mahu mengajar bola sepak dalam gelanggang bola keranjang.

Nama futsal pula sebenarnya merupakan singkatan daripada istilah Sepanyol 'futbol sala' dan Portugis/Brazil 'futebol du salao' yang membawa makna bola sepak dalaman.

Populariti futsal hanya mula berkembang pada dekad 1980-an. Bagi memudahkan sebutan nama sukan itu oleh masyarakat antarabangsa, istilah itu disingkatkan menjadi 'futsal' agar membolehkan sesiapa saja menyebutnya dengan lebih mudah.

5. Sejarah istilah sukan Ragbi

kejohanan ragbi sekolah malaysia

Seperti badminton, ragbi juga dinamakan sempena nama sebuah tempat di England.

Sebuah sekolah bernama Rugby School of Warwickshire menjadi lokasi pertama di mana permainan ini bermula secara tidak sengaja. 

Menurut kisahnya, seorang pelajar bernama William Webb Ellis ketika sedang bermain bola sepak era tersebut (yang jauh lebih ganas, kasar dan tiada undang-undangnya) dinamakan sebagai folk football, memilih untuk memikul bola yang dimainkan dengan tangan.

Perbuatan itu mula ditiru pemain lain sehinggalah komuniti di situ mula merasakan perlunya ada peraturan khas untuk bermain sukan itu. Dari usaha itulah, sukan ragbi yang masih kasar, ganas dan berisiko tinggi lahir - bezanya kini ragbi jelas ada peraturan permainannya.

6. Asal-usul perkataan Polo

kejohanan polo sukan kuda

Istilah polo dipercayai berasal daripada istilah Tibet 'pholo' yang bermakna bola.

Walaupun begitu, orang Parsi adalah masyarakat yang bertanggungjawab mempopularkan permainan polo berkuda, dimainkan oleh golongan bangsawan mereka.

Masyarakat barat hanya mengetahui tentang sukan ini sekitar abad ke 19, selepas pegawai British menyaksikan kumpulan pekerja di Manipur, India memainkannya bagi mengisi masa lapang.

Mereka menirunya lalu mula memperkenalkan permainan itu di kalangan orang Eropah, menambah baik sistem dan peraturan permainan pada penghujung abad tersebut.

7. Asal-usul nama sukan Golf

adam sandler on idea happy gilmore sequel

'Golf' adalah sebuah istilah pinjaman bahasa Belanda 'kolve', yang membawa makna kayu pemukul.

Pertukaran kaedah sebutannya dipercayai berlaku akibat pengaruh bahasa Scotland yang menukarkan dialeknya kepada 'gouff', yang turut mengakibatkan cara ejaannya juga mula diubah.

Dalam rekod sejarah, permainan golf moden direka oleh orang Scotland namun banyak pihak menyebut asal usul permainan memukul bola dengan kayu itu sebenarnya dibawa oleh orang Belanda yang datang berdagang ke situ.

8. Asal-usul istilah Hoki

pasukan hoki kebangsaan malaysia

Berbeza dengan nama sukan lain dalam senarai ini, asal-usul hoki kurang jelas sejarahnya. Istilah 'hockie' ada dicatatkan dalam sebuah dokumen Ireland bertarikh 1527 - merujuk sejenis kayu panjang dibuat untuk memukul bola.

Tidak ada penjelasan jelas kenapa istilah itu digunakan masyarakat Ireland.

Banyak penyelidik linguistik berpendapat istilah 'hockie' itu datang dari istilah Perancis hoquet yang merujuk kepada sejenis kayu lengkung.

Namun sehingga kini belum ditemui bukti yang mampu mengaitkan penggunaan istilah itu di Perancis penyebarannya sehingga ramai penuturnya di Ireland.

9. Sejarah nama sukan Sepak takraw

pasukan sepak takraw 2

Apakah 'takraw'? Takraw sebenarnya merupakan istilah bahasa Thailand yang membawa makna bola yang dianyam, biasanya menggunakan rotan.

Sangat popular di kalangan masyarakat Asia Tenggara, nama sukan lasak ini mempunyai sejarah yang agak unik melibatkan perseteruan dua buah negara iaitu negara kita dan negara Thai, yang masing-masing mengaku pencipta sukan ini.

Bagaimana isu ini diselesaikan?

Bila dah dua-dua tak nak mengaku kalah, solusinya adalah kedua-dua pihak kena berkongsi asal-usul dan sejarah nama sukan ini.

Kini semua persengketaan berkenaan sepak takraw di antara Malaysia dan Thailand di selesaikan di atas gelanggang dengan penuh semangat kesukanan. Malangnya jarang sekali Malaysia dapat menundukkan jiran kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)