Walaupun sukan merupakan aktiviti yang popular di seluruh dunia, hanya sebahagian daripada kita mampu merasai sebuah pertandingan sukan sebenar.

Baik peringkat sekolah, universiti ataupun sehingga bergelar atlet profesional yang hidupnya diabadikan untuk bertanding; kesan psikologi ketika bertanding mempertaruhkan reputasi kita dalam satu acara sukan adalah perasaan yang unik, jauh berbeza berbanding hanya menontonnya melalui kaca TV.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bila menonton dari tepi gelanggang atau di rumah, ada banyak emosi yang sukar individu bertanding; sukar digambarkan dan hanya dirasai. Berikut adalah lima perasaan yang hanya seorang ahli sukan rasai tak kiralah dalam peringkat mana sekalipun pertandingannya.

1. Kita tak sedar masa berlalu

masa berlalu tanpa sedar

Dalam semua sukan, pemain sukar untuk mengetahui sudah berapa lama tempoh pertandingan yang sedang berjalan.

Bila bertanding, masa dirasakan berlalu terlalu pantas sehinggakan kadang-kala kita terkejut apabila mengetahui masa sebenar perlawanan. Semuanya disebabkan rasa tekanan yang ada menghimpit kita ketika perlawanan berlangsung. 

Kalau ketinggalan, setiap saat yang berlalu rasa pantas membuatkan kita seakan tak cukup saja masa untuk mengejar.

Tetapi bila dah selesa di depan, taktik dan strategi boleh ditukar, di mana pasukan atau kita boleh menguruskan masa dengan baik kerana kita tidak lagi terganggu dengan emosi. Masanya rasa lama pula, sampai kita pula tertanya-tanya - "bilalah perlawanan boleh ditamatkan?"

2. Bila dapat skor saat terakhir, nikmatnya..fuh!

clutch player sukan

Dalam setiap jenis sukan, pasti ada pemain yang mampu kekal tenang dalam detik paling genting, dikategorikan sebagai clutch player. 

Lionel Messi sering dikatakan clutch player sukan bola sepak. Jaguh badminton China, Lin Dan juga mampu kembali bangkit dalam situasi di mana pada awalnya dia dijangkakan bakal tewas.

Pemain-pemain istimewa ini mempunyai kemampuan melakukan sesuatu yang luar biasa dengan hanya satu gerakan mereka saja boleh mengubah hala tuju perlawanan, khususnya ketika perlawanan tiba ke saat getir.

Walaupun penulis bukanlah ahli pasukan berkategori ini, tetapi pasukan yang penulis sertai ada seorang clutch player yang boleh jadi tempat bergantung bila kami diasak.

Apa yang kami tahu, bila dah gelabah, dah tertekan; beri dia bola. Emosi yang kita rasa kerana merasai kegagalan menjadi kejayaan dalam sekelip mata memang sukar nak digambarkan.

Sebab itulah bila atlet meraikan kemenangan saat-saat akhir yang tak dijangka ni, mereka memang boleh hilang kawalan diri.

3. Kena akur dengan orang yang lagi handal

bertemu lawan yang lebih kuat

Setiap orang dalam hidup ada kebolehan yang mereka yakini.

Namun dalam konteks sukan, kita akan kerap bertemu dengan orang atau pasukan lain yang jauh lebih hebat berbanding kita, walaupun sebelum itu kita mudah membelasah pasukan lain.

Bertemu dengan lawan sebegini memang satu pengalaman yang banyak mengajar kita realiti sebenar tahap kemampuan diri. Semua usaha yang kita buat mudah dipatahkan dan segala strategi yang kita cuba langsung tak berjaya.

Apa yang boleh dibuat dalam situasi sebegini hanyalah bertahan sebaik mungkin, jaga air muka agar kekalahan tak berapa teruk. Bila kena ayam dengan pasukan lain, memang kita rasa susah nak bangkit keesokannya.

Sebab itulah banyak pasukan yang selalu dibelasah, sukar pulih - kerana tekanan mental terpaksa mengakui tahap keupayaan kita taklah sehebat mana berbanding lawan yang jauh lebih kuat, bijak dan handal.

Menerima realiti itu adalah satu perkara yang cukup menyeksakan seorang ahli sukan, tak kiralah dia bertanding dalam peringkat sekolah sekalipun.

4. Menang memang rasa hebat

euforia kemenangan pertandingan sukan

Sifat manusia sejak dahulu memang gemar bertanding mental dan fizikal. Dalam zaman moden, sukan adalah medan utama kita nak uji kedua-duanya.

Jika anda nak tahu kenapa ramai orang sanggup menghabiskan masa berlatih untuk jadi bagus dalam sesuatu acara, jawapannya mudah - apabila kita menang sesuatu acara dan dinobatkan terbaik antara semua yang bertanding, perasaan itu memang indah. 

Pengalaman itu sukar nak diungkapkan dalam bentuk ayat atau perkataan. Yang menang acara kecil-kecilan pun boleh rasa syahdunya, apalah pula kalau kita bertanding peringkat Olimpik atau antarabangsa.

Mana-mana ahli sukan pasti terasa inspirasi apabila melihat atlet negara berdiri tegak selepas menerima pingat, menyanyikan lagu 'Negaraku' di mainkan. Seluruh negara fokus meraikan kejayaan mereka. Itu pengalaman yang tak mampu dirasai semua dan hanya yang terbaik layak melaluinya.

Penulis dapat nyanyi lagu sekolah kutip pingat pun, mengalir air mata tau! 

5. Kalau tak pandai kawal emosi, memang mudah meletup

pemain hoki ais bertumbuk

Dalam sukan, provokasi adalah perkara biasa yang dilihat asam garam adat pertandingan semua peringkat, baik peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi.

Setiap pasukan pasti ada kaedah dan strategi dalam mengekang lawan, khususnya pemain terbaik bergelar ayam tambatan. Main kasar dan provokasi ni memang langkah efektif melemahkan lawan.

Bila dah bertanding dalam gelanggang, apa yang berlaku bila dah sampai ke tahap emosi akan mengakibatkan kita hilang tumpuan. Kita rasa nak bertindak balas, main kasar balik. Siku sikit, tolak sikit. Rempuh semula!

Bagi sesetengah pasukan, mengeluarkan pemain utama akibat hukuman pengadil sudah dilihat sebagai satu kemenangan. Untuk pemain berstatus profesional, emosi panas berakhir selepas perlawanan tamat. Mereka tahu tindakan agresif adalah sebahagian dari taktik permainan.

Bagi yang amatur ni, kadangkala bila dah bergaduh atau bertengkar atas gelanggang, boleh membawa ke luar pula. Sampai bawa geng cari nak belasah kononnya.

Anda pernah bertanding dalam mana-mana peringkat sukan? Kongsikan pengalaman anda dalam ruangan komen kami kalau ada apa-apa yang menarik, kami tertinggal untuk utarakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)