Sumber foto: Bernama
Perjuangan skuad wanita negara menerusi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia ditamatkan setelah kalah dengan Korea Selatan menerusi aksi suku akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pagi tadi.
Menerusi aksi itu, Soniia Cheah sekali lagi tidak berjaya menyumbang mata penting untuk negara setelah mudah ditewaskan Sung Ji Hyun 13-21, 10-21 dalam jangka masa 37 minit.
Pasangan Vivian Hoo-Tee Jing Yi juga akur dengan nasib serupa iaitu 10-21, 15-21 semasa menentang Lee So Hee-Shin Heung Chan menerusi pertarungan yang mengambil tempoh 35 minit.
Hasrat untuk melihat Goh Jin Wei mewujudkan semula peluang Malaysia turut tidak tercapai setelah kalah 21-17, 11-21, 13-21 semasa menentang Lee Jang Mi.
Pemain berumur 18 tahun itu mengesahkan fikirannya agak bercelaru sewaktu perlawanan itu setelah Malaysia ketinggalan dua mata di belakang Korea Selatan.
Menurutnya, beliau sepatutnya mampu mempamerkan prestasi lebih baik hari ini dan dapat menghadiahkan mata untuk skuad negara.
“Keadaan agak tegang pada set pertama tetapi saya berjaya atasi perkara itu tetapi dalam baki dua set berikutnya fikiran saya terganggu kerana terlalu banyak berfikir sehingga menjejaskan permainan.
“Dalam beberapa bulan ini saya akan terus perbaiki permainan saya selain mencari pengalaman dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa termasuk All England dan Terbuka Jerman.
“Saya juga percaya skuad Piala Uber negara akan lebih bersedia untuk aksi di Bangkok, Mei ini,” ujarnya.
KEPUTUSAN (suku akhir)
MALAYSIA 0 Korea Selatan 3
Soniia Cheah kk Sung Ji Hyun 13-21, 10-21
Vivian Hoo-Tee Jing Yi kk Lee So Hee-Shin Heung Chan 10-21, 15-21
Goh Jin Wei kk Lee Jang Mi 21-17, 11-21, 13-21
Sumber berita: Utusan Online