Oleh pada 17 Jun 2022 kategori

Sebut tentang sukan popular di negara kita, biasanya nama sukan bola sepak akan disebut yang utama sebelum kita mula membincangkan berkenaan sukan-sukan lain yang Malaysia kuat setiap kali pertandingan dibuka.

Walaupun begitu ada beberapa sukan yang kurang dari tahap popularitinya di kalangan ahli masyarakat kita, tetapi sebenarnya melibatkan penyertaan atlet dari negara kita yang berjaya mencipta nama.

Ada yang duduk dalam kelompok terbaik bukan saja di peringkat Asia bahkan di peringkat dunia. Ada juga yang berstatus legenda, merajai kedudukan di antara semua atlet dalam sukan yang mereka pertandingkan bersama.

1. Sport Stacking

chan keng ian sport stacking

Tahukah anda pertandingan menyusun cawan juga dipertandingkan secara profesional?

Tahukah anda, ketika ini atlet dari negara kita bernama Chan Keng Ian sedang mendahului kesemua atlet negara lain dalam pertandingan yang dinamakan 'Sport Stacking'?

Pertandingan ini memerlukan seseorang menyusun cawan-cawan yang diletakkan di atas meja bagi membentuk sebuah menara. Keng Ian mula dikenali dengan sukan ini pada usia 13 tahun, selepas menduduki tangga ke 2 dunia dan diharap dapat menjadi wakil negara kita dalam Temasya Olimpik 2020.

Namun malangnya sukan tersebut tidak dipertandingkan, memadam hasrat Keng Ian untuk cuba menyumbang pingat bagi Malaysia.

Dia yang mula bermain sukan ini sejak usia 7 tahun, kini duduk dalam kelompok berbeza mendahului kesemua atlet lain sukan ini.

2. Sukan lari panjat menara

soh wai ching panjat menara

Soh Wai Ching mungkin bukan satu nama yang besar meniti di kalangan peminat sukan Malaysia, namun ketika ini beliau bergelar atlet nombor 1 di dunia dalam sukan yang sangat dicintainya - larian memanjat menara.

Pertandingan iuruskan oleh Tower Running World Association atau TWA, atlet yang menyertai sukan unik ini akan berlari memanjat menara-menara tinggi yang dijadikan 'litar' mereka.

Antara menara yang dijadikan lokasi kejohanan adalah Menara Tokyo, Menara Suntec City di Singapura, Menara Portland di Amerika Syarikat dan juga Menara Alor Setar di Kedah.

Soh Wai Ching ketika ini mengungguli kedudukan selepas memenangi beberapa kejohanan yang dianjurkan serta mempamerkan aksi yang sangat memukau. Perlari berusia 27 tahun itu baru saja memenangi acara memanjat 55 tingkat bangunan Plaza Penn 1 di New York dengan masa 5 minit 29 saat.

55 tingkat dalam 5 minit. Bayangkan!

3. Sukan Wushu

wong weng son juara dunia wushu

Kejohanan wushu sedunia anjuran Pertubuhan Wushu Antarabangsa (IWUF) merupakan acara kemuncak yang dinantikan semua penggiat seni bela diri wushu di seluruh dunia, telah berlangsung sejak tahun 1991 dan kali terakhir dianjurkan dalam tahun 2019.

Berdasarkan kedudukan kutipan pingat kejohanan yang dianjurkan dari mula penganjuran sehingga edisi terakhir, tidak ramai rakyat Malaysia mengetahui bahawa kontinjen negara kita menduduki tangga ke 8 secara keseluruhan daripada 65 negara anggota, di belakang China, Iran, Hong Kong, Rusia, Vietnam, Korea Selatan dan Macau.

Dalam edisi ke 2019 yang berlangsung di Shanghai, China, skuad kebangsaan kita menutup tirai kejohanan di tangga ke 6, membawa pulang 2 emas, 5 perak dan 1 gangsa.

Harapan kita dalam sukan ini digalas atlet lelaki Wong Weng Son, juara dunia kategori jianshu edisi 2017. Kami yakin ramai tak tahu ada anak Malaysia pernah bergelar juara dunia sukan wushu.

4. Sukan Go-kart

muizzuddin musyafa juara go kart eropah 02

Sukan go-kart jarang mendapat perhatian kita jika dibandingkan dengan sukan permotoran lain.

Mungkin atas sebab itulah tidak ramai tahu kejayaan yang pernah dirangkul seorang remaja berusia 13 tahun bernama Muizzuddin Musyaffa Abdul Gafar dalam tahun 2014, selepas beliau memenangi kejohanan WSK Champions Cup dalam kategori 60 mini di Eropah.

Bersaing mewakili Gamoto Racing, sebuah kelab dari Itali - kejayaan memenangi kategori itu menjadikan Muizzuddin individu dari Asia pertama berjaya bergelar juara dalam kejohanan itu. Tahun-tahun berikutnya Muizz kekal dalam sukan go-kart, naik ke kategori berbeza mendapat tempat ke 2 dalam kategori WSK Master Cup dan ke 3 dalam kategori KF, sebelum mendapat tempat ke 9 kategori junior dalam sirkit Kejuaraan Eropah.

Muizzudin kemudian mencuba nasib bersaing dalam Formula 4 Kejohanan Asia Tenggara, berjaya mencapai kedudukan ketiga dalam dua musim 2018 dan 2019 sebelum terpaksa mengharungi pandemik.

Dalam bulan Januari tahun 2022, Muizz menamatkan siri Kejuaraan Karting Malaysia, menamatkan saingan di tempat kedua.

5. Sukan Dodgeball

malaysia dodgeball pasukan juara dunia

Walaupun sukan dodgeball kini menjadi antara sukan pilihan yang ada dalam ko-kurikulum sekolah kita, populariti sukan ini di kalangan peminat sukan masih rendah. Sehinggakan tidak ramai tahu Malaysia adalah antara gergasi sukan ini baik dalam kategori lelaki mahupun wanita.

Mungkin disebabkan budaya kita yang lemah lembut, gemalai dan cekap mengelak daripada sesuatu memudahkan kita menjuarai pertandingan dodgeball peringkat antarabangsa.

Ketika artikel ini ditulis, pasukan lelaki kita menduduki tangga pertama dan pasukan wanita kedua - pernah bergelar pasukan nombor 1 dunia tak lama dulu.

Kejohanan Dodgeball Dunia bagi edisi tahun 2022 bakal dilangsungkan di Edmonton, Kanada bermula pada 28 Ogos sehingga 4 September, dengan penyertaan 25 buah negara. Untuk edisi kali ini, kategori pertandingan diperkembangkan kepada 3 - lelaki, wanita dan bercampur.

Malaysia diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan, selain daripada Amerika Syarikat dan Kanada.

Marilah kita sama-sama menyuarakan sokongan kita rakyat Malaysia kepada pasukan kita - juara dunia yang cukup underdog statusnya di negara sendiri.

iklan


Hakcipta iluminasi.com (2017)