lee chong wei vs chen long terbuka malaysia

Pasti ramai tidak percaya jika dikatakan, antara kebanyakan sukan, bulu tangkis badmintonlah yang menjadi raja kepada kelajuan. Lagilah tak percaya bila bulu tangkis yang hanya diperbuat daripada getah, gabus dan bulu angsa itu, mampu pergi jauh lebih pantas berbanding bola tenis yang dibina dengan teknologi moden atau bola golf, yang beratnya saja mampu membuatkan seseorang pengsan apabila terkena kepala.

Bulu tangkis adalah kereta api peluru yang setakat ini tidak mampu dikejar oleh sukan-sukan lain, tetapi tahukah anda rekod-rekod kelajuan yang pernah dicapai dalam sukan-sukan beraket ini?

1. Badminton : 409km/j

lee chong wei smash

Setakat ini, rekod dipegang oleh seorang pemain kerdil bernama Lee Chong Wei dari sebuah negara kerdil bernama Malaysia. Kelajuan pukulan kencang Chong Wei selaju 409km/j direkodkan dalam satu kejohanan di Hong Kong, menggunakan teknologi Hawk-Eye. Apa yang menariknya, dalam satu sesi ujian pembangunan raket dalam tahun 2013, pemain Malaysia, Tan Boon Heong merekodkan kelajuan 493km/j dengan menggunakan raket prototaip, namun rekod itu tidak dikira kerana bukan berlaku dalam perlawanan sebenar. Lee Chong Wei pada sesi sama, hanya mencatatkan 456km/j kelajuan.

2. Skuasy: 283km/j

cameron pilley skuasy makan buah

Skuasy nampak saja laju bolanya tetapi tidaklah selaju bulu tangkis badminton. Rekod kelajuan bola skuasy setakat ini dipegang oleh Cameron Pilley, pemain yang berada dalam kedudukan ke 17 dunia ketika artikel ini ditulis. Mempunyai ketinggian 193 cm, Pilley mempunyai kekuatan pukulan yang cukup mengkagumkan. Dia mencatatkan pukulan sepantas 283km/j pada tahun 2014.

3. Tennis : 263km/j

sam groth pemain tennis paling pantas serve

Pukulan paling pantas dalam sukan tennis selalunya berlaku ketika permulaan permainan, dalam pukulan servis. Pemain tennis yang memegang rekod pemukul kelajuan paling pantas yang dicatatkan secara rasmi adalah Samuel Groth, pemain yang pernah mencapai kedudukan 53 dunia. Diakui oleh ATP sebagai antara pemain mempunyai kelajuan servis paling menakutkan, Groth mencatatkan kelajuan 263km/j dalam satu perlawanan jelajah ATP Challenger.

4. Ping-pong : 116km/j

lukasz budnar cubaan rekod guinness ping pong

Bola yang ringan membuatkan kelajuan yang mampu dicapai dalam sukan ping-pong agak terbatas. Rekod kelajuan pukulan paling pantas bagi sukan ping-pong oleh pemain ping-pong amatur Poland, Lukasz Budner yang menyertai satu pertandingan di Poland. Beliau mencatatkan kelajuan 116km/j pada satu pukulannya.

5. Sebagai rujukan

atlit menembak

Sukan golf merupakan sukan kedua di mana bolanya terpantas. Pukulan golf paling pantas dicatatkan oleh Jamie Sadowlski dengan kelajuan 235km/j. Sadowlski juga adalah pemegang rekod jarak yang dicapai dalam satu pukulan.

Sebagai rujukan paling penting, sebiji peluru mempunyai kelajuan sekitar 2735km/j. Itulah dia contoh bagaimana manusia menyalah gunakan kebolehan dan bakat mereka, mencipta sesuatu yang pantas tetapi gunanya untuk membunuh nyawa lain.


tags : , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)