Oleh pada 08 Apr 2018 kategori

Kredit foto: Mstar

Fadhli Hariz Fayahet, 25, dinobatkan juara Bintang RTM 2018 (BRTM) dalam pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Hariz yang berasal dari Selangor mendapat ganjaran berupa wang tunai sejumlah RM20,000 bersama trofi.

Beliau mempertaruhkan lagu Fantasy vs Polaroid secara battle dan mash up, gandingan bersama Mel Sakura.

Diikuti single terbaru ciptaan Manusia Putih, Yang Terbaik, dan sebuah lagi persembahan dalam pusingan battle.

Antara lain, Hariz merangkul kemenangan dalam kategori Vokal Terbaik bersama habuan wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.

Tangga kedua berpihak kepada Heidi Vanessa Moruning, 24, berasal dari Sabah untuk ganjaran wang tunai RM15,000, sebuah lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil serta trofi.

Muhammad Hafiz Zainal, 26, menduduki kedudukan ketiga sekaligus meraih wang tunai RM10,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil serta trofi.

Hafiz, peserta kelahiran Johor Bahru ini juga menjadi pemenang kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.

tuah hariz dinobatkan juara bintang rtm 2018 2

Kredit foto: Mstar

Lain-lain finalis ialah Ferona Paimin, 22, Muhammad Yasser Sharifudin, 22, dan Nur Jannah Abu Hanipah, 20, dikurniakan hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan, sijil serta trofi.

Pusingan akhir memberi cabaran kepada para peserta BRTM 2016 melunaskan tanggungjawab dalam tiga tugasan berbeza, iaitu persembahan lagu battle dan mash up bersama vokalis band popular, persembahan lagu baharu yang digubah komposer terkemuka dan aksi battle antara peserta lelaki dan perempuan.

Keputusan dinilai oleh juri profesional yang terdiri daripada artis versatil Adibah Noor, pengarah muzik Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS dan guru vokal Datuk Syafinaz Selamat.

Dikemudi oleh pasangan hos Aqasha dan Misha Omar, Bintang RTM 2018 ditayangkan secara tertunda di saluran TV2 pada jam 10.30 malam.

Manakala siaran langusng hanya ke udara menerusi Facebook Live RTM, jam 8.35 malam.

Memeriahkan lagi acara adalah persembahan selingan daripada penyanyi-penyanyi hebat tanah air seperti Datuk Awie, Ella, Sufian Suhaimi.

Tidak terkecuali, Is (Projektor Band), Arul (Sevendays), Ameer (Sofazr), Mel (Sakura Band), Neeta (IamNeeta) dan Aepul (Drama Band) diundang menjadi artis undangan untuk menjayakan segmen duet dengan finalis akhir.




Hakcipta iluminasi.com (2017)