Oleh pada 21 Sep 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Hanya dua hari sebelum tibanya konsert akhir Big Stage 2018 yang mempertaruhkan lima bintang bagi merebut gelaran juara.

Mereka ialah Syafiq Farhain, Sarah Suhairi, Afieq Shazwan, Wani Kayrie dan Baby Shima.

Konsert separuh akhir lalu menyaksikan Syafiq mengungguli persaingan apabila meraih kutipan markah tertinggi daripada juri profesional.

Bagaimana pula nasib beliau di konsert kemuncak yang akan berlangsung pada malam Ahad ini, 23 September di Auditorium MBSA, dengan turut dipancarkan secara langsung di saluran Astro Ria, jam 9 malam.

Jika mengikut prestasi sepanjang pertandingan, Syafiq seolah mempunyai tiket untuk menang dengan mudah kerana seringkali menduduki carta kedudukan teratas berdasarkan penilaian juri.

Namun harus diingat, penilaian konsert akhir tidak berpandukan seratus peratus markah juri profesional kerana difahamkan, ia juga akan membabitkan undian peminat menerusi aplikasi Tik Tok.

Bercakap tentang undian penonton, ia bagai membuka ruang kepada Sarah Suhairi untuk mengintai kejuaraan kerana seringkali memenangi carta undian usai berakhirnya konsert setiap minggu.

Bukan sahaja mendapat sokongan peminat, malah bakatnya turut disenangi para juri meskipun kelihatan terganggu sejak akhir-akhir ini kerana prestasi persembahan yang tidak menentu.

Malah di peringkat separuh akhir, Sarah menduduki 'bottom three' dan nyaris tersingkir. Diharapkan beliau dapat mengembalikan fokus agar dapat memberikan persembahan terbaik seperti lazimnya di minggu-minggu awal.

Afieq Shazwan tak kurang hebatnya kerana bak kata juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza, beliau sering tampil konsisten setiap konsert dan dilihat bersungguh-sungguh mempamerkan kualiti persembahan terbaik. Malah Faizal Tahir pula menggelarkan dirinya sebagai seorang penghibur.

Manakala Wani Kayrie semakin menampakkan taringnya terutama selepas menerima 'imuniti' daripada Siti Nurhaliza yang menyelamatkannya daripada tersingkir di minggu keenam.

Manakan tidak, di konsert separuh akhir, persembahan Wani bukan sahaja digelarkan Faizal sebagai yang terbaik di antara yang lain, malah buat pertama kalinya dia menduduki tangga kedua dan hanya tewas dua mata di belakang Syafiq.

Yang terakhir, Baby Shima juga tidak wajar dipandang ringan. Berbekalkan pengalaman yang luas dalam dunia hiburan, Shima sentiasa nampak selesa menyanyi di pentas walaupun teknik nyanyiannya adakala mendapat teguran Siti Nurhaliza kerana masih tidak sempurna.

Meskipun Syafiq dijangkakan bakal memenangi musim pertama program realiti terbaharu ini, namun apa sahaja boleh berlaku terutamanya apabila markah keseluruhan turut melibatkan undian penonton.

Dalam pada itu, bagi meredakan debaran menanti siaran konsert, Iluminasi menyenaraikan lagu-lagu tugasan mereka di minggu penentuan ini.

senarai lagu dan ramalan juara konsert akhir big stage 2

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Single Baharu

  1. Afieq Shazwan - Darjat
  2. Wani Kayrie - Saat Terindah
  3. Sarah Suhairi - Nyawa & Raga
  4. Baby Shima - Sirna
  5. Syafiq Farhain - Aku Jatuh Cinta

Cover Penentuan

  1. Afieq Shazwan - Footloose
  2. Sarah Suhairi - Awan Yang Terpilu
  3. Wani Kayrie - Pematah Hati
  4. Syafiq Farhain - Antara Hujan & Airmata
  5. Baby Shima - Police Entry



Hakcipta iluminasi.com (2017)