Oleh pada 04 Feb 2019 kategori

Kredit foto: Instagram @tv3malaysia

           

Lagu Haram ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong dinobatkan sebagai juara pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-33 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, bersiaran secara langsung di TV3 sebentar tadi.

Karya nyanyian Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah itu layak membawa pulang wang tunai RM50,000 dan sebuah trofi.

Ia sekaligus menjadi kemenangan tahun kedua buat gandingan Hael dan Ezra yang sebelum ini mengungguli AJL32 menerusi Jampi.

Sementara itu, naib juara menjadi milik Bunga nyanyian Ara Johari, ciptaan Hang Nadim, Laq, Kadok dan lirik pula oleh Hang Nadim dengan habuan wang tunai RM35,000 dan trofi.

Manakala tangga ketiga milik karya Sampai Bila dendangan Misha Omar, komposernya Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya serta Shah Shamshiri. Mereka menerima ganjaran wang tunai RM20,000 dan trofi.

Menerusi lagu sama, Misha diiktiraf anugerah Vokal Terbaik dengan hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Manakala kehangatan persembahan Sufian Suhaimi di pentas menyampaikan lagu hitsnya, Di Matamu beroleh trofi Persembahan Terbaik, sekaligus membawa pulang wang tunai RM12,000, trofi dan sebuah telefon pintar kamera kuad, Samsung Galaxy A9.

Lain-lain pencalonan yang tidak kurang hebatnya ialah Hajat nyanyian Hael Husaini, Semakin (Siti Sarah), Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor), Tak Pernah Hilang (Kaer dan Amylea), Luluh (Khai Bahar), Bunga (De Fam), Kau Pun Sama (Syamel) dan Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra).

Keputusan diadili barisan juri profesional terdiri daripada Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, Helen Yap, Ajai, Lok Yu, Ly, Ag Coco, Adi Priyo dan Azmeer selaku ketua juri.

Acara muzik tahunan berprestij itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan iaitu kumpulan Search, DJ Fuzz, Sarah Suhairi, Ismail Izzani, Nabila Razali, Nico, Juzzthin, Balan, Lil J, Zizi Kirana, Aman Ra, Joe Flizzow, Sonaone dan Alif.

AJL33 dikemudikan pasangan pengacara Alif Satar dan Sherry AlHadad. Manakala Haziq Hussni bertindak sebagai hos program Debaran AJL 33.

          

haram ditabal anugerah juara lagu 33 2

Kredit foto: Instagram @tv3malaysia

            

Senarai lagu bertanding mengikut giliran persembahan:

1) Luluh (Khai Bahar)

2) Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra)

3) Kau Pun Sama (Syamel)

4) Tak Pernah Hilang (Kaer dan Amylea)

5) Hajat (Hael Husaini)

6) Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor)

7) Di Matamu (Sufian Suhaimi)

8) Bunga (De Fam)

9) Semakin (Siti Sarah)

10) Bunga (Ara Johari)

11) Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah)

12) Sampai Bila (Misha Omar)

       




Hakcipta iluminasi.com (2017)