Kredit: Instagram @jasminhamidjh
Pelakon, Jasmin Hamid meluahkan rasa syukur kerana dapat menziarahi kubur arwah ibu bapanya setelah sekian lama kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, beliau berasa hairan kerana jumlah pengunjung didapati tidak ramai dan terdiri dari muka sama.
"Hati kecil saya bertanya, 'kenapa tiada yang datang menziarah selain dari orang yang sama sahaja?'. Sedangkan ketika itu hujung minggu dimana bukan semua orang bekerja dan tinggal di luar daerah.
"Untuk kebanyakan yang dikebumikan, keutamaan diberikan untuk kariah di sini. Hanya segelintir sahaja orang luar daerah.
"Walhal semasa PKP dilaksanakan, ramai yang tidak berpuashati kawasan tanah perkuburan ditutup sehingga ada yang disaman kerana menziarahi kubur," tulisnya.
Dalam situasi ini, beliau kesal apabila kebanyakan sanggup bersesak untuk berbuat demikian ketika Hari Raya Puasa dan Korban.
"Mengikut pengalaman saya sendiri, ramai yang ziarah kubur hanya semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Sehingga jalan sesak untuk memasuki kawasan tanah perkuburan. Sudah seperti pesta.
"Semenjak itu, saya akan menziarahi kubur ibubapa saya sehari sebelum raya kerana tidak sanggup untuk berebut parkir dengan pengunjung lain," luahnya.
Beliau juga mengingatkan supaya masyarakat Islam mementingkan keseimbangan di dunia dan akhirat.
"Apabila kerajaan sudah benarkan, tiada pula berduyun-duyun orang datang menziarah. Mungkin ramai yang sibuk penuhkan tempat percutian dari masjid dan tempat sebegini.
"Ini adalah fitrah manusia. Bersangka baik sahajalah," sambungnya.
Tambahnya, kesibukan kerja bukanlah alasan untuk mengabaikan masa bersama orang tersayang.
"Saya sentiasa ingat pesan arwah nenek saya, selagi kita hidup, kerja tidak akan pernah habis. Kita sendiri perlu tentukan masa itu selagi Allah masih pinjamkan nafas," nasihatnya.
Komen Pilihan
"Masjid juga sama. Apabila sudah dibuka, ahli jawatankuasa sahaja yang kelihatan.
"Kebanyakan hanya datang ketika solat Jumaat. Itu pun masjid di tempat kerja, bukannya di kariah tempat tinggal," tulis seorang pengguna Instagram.
Sumber: Instagram Jasmin Hamid