Kredit foto: kwiknews.my
Pelakon Jasmin Hamid kesal apabila ada segelintir pihak menganggap dia tidak layak untuk berkongsi mengenai malam Lailatul Qadar hanya kerana tidak bertudung.
"Saya berbogel di media sosial ke? Saya murtad ke? Saya ganggu keluarga kamu ke? Saya makan duit rakyat ke?" luahnya dalam kiriman Instagram.
Ia susulan tindakan beliau memuat naik video perkongsian tentang malam Lailatul Qada di laman sosial itu.
Pelakon yang telah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni ini berkata, dia terkilan apabila penampilannya yang tidak menutup aurat dikaitkan dengan usaha untuk mendekati dan menyebarkan ilmu agama sempena bulan suci ini.
"Tak ada angin tiba-tiba nak 'nerakakan' saya sampai sanggup bertubi-tubi menghantar mesej peribadi.
"Hanya kerana saya muat naik dan kongsi mengenai malam Lailatul Qadar, saya dikecam. Umpama orang yang tak bertudung macam saya tak layak kongsi mengenai Islam.
"Adakah orang yang bertudung saja layak dekat pada Allah SWT? Orang yang tak bertudung dan dianggap jahil macam saya tak layak belajar mendekatkan diri pada Allah SWT sampai bila-bila?" katanya.
Kredit foto: Instagram Jasmin Hamid
Terdahulu, aktres berusia 46 tahun itu memuat naik mesej peribadi dikirimkan netizen di Instagram miliknya berkenaan nasihat menyuruhnya bertaubat kerana usia yang sudah lanjut.
Jasmin berkata, selama ini dia tidak pernah mengaibkan sesiapa biarpun berdepan kecaman teruk di ruangan komen.
"Selama ini saya hanya diam dan sekat netizen yang negatif tetapi makin menjadi-jadi pula netizen sekarang. Sampai sanggup mengguris perasaan saya.
"Tak habis-habis isu tudung, apa yang kamu sakit hati sangat ya? Hanya sebab saya artis dan tak bertudung, kalian boleh komen sesuka hati?
"Saya tetap padam nama pengirim mesej negatif ini sebelum kongsi sebab tak nak aibkan sesiapa.
“Tujuan utama saya untuk beritahu pada orang yang buat macam itu. Pada yang nak baca, silakan, pada yang tak suka, abaikan," katanya.
Doa yang sering dilayangkan netizen di media sosial pula kata Jasmin, sepatutnya disedekahkan ketika bersolat.
"Doakan orang yang kamu sayang di dalam sujudmu, bukan di media sosial. Allah SWT maha mengetahui," tegasnya.