Thomas Stevens, juga dikenal sebagai Tom dilahirkan di Castle Street, Berkhamsted. Beliau adalah manusia pertama yang mengelilingi dunia dengan basikal. Menariknya, Thomas Stevens tidak menunggang basikal biasa yang kita lihat pada hari ini tetapi menunggang basikal beroda besar, juga dikenali sebagai "penny-farthing" dari April 1884 hingga Disember 1886.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setelah menamatkan pendidikannya di Bourne Charity School, Thomas Stevens mendapat pekerjaan pertamanya di kedai runcit. Pada tahun 1871, beliau telah menyimpan wang yang cukup banyak untuk berhijrah ke Denver, Amerika Syarikat secara bersendirian dengan menaiki kapal.

Dua tahun kemudian, ibu bapa dan abangnya mengikut jejak langkahnya berpindah. Tetapi Thomas Stevens tidak tinggal lama bersama keluarganya dan selepas itu, berpindah pula ke San Francisco di mana beliau belajar menunggang basikal "penny-farthing", salah satu jenis basikal generasi terawal.

Thomas Stevens mendapat pekerjaan di kilang kereta api Wyoming di mana beliau tinggal selama 2 tahun sebelum dihalau keluar kota kerana mengimport pekerja dari Britain dan mengambil sebahagian dari gaji mereka atas "pertolongan" yang lakukannya untuk mereka.

Perjalanan yang tidak dirancang

thomas stevens kayuh basikal 908

Kemudian, beliau mula bekerja di lombong Colorado. Disinilah beliau mendapat idea untuk menunggang basikal ke seluruh Amerika. Segala-galanya bermula pada tahun 1884 setelah Thomas Stevens membeli sebuah basikal "Columbia Standard" hitam yang dibuat oleh Pope Manufacturing Company of Chicago.e

Beliau mengemas begnya dengan hanya membawa barang-barang seringan mungkin - hanya beberapa helai stokin, t-shirt, baju hujan yang juga digunakan sebagai khemah dan alas tidur dan revolver kecil bersaiz poket.

Thomas Stevens memulakan perjalanan mengelilingi Amerika Syarikat dengan basikalnya pada 22 April 1884. Ketika itulah beliau memutuskan untuk menunggang basikal dari pantai barat AS ke pantai timur merangkumi jarak keseluruhan 5,953 kilometer dan mengambil masa 103 hari untuk tiba di Boston.

Di setiap perhentian, beliau disambut oleh ahli kelab basikal tempatan. Akhirnya, pada 4 Ogos 1884, beliau sampai di Boston dan pantai timur Amerika Syarikat. Dengan pencapaian itu, secara rasminya beliau menjadi individu pertama telah melakukan perjalanan menaiki basikal merentasi AS.

Pengembaraan mengellilingi dunia

berbasikal keliling dunia

Namun, setelah itu beliau seolah-olah tidak dapat berhenti di situ, ketagih untuk pergi lebih jauh. Dalam kayuhan perjalannya di Amerika Syarikat, Thomas Stevens berulang kali menulis artikel untuk majalah di mana beliau berkongsikan mengenai pengembaraannya.

Tulisannya ini telah menarik perhatian pengeluar basikal Albert Pope yang bersetuju untuk membiayai perjalanan ke seluruh dunia untuknya. Ini merupakan satu tawaran yang tentu saja tidak dapat ditolak olehnya. Daripada hanya merentasi negeri-negeri di Amerika Syarikat, beliau kemudian memulakan perjalanan merentasi negara-negara seluruh dunia.

Pada 9 April 1885, Thomas Stevens meninggalkan Amerika Syarikat dengan basikalnya dan melakukan perjalanan dengan kapal dari New York ke Liverpool dan tiba disana pada 19 April 1885. Beberapa hari kemudian beliau meninggalkan bandar Liverpool dengan basikalnya dan memulakan perjalanan melalui Eropah.

rekod dunia berbasikal

Dari Perancis, beliau berbasikal ke Jerman, Austria dan Hungary. Di Hungary, beliau disertai oleh penunggang basikal lain yang tidak dapat berbahasa Inggeris dan hanya menemaninya sebentar. Dari Hungary, beliau terus berbasikal melalui Slavonia, Serbia, Bulgaria, Rumelia dan akhirnya tiba di Constantinople (Istanbul), Turki destinasi terakhir perjalanan Eropahnya.

Di Constantinople, beliau berehat sebentar dan disinilah beliau mendapat pengalaman buruk apabila diserang. Tetapi beliau tidak membiarkan hal itu melemahkan semangatnya dann meneruskan perjalanan ke Tehran, Afghanistan dan India.

Rancangan awal beliau adalah untuk mengelilingi Siberia tetapi permohonannya untuk memasuki Siberia ditolak dan pada 10 Mac 1886 beliau pergi ke Afghanistan di mana permohonannya sekali lagi ditolak. Tidak dapat menuju ke arah itu, beliau kembali ke Constantinople dan menaiki kapal wap ke India.

thomas stevens 506

Dari Calcutta, Tom sekali lagi menaiki kapal yang membawanya ke Hong Kong. Di sini beliau memulakan perjalanannya ke China. Kemudian beliau menaiki kapal lain ke Jepun. Jepun merupakan  pengakhiran kepada perjalannya dengan menunggang  basikal mengelilingi seluruh dunia.

Pengembaraannya secara rasminya berakhir pada 17 Disember 1886 di Yokohama. Secara keseluruhan, Thomas Stevens menempuh jarak kira-kira 22,000 kilometer dengan basikalnya. Setelah kembali ke San Francisco dengan kapal, beliau disambut  oleh penduduk tempatan dan kemudian telah menulis buku setebal 1000 halaman yang menceritakan pengembaraannya sepanjang perjalanan.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. The Vintage News
  3. Capovelo



Hakcipta iluminasi.com (2017)