Oleh pada 12 Sep 2019 kategori

Penjelajah Portugis, Ferdinand Magellan, sering dikreditkan sebagai orang pertama mengelilingi dunia. Dia dikatakan berjaya menemui laluan pelayaran mengelilingi dunia apabila cuba membuktikan bahawa bumi ini bulat. Namun, realiti perjalanannya adalah lebih rumit. 

panglima awang enrique de malacca keliling dunia

Semasa melakukan pelayaran mengelilingi dunia, Magellan telah terbunuh dalam satu pertempuran dengan penduduk asli Mactan, Cebu, yang dipimpin oleh panglima Lapu-Lapu. Ini menyebabkan perjalanannya mengelilingi dunia tidak selesai.

Siapakan manusia pertama mengelilingi dunia?

Jika bukan Magellan, siapakah orang pertama yang mengelilingi dunia? Ada berpendapat mengatakan orang itu ialah Juan Sebastian Elcano yang menjadi ketua ekspidisi baru setelah kematian Magellan pada 1521.

juan sebastian elcano

Juan Sebastian Elcano

Elcano mungkin menjadi orang yang berjaya mengelilingi dunia dalam satu pelayaran tunggal. Namun, dia bukanlah yang pertama. Kebanyakan ahli sejarah memberikan penghormatan itu kepada seorang hamba dari Tanah Melayu bernama Enrique de Malacca.

Siapakah sebenarnya individu bernama Enrique de Malacca ini? Bagaimanakah seorang hamba dari Tanah Melayu boleh menjadi orang pertama belayar mengelilingi dunia? 

Pada 11 September 1509, Ferdinand Magellan adalah salah seorang daripada peserta yang mengikuti Diogo Lopes de Sequeira sebagai duta Portugis ke Melaka. Duta itu dihantar untuk mengenalpasti potensi perdagangan di Melaka.

ferdinand magellan 428

Ferdinand Magellan

Pada tahun berikutnya, de Sequiera bersama rombongannya (termasuk Magellan) telah melarikan diri dari Melaka setelah mendapati Sultan Mahmud Shah merancang pembunuhannya tetapi 18 orang ahli ekspidisi mereka yang lain berjaya ditangkap.

Pada tahun 1511, armada Portugis yang diketuai oleh Afonso de Albuquerque telah menawan Melaka. Magellan juga menyertai kempen perang ini. Mereka kemudian memecah masuk istana Sultan Melaka dan di sinilah Magellan merampas seorang hamba Melayu berusia 16 tahun bernama Enrique.

Panglima Awang a.k.a Henry The Black

patung enrique de malacca

Panglima Awang a.k.a Henry The Black

Asal usul Enrique diperdebatkan oleh ramai sejarawan. Ada yang menyatakan beliau berasal dari Melaka, Sumatera, Maluku atau Cebu. Enrique de Malacca juga dikenali dengan nama Panglima Awang atau Henry The Black.

Bagaimana Enrique boleh berada di istana Sultan Melaka sekiranya dia bukan berasal dari Melaka? Pada kurun ke-14 dan 15, Melaka merupakan kawasan perdagangan Asia paling aktif. Banyak negara jiran seperti Pagan (Kemboja), Ayutthaya (Thailand), Annam (Vietnam) dan Borney (Borneo) ingin membina pengaruh maritim mereka di Melaka.

Pada waktu itu, ramai pemimpin dan perwakilan penting menghantar anak-anak lelaki mereka untuk berkhidmat di istana Sultan Melaka. Enrique dipercayai adalah salah seorang daripadanya.

antonio pigafetta

Antonio Pigafetta

Tiada rekod bertulis khusus dalam kesusasteraan Melayu yang menceritakan tentang Enrique kecuali disebut sebagai Panglima Awang sahaja. Rekod paling terkenal tentang Enrique ditulis oleh Antonio Pigafetta, seorang kelasi Itali yang menyertai kru Magellan.

Menurut catatan Pigafetta, Enrique berasal dari Sumatera dan tinggal di Melaka. Semasa Portugis datang menyerang, Enrique adalah salah seorang tentera yang mempertahankan kota Melaka. Magellan membawa Enrique belayar kerana pengetahuannya tentang navigasi dan keupayaannya berkomunikasi dalam Bahasa Melayu.

Belayar bersama Magellan

panglima awang enrique de malacca

Enrique menjadi seorang yang sangat berguna kepada Magellan kerana dia memerlukan seorang jurubahasa dan pemandu arah untuk meneruskan perjalanannya ke bahagian lain di Asia Tenggara selepas Melaka. Enrique turut serta dalam semua usaha perang armada Portugis termasuk Ceuta, Mozambique, Goa dan Mactan.

Pada tahun 1512, Magellan kembali ke Lisbon bersama Enrique. Ketika inilah Panglima Awang diberikan nama Kristian "Enrique" (Bahasa Sepanyol) atau "Henrique" (Bahasa Portugis) setelah dibaptiskan dalam Gereja Katolik Roman sempena perayaan St. Henry.

ekspidisi magellan

Apabila dia dituduh sebagai seorang yang korup, Magellan kemudian memberikan perkhidmatannya kepada Raja Charles dari Sepanyol pada tahun 1517. Magellan menawarkan untuk membantu Sepanyol mencari laluan baru ke Kepulauan Rempah di Kepulauan Melayu dari arah barat melalui Lautan Pasifik.

Dia berjaya meyakinkan Raja Charles dengan memperkenalkan Enrique yang mahir dalam bahasa tempatan (Kepulauan Melayu) dan pelayaran. Magellan kemudian diberikan lima kapal layar untuk memulakan ekspidisi barunya. 

Ekspidisi laluan baru ke Kepulauan Rempah

kapal victoria

Mereka meninggalkan Sepanyol pada 20 September 1519 dan menyeberangi Atlantik, seterusnya menuju ke Amerika Selatan dan Pasifik. Sepanjang ekspidisi, mereka menghadapi pelbagai kesukaran seperti kelaparan, penyakit dan pemberontakan anak kapal.

Akhirnya mereka tiba di Pulau Marianas (terletak antara Jepun dan Filipina). Di sini mereka mendapatkan bekalan makanan dan peralatan lain yang diperlukan. Pada 17 Mac 1521, pasukan ekspidisi itu tiba di tempat yang dikenali pada hari ini sebagai Filipina. Di sini Enrique memainkan peranan penting sebagai jurubahasa kepada Magellan. 

enrique de malacca akhbar

Ini bermakna, Enrique sudah belayar bersama Magellan dari Melaka ke seluruh Lautan Hindi, benua Afrika, Eropah, Atlantik, Afrika Selatan dan Pasifik. Ketika ini Enrique sudah hampir mengelilingi dunia.

Di Cebu, Magellan bertemu dengan pemerintah tempatan iaitu Raja Humabon. Bersama-sama 800 rakyatnya, Raja Humabon berjaya dikristiankan Magellan. Raja Humabon kemudian meminta bantuan Magellan untuk menghapuskan sekumpulan pemberontak di Mactan yang diketuai oleh panglima Lapu-Lapu.

Peperangan Mactan

arca panglima lapu lapu

Arca panglima Lapu-Lapu

Magellan bersetuju dengan permintaan Raja Humabon dan melancarkan serangan terhadap kumpulan pemberontak itu pada 27 April 1521. Malangnya, Magellan telah terbunuh dalam serangan itu akibat terkena panah beracun.

Selepas kematian Magellan, Enrique berasa sangat sedih. Menurut Pigafetta, walaupun sebagai seorang hamba, Enrique dan Magellan mempunyai persahabatan yang baik. Kumpulan ekspidisi yang terselamat dalam peperangan Mactan kemudian kembali ke Cebu.

Kumpulan itu telah melantik ketua ekspidisi yang baru iaitu Duarte Barbossa. Barbossa ingin mengekalkan Enrique sebagai jurubahasa dan hamba di kapal mereka itu. Keputusan itu membuatkan Enrique tidak gembira.

patung raja humabon

Patung Raja Humabon

Enrique akhirnya berpakat dengan Raja Humabon. Pada keesokan harinya, Enrique memberitahu kumpulan ekspidisinya bahawa Raja Humabon telah menyiapkan batu permata seperti berlian sebagai hadiah kepada Raja Sepanyol.

Sekumpulan anak kapal Sepanyol yang diketuai oleh Barbossa pergi untuk mengambil hadiah itu tetapi mereka sebaliknya diserang. Menurut rekod rasmi Sepanyol, 27 orang terselamat daripada serangan itu termasuk Enrique.

Hilang dari sejarah

arca enrique de malacca

Arca Enrique de Malacca di salah sebuah pameran luar negara

Selepas serangan itu, nama Enrique of Malacca hilang dari sejarah. Diari Pigafetta juga tidak menyatakan dengan jelas tentang keberadaan Enrique. Sesetengah ahli sejarah mendakwa dia kembali ke tanah airnya di Sumatera atau pulang ke Melaka. Ada juga yang mengatakan bahawa dia terus menetap di Cebu. 

Juan Sebastian Elcano dilantik menjadi ketua ekspidisi yang baru dan mereka belayar kembali ke Sepanyol. Pada 6 September 1522, satu-satunya kapal yang masih tinggal, Victoria, selamat tiba di pelabuhan Sanlucar de Barrameda, Sepanyol. Hanya 18 daripada 280 orang anak kapal yang selamat.

Jika Enrique de Malacca pulang ke Melaka atau Sumatera, ini bermakna dia merupakan manusia pertama yang berjaya mengeliling dunia.

Rujukan:

1. Manusia pertama mengelilingi dunia adalah dari Tanah Melayu

2. Enrique de Malacca, manusia pertama belayar mengelilingi dunia

3. Siapakah manusia pertama mengelilingi dunia?



Hakcipta iluminasi.com (2017)