Sebut tentang liga bola keranjang Amerika Syarikat atau NBA, nama-nama legenda sukan tersebut seperti Michael Jordan, Kareem Abdul Jabbar, Kobe Bryant, Magic Johnson serta LeBron James menjadi sebutan.

Majoriti nama-nama besar dalam sukan tersebut sehingga kini didominasi atlet berkulit hitam, walaupun pemain seperti Yao Ming, John Stockton serta Larry Bird berjaya memecahkan penguasaan pemain kulit hitam dalam liga tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda satu ketika dulu sebelum pemain kulit hitam dibenarkan menyertai liga NBA, pemain pertama bukan kulit putih bermain bola keranjang dalam liga profesional Amerika Syarikat adalah seorang pemain berketurunan Jepun?

Berdiri tak sama tinggi, duduk tak sama rendah

pemain bola keranjang nba pertama jepun 458

Wataru Misaka atau lebih terkenal dengan nama 'Wat Misaka' lahir pada 21 Disember 1923, di Ogden, Utah merupakan generasi kedua kumpulan pendatang Jepun, yang hadir ke Ogden bagi memulakan hidup baru di situ.

Zaman kecilnya diharungi dalam keadaan sukar ekoran kedaifan keluarganya dari aspek kewangan, tinggal di kawasan setinggan sambil kedua ibu bapanya berusaha menjalankan kedai gunting rambut.

Sesuatu yang unik berkenaan Wat adalah bakatnya dalam sukan yang ada secara semulajadi. Dia terkenal di kalangan komuniti kecil mereka sebagai seorang pemain bowling yang handal serta cekap bermain sukan tenis.

Oleh kerana status beliau sebagai seorang berdarah Jepun, tidak ramai mengambil kisah penglibatan Wat dalam sukan bola keranjang bersama pasukan sekolah tingginya- walaupun Wat menang kejohanan bola keranjang peringkat negeri sekitar dekad 1940-an, meneruskan minatnya dalam sukan itu ke peringkat kolej.

Menyertai University of Utah, Wat menjuarai kejohanan berprestij peringkat universiti NCAA sebanyak dua kali, sebelum dikerah menyertai perang dunia bersama angkatan tentera Amerika Syarikat.

Ironinya, dia ditugaskan di Jepun untuk beberapa tempoh waktu.

Di Jepun, dia berdepan diskriminasi dari pasukan sendiri yang merasakan dia seorang pengintip tentera Jepun. Masyarakat tempatan pula melihat Wat sebagai seorang pembelot.

Terpanggil menyertai pemilihan BAA

pasukan bola keranjang basketball wat misaka

Tamat perkhidmatan tentera , Wat kembali menyarung jersi bola keranjang berjaya menjuarai satu lagi kejuaraan bersama universitinya dalam National Invitation Tournament edisi 1947.

Prestasi baik serta pengaruh besar yang dimainkan dalam pasukannya melayakkan Wat disenaraikan dalam senarai pemilihan liga BAA (nama lama bagi NBA) tahun yang sama, membuka peluang untuk dirinya menjadi seorang atlet profesional.

Ketika itu semua pemain BAA datang daripada kumpulan pemain berkulit putih, orang Caucasian-lah 100%.

Penyenaraian Wat menjadikan dia bergelar individu pertama berjaya memecah masuk ke dalam sukan tersebut, yang ketika itu masuk tahun kedua kejohanan. Wat terpilih menyertai kelab New York Knicks, mencatat sejarah sebagai atlet pertama bukan kulit putih bukan saja dalam liga bola keranjang profesional Amerika Syarikat.

Pada era tersebut, keterbukaan masyarakat Amerika Syarikat untuk menerima kehadiran atlet bukan kulit putih ke dalam liga sukan profesional masih berdepan kesukaran, walaupun sudah mula mengalami perubahan ketara.

Selain Wat yang terpilih dalam liga sukan bola keranjang, Jackie Robinson menempa nama beberapa bulan sebelum Wat menjadi pemain kulit hitam pertama berjaya menyarung jersi pasukan kelab besbol profesional Amerika Syarikat, yang menjadi satu titik tolak sejarah yang sangat besar bagi negara tersebut. 

Pencapaian Wat menyertai New York Knicks mendapat liputan media serta sokongan komuniti Jepun-Amerika yang ada.

Namun malangnya Wat yang hanya mempunyai ketinggian 5 kaki 7 inci, tidak dapat meneruskan prestasi cemerlangnya berdepan pemain-pemain lain yang lebih tinggi dan besar berbanding dirinya.

Pemecah stigma yang merasakan dirinya tidak penting

wat misaka ketika tua

Semasa menyertai New York Knicks selama satu musim, Wat mengaku dirinya gagal menyesuaikan diri, kurang bergaul dengan teman sepasukan yang lain walaupun tidak berdepan diskriminasi akibat warna kulit berbeza. 

Bagaimanapun di atas gelanggang dia terpaksa berhadapan ancaman rasisme, ekoran tahap kesedaran peminat bola keranjang Amerika Syarikat ketika itu yang masih rendah.

Dalam tiga perlawanan disertai, Wat berdepan herdikan rasis penonton menggesanya pulang semula ke Jepun - walaupun dia seorang warganegara tempatan. Kedudukan Wat sebagai pemain juga goyah, disebabkan oleh kehadiran ramai pemain lain yang bersaing posisi sama.

Dalam musim kemunculan sulungnya yang juga satu-satunya musim dia menyertai liga profesional, Wat diturunkan 3 kali; dua kali sebagai pemain gantian dan sekali sebagai barisan utama. Prestasinya sederhana serta dikritik terlalu kecil untuk bersaing dengan lebih baik.

Ekoran daripada kegagalan untuk kekal sebagai pemain profesional, Wat merasakan sejarah yang dicatatkan beliau menjadi pemain bukan kulit putih pertama layak bermain di BAA/NBA, bukanlah sesuatu yang patut diraikan. 

Tetapi kemasukannya ke dalam liga profesional itu sebenarnya merintis kepada perubahan besar-besaran fasa seterusnya, dengan penyertaan pertama 3 pemain kulit hitam iaitu Earl Lloyd, Chuck Cooper dan Nat Clifton, mencatat sejarah tersenarai dalam draf liga NBA tahun 1950.

Wat pula mengambil keputusan untuk tidak lagi meneruskan karier bola keranjang, menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti. Selepas graduasi, dia memulakan karier sebagai seorang jurutera elektrik.

Wataru Misaka baru meninggal dunia pada 20 November 2019, sempat menyaksikan perubahan besar berjaya dilakukan bukan saja kepada sukan yang disayanginya berlaku secara besar-besaran, bahkan penerimaan positif masyarakat Amerika Syarikat dalam menerima perbezaan warna kulit.

Kini liga bola keranjang NBA meraikan perbezaan identiti sambil menyaksikan kemasukan lebih ramai pemain berketurunan Jepun dalam liga. Nama seperti Rui Hachimura dan Yuta Watanabe kini menjadi pemain utama pasukan mereka, turut menjadi idola kepada ramai anak muda di negara matahari terbit itu. 

Semuanya bermula dengan seorang anak pendatang Jepun berwarganegara Amerika Syarikat yang berani ke depan, ketika Amerika Syarikat masih mementingkan warna kulit dan keturunan - berbanding keupayaan mengawal bola.




Hakcipta iluminasi.com (2017)