Oleh pada 03 Nov 2019 kategori

Aloha Wanderwell suka mencatat rekod baru. Pada tahun 1920-an, dia mengembara sejauh 612,000 km merentasi 80 buah negara dan menjadi wanita pertama yang mengelilingi dunia dalam kereta Ford Model T.

Dia yang hanya berumur 16 tahun ketika memulakan pengembaraan telah menghabiskan masa selama tujuh tahun mengembara. Dia yang digelar sebagai Indiana Jones wanita itu juga merupakan wanita pertama yang terbang merentasi Mato Grosso, Brazil, dan mendokumenkan kaum Bororo di sana.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, kehidupan gadis kelahiran Kanada-Amerika itu diselubungi dengan skandal dan misteri. Pembunuhan suaminya di atas sebuah kapal layar masih lagi belum selesai sehingga hari ini. Berikut adalah kisah lanjut mengenai legenda wanita yang diselubungi pelbagai misteri ini.

Menyahut panggilan pengembaraan

aloha wanderwell 962

Dilahirkan sebagai Idris Galcia Welsh pada 13 Oktober 1906, gadis ini dibesarkan dengan kisah-kisah pengembaraan oleh W.H.G Kingston, Rudyard Kipling, Edgar Rice Burroughs dan banyak lagi. Bapa tirinya meninggal dunia dalam pertempuran di Ypres pada 1917. Ibunya pula telah menghantar Aloha dan kakaknya ke sekolah agama yang ketat.

Ketika ibunya pergi ke medan perang untuk mencari mayat atau kubur bapa tirinya, Aloha telah melarikan diri dari sekolah agama kerana terlalu ingin menjelajah dunia seperti idola-idolanya.

aloha dan kapten walter wanderwell

Aloha dan Kapten Walter Wanderwell

Menjelang tahun 1921, seorang lelaki bernama Kapten Walter Wanderwell telah mula melakukan pengembaraannya. Dia bersaing dalam pertandingan merentas dunia yang dinamakan sebagai Million Dollar Wager dan bertekad untuk melawat paling banyak negara berbanding pihak lawannya.

Walter adalah seorang yang kontroversial. Dia pernah berkhidmat dengan penjara persekutuan Amerika Syarikat semasa WW1 tetapi disyaki sebagai seorang pengintip Jerman. Walau bagaimanapun, dia adalah seorang selebriti yang sering mendapat liputan media.

Memandu merentas dunia

aloha wanderwell 4

Walter kemudian bertemu dengan Idris Galcia Welsh dan menukar nama gadis itu kepada Aloha Wanderwell. Aloha menjadi pasangannya dalam ekspidisi merentas dunia.

Selain bertindak sebagai penterjemah, setiausaha dan pemandu, Aloha juga menggalas tugas-tugas lain sebagai pelakon, jurugambar, jurujual, editor filem, perunding malah juga mekanik. Sepanjang tujuh tahun pengembaraan Million Dollar Wager itu, ramai pasukan lain telah mengalah tetapi Aloha masih kekal bersemangat.

Ekspedisi itu ternyata amat memenatkan tetapi pasukan Wanderwell berjaya "memenangi" perlumbaan itu melalui pemasaran yang dilakukan Aloha. Dia telah menggembar-gemburkan ekspidisi Wanderwell dalam bukunya Call to Adventure yang diterbitkan pada tahun 1939.

Memecah rekod di Brazil

kapten walter dan aloha wanderwell

Semasa Ekspidisi Wanderwell, Aloha dan Walter telah jatuh cinta dan kemudiaannya berkahwin. Pada tahun 1929, mereka mengeluarkan satu filem senyap berjudul With Car and Camera Around the World dan menjadikan mereka pasangan terkenal. 

Aloha juga sering dijemput untuk memberi ceramah mengenai perjalanan mereka yang mencabar ketika menayangkan filemnya itu. Hasil perkahwinan pasangan Wanderwell itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Nil dan Valri.

Walaupun sudah berkahwin dan menjadi ibu, Aloha tidak sedikitpun berundur dari minatnya. Antara tahun 1930 dan 1931, Aloha dan Walter mengetuai pesawat laut Jerman ke Mato Grosso yang belum lagi dipetakan di Brazil.

aloha bersama puak bororo

Mereka kemudian membina kem di Descalvados Ranch di Cuibá. Matlamat mereka adalah untuk mencari Lost City of Z atau lebih dikenali sebagai El Dorado. Apabila pesawat mereka kehabisan minyak di Sungai Paraguay, pasangan itu terpaksa berpecah.

Walter telah melalui Lembangan Amazon untuk mencari bantuan sementara Aloha tinggal bersama suku kaum orang asli Bororo. Melalui kebijaksanaan dan daya tarikannya, Aloha berjaya memperolehi kepercayaan suku kaum itu dan mula melakukan filem dokumentasi kehidupan seharian Bororo.

Tanpa disedarinya, Aloha sebenarnya melakukan rakaman pertama terhadap kaum Bororo tinggal di pendalaman Amazon itu. Setelah diselamatkan dan kembali ke Amerika, Aloha telah menerbitkan dokumentari senyap Flight to the Stone Age Bororos berdurasi 32 minit.

Pembunuhan Kapten Wanderwell

aloha wanderwell ford model t

Perjalanan bersama pasangan Wanderwell itu berakhir pada penghujung 1932. Pada 5 Disember iaitu sehari sebelum berlepas ke Amerika Selatan, Kapten Walter Wanderwell telah ditembak dari belakang oleh penyerang yang tidak diketahui.

Pembunuhan itu berlaku di atas sebuah kapal layar bernama Carma yang ketika itu sedang berlabuh di pelabuhan berhampiran Long Beach, California. Polis telah mendedahkan dua orang suspek iaitu William James Guy dan Edward Eugene Fernando Montague. Guy kemudian didakwa melakukan pembunuhan itu.

william james guy

William James Guy 

Guy adalah salah seorang ahli ekspidisi Wanderwell pada tahun 1931 ke Amerika Selatan. Dia mendakwa Walter telah menipu duitnya dan menyebabkan perkahwinannya musnah. Ketika Guy dibicarakan, dia menjadi tumpuan media. Akhirnya, juri mendapati Guy tidak bersalah.

Ramai yang membuat spekulasi bahawa daya tarikan dan ketampanan Guy membuatkan juri berat sebelah. Tambahan pula, perangai Walter yang kaki perempuan dan gemar menipu wang membuatkan ramai yang tidak berpuas hati kepadanya dan menjadi motif kematiannya.

aloha di taj mahal india

Walaupun tidak pernah dinamakan sebagai suspek, tingkah laku Aloha agak aneh setelah kematian suaminya. Dia seolah-olah tidak terkejut atau menunjukkan apa-apa reaksi apabila mengetahui bahawa Walter mati dibunuh.

Polis tertanya-tanya adakah Aloha mengetahui lebih awal bahawa suaminya akan dibunuh atau mungkin dia sendiri yang merancangnya? Setahun selepas kematian suaminya, Aloha berkahwin dengan Walter Baker, salah seorang jurukamera suaminya. Perkahwinan itu mencemarkan imejnya sebagai seorang pengembara selebriti yang dibinanya sejak 1920-an.

Legasi Aloha Wanderwell

aloha di mesir

Aloha meneruskan pengembaraannya dan mendokumentasikan semua perjalanannya dengan bantuan suami keduanya. Pelbagai perkara unik berlaku sepanjang pengembaraannya seperti berkawan dengan kumpulan penyamun ketika di China, menggunakan kerbau untuk menunda keretanya di India dan menyamar sebagai lelaki ketika memasuki Mekah.

Namun, gosip yang mengaitkannya dengan kematian Kapten Walter Wanderwell menghantuinya sepanjang hayat. Aloha mendapat julukan sebagai "Gadis paling banyak mengembara". Dia memelihara semua jurnal, foto, filem dan artifak perjalanannya dengan baik. Aloha meninggal dunia pada 4 Jun 1996 di Newport Beach, California.

Rujukan:

1. Wanita pertama memandu mengelilingi dunia

2. Pengembara wanita pertama mengelilingi dunia

3. Kisah gadis yang digelar sebagai Indiana Jones Wanita




Hakcipta iluminasi.com (2017)