Oleh pada 29 Aug 2019 kategori

cornelius drebbel pencipta kapal selam pertama

Cornelius Jacobszoon Drebbel lahir pada tahun 1572 di Alkmaar, Belanda. Sejak zaman muda lagi, Drebbel dilatih untuk memiliki banyak jenis kemahiran.

Dia mula belajar bahasa Latin sejak zaman kanak-kanak, sebelum masuk menyertai sebuah akademi yang mempengaruhi beliau sehingga besar. Di sinilah Drebbel bertemu dengan guru-gurunya Henrik Goltzius, salah seorang artis paling berpengaruh di Belanda pada zaman Baroque serta Karel van Mander, yang banyak berjasa kepada dokumentasi sejarah negara mereka.

Hasil daripada didikan kedua-dua gurunya, Drebbel mula membentuk kemahiran tinggi dalam seni ukiran pada bahan tembaga serta bidang kimia. Selepas menamatkan pengajian, Drebbel melakukan banyak kerja mengambil saja peluang dalam bidang lukisan, ukiran malahan turut sama terlibat sebagai pelukis peta.

Berpindah ke England atas pelawaan Raja James I

drebbel lakaran ciptaan

Sekitar awal abad ke 17, Drebbel bertemu dengan dua orang lagi individu yang menjadi guru beliau iaitu Hans Lippershey dan Zacharias Jansen. Kedua-duanya adalah pakar dalam penghasilan lensa dan Lippershey sendiri dikatakan adalah pencipta sebenar kepada teleskop, namun gagal untuk mendapatkan hak cipta ke atas ciptaan beliau.

Perkenalan dengan mereka berdua inilah yang banyak mengajar Drebbel tentang kemahiran penghasilan kanta dan ilmu tentang kaca optikal, sehingga dia mampu menghasilkan sebuah kotak kamera obskura yang berjaya membetulkan beberapa ralat yang ada dalam kamera obskura yang sudahpun ada ketika itu.

Terkenal dengan banyak bidang, bagaimanapun kemahirannya dalam bidang pemetaan yang menyebabkan nama beliau menjadi terkenal, sehinggakan Raja James I yang memerintah England ketika itu, menjemput Drebbel untuk berkhidmat di bawahnya.

Drebbel yang pada ketika itu sudah pun berkahwin serta sering mengalami masalah kewangan memilih untuk menerima tawaran James I dan mula berkhidmat di istana England, diberikan peluang untuk memperbaiki, menambah baik seterusnya mempersembahkan hasil-hasil ciptaan beliau.

Ketika inilah Drebbel berjaya membangunkan 'mesin gerak berterusan' atau 'perpetual motion machine' yang mampu menyatakan masa, tarikh dan musim. Selain itu, dua lagi alat yang berjaya dibangunkan semasa berkhidmat dengan England adalah sebuah tanglung yang unik serta sejenis alat muzik yang dinamakan 'clavichord.'

Nama beliau yang semakin terkenal, membolehkan Maharaja Rudolf II, pemerintah Jerman ketika itu menjemput Drebbel ke Prague, bagi bertugas di sana pula.

Dipenjarakan disebabkan perang saudara

20091212 2

Pada bulan Februari 1611, adik kepada Rudolf II - Matthew berjaya menguasai sebahagian daripada kawasan Prague serta mengambil alih pemerintahan daripada Rudolf. Serentak dengan itu, semua pihak yang terlibat dengan Rudolf dipenjarakan. Termasuklah Drebbel yang berkhidmat di bawah bekas maharaja itu.

Rumah Drebbel diperiksa dan semua peralatan yang ada dimusnahkan, dengan semua individu termasuklah Drebbel diumumkan bakal berdepan hukuman pancung. Selepas Matthew menyedari Drebbel merupakan salah seorang yang bakal dibunuh, Matthew memberikan arahan untuk membebaskan Drebbel dan meminta maaf atas kesilapannya, memandangkan Matthew juga salah seorang yang mengagumi kebolehan Drebbel.

Drebbel ditawarkan untuk berkhidmat kepadanya dengan tawaran pendapatan dua kali ganda berbanding apa yang diberikan Rudolf. Sudah tawar hati terhadap layanan buruk yang diterima - Drebbel menolak tawaran tersebut dengan alasan Raja England sudah mengarahkan dia pulang untuk kembali berkhidmat di sana.

Pada tahun 1613, Drebbel kembali ke England menggunakan dana yang diberikan oleh James I, sebanyak 300 syiling.

Membina kapal selam pertama dunia

cornelius drebbel kapal selam pertama

Bermula pada tahun 1620, Drebbel mula menumpukan usaha dalam membina mesin yang bakal memahatkan namanya di dalam sejarah dunia - kapal selam. Beberapa catatan dalam buku beliau menunjukkan usaha membentuk idea serta rekaan asal kapal selam pertama sudah dimulakan pada tahun 1618.

Hanya selepas berkhidmat dengan tentera laut England, dia diberikan ruang dan peralatan yang mencukupi dalam usaha membina kapal selam pertama dunia yang benar-benar boleh dipandu.

Rekaan asas kapal selam Drebbel mengambil rekaan awal sebuah kapal selam ciptaan William Bourne, seorang ahli matematik Britain yang rekaannya sudah wujud sejak abad ke 16 lagi. Daripada tahun 1620 sehinggalah tahun 1624, Drebbel berjaya menghasilkan dua prototaip kapal selam dengan saiz muatan yang semakin bertambah.

Model ketiga yang beliau hasilkan merupakan ciptaan yang dirasakan beliau sebagai lengkap pada ketika itu, mampu memuatkan 16 orang penumpang serta memerlukan 6 pendayung bagi menggerakkanya. Model ketiga inilah yang dipersembahkan kepada Raja James I dan beribu orang London yang lain.

Dalam demonstrasi pertama kapal selam ciptaan Drebbel, kapal itu mampu menyelam selama lebih 3 jam pada kedalaman 4 ke 5 meter serta mampu berulang alik dari Westminster ke Greenwich. Raja James I juga dijemput untuk menyertai perjalanan kapal selam tersebut.

Pelbagai sesi ujian bagi menambah baik ciptaan itu dilakukan di Sungai Thames dan ciptaan itu, membuatkan nama Drebbel jadi semakin terkenal sebagai pencipta yang mempunyai banyak idea luar biasa.

Apakah teknologi di sebalik kapal selam Drebbel?

drebbel kapal selam pertama demonstrasi sungai thames

Kapal yang dinamakan Drebbel I itu sekiranya kita bandingkan dengan kapal selam yang ada ketika ini, sudah pastilah terlalu jauh perbezaannya. Dikatakan menggunakan asas sebuah sampan yang dipasangkan dinding, setiap bahagian dinding kapal tersebut dipasangkan dengan bahan pencegah air yang diperbuat daripada kulit.

Untuk menyelam, sebuah tangki air yang diperbuat daripada kulit tebal bersambung dengan luaran dan dipasangkan di setiap tempat duduk pendayung seramai 6 orang akan dibuka - bagi membolehkan air masuk. Selepas penuh dengan air, tangki kulit tadi akan diikat dengan tali bagi membolehkan aliran air dihentikan dan kapal yang mulai berat ekoran kapasiti berat air yang ditanggung, akan mula tenggelam.

Bagi membolehkan kapal tersebut naik semula ke permukaan, tangki kulit tadi akan dipecahkan bagi membolehkan air yang disimpan di dalamnya dilepaskan kembali dan berat kapal berjaya dikurangkan.

Bagaimana pula oksigen dan haba disalurkan ke dalam kapal? Di sinilah kemahiran kimia Drebbel yang telah dipelajari berpuluh tahun lamanya dipraktikkan.

Dengan menggunakan perkiraan yang tepat, Drebbel mencipta sebuah ketuhar yang dipasang di dalam badan kapal tersebut yang akan memanaskan sulfur dan potassium nitrat. Pemanasan bahan tersebut mampu menghasilkan haba serta membekalkan oksigen kepada penumpang dalam kapal tersebut.

Pendayung yang dipasang pula diperbuat daripada kayu, disambungkan dengan kulit yang turut sama bertindak sebagai pelindung bagi menghalang air daripada masuk ke dalam bahagian ruangan kapal.

Rahsia bagaimana Drebbel mencipta oksigen dan memastikan udara dalam kapal selam tersebut senantiasa segar tidak diketahui sesiapa pun, kerana Drebbel sendiri memilih untuk merahsiakannya. Hanya selepas dia meninggal dunia, barulah pengkaji-pengkaji lain dapat memahami bagaimana Drebbel melakukannya dan ciptaan Drebbel mula menjadi asas, kepada pembangunan kapal-kapal lain yang mampu menyelam, di seluruh dunia.

Rujukan Cornelius Drebbel (1572 - 1633)



Hakcipta iluminasi.com (2017)