the great pyramid of khufu keajaiban dunia seven wonders

Kita  selalu mendengar tentang binaan-binaan yang digelarkan sebagai 'tujuh keajaiban dunia' memaparkan binaan-binaan yang lebih dekat dengan era moden.

Tahukah anda wujud satu lagi senarai yang jarang diperkatakan berkenaan tujuh binaan zaman purba, dianggap mempunyai kehebatan seni bina mampu menakjubkan sesiapa saja yang memandangnya.

Bolehkah anda menamakan ketujuh-tujuh binaan tersebut? Berikut adalah tujuh binaan menakjubkan ciptaan manusia dunia purba yang dikatakan cukup hebat sehingga melampaui zamannya.

1. Piramid Besar Giza

piramid giza keajaiban dunia seven wonders

Piramid besar Giza dibina pada anggaran tahun 2584 hingga 2561 SM/BC ketika zaman pemerintahan firaun Mesir purba bernama Khufu.

Bangunan ini dikatakan kekal menjadi bangunan tertinggi di dunia selama lebih 4,000 tahun.

Apa yang sangat mengagumkan adalah skalanya yang sangat besar selain ukurannya yang sempurna dari setiap sudut, mempunyai nilai simetri yang seimbang.

Piramid Khufu menjadi satu-satunya binaan purba menakjubkan yang masih kekal berdiri sehingga kini.

2. Tugu Zeus di Olympia

statue of zeus olympia keajaiban dunia seven wonders

Tugu Dewa orang Greek, Zeus ini direkodkan dibina oleh pengukir bernama Phidias sekitar tahun 435 SM/BC. Phidias terkenal sebagai seorang pengukir handal yang turut sama bertanggungjawab mengukir tugu-tugu Tuhan orang Greek lain seperti Athena. Kerja tangannya yang paling terkenal adalah tugu Zeus ini. Tugu ini dikatakan mempunyai ketinggian 13 meter menggambarkan Zeus sedang duduk di atas takhtanya.

Namun penyebaran ajaran Jesus Christ menyebabkan Kuil Olympia yang menempatkannya mula diabaikan serta tidak lagi terjaga.

Tugu itu kemudiannya dipindahkan ke Constantinople, sebelum musnah dalam kebakaran Istana Lausus, tempat tugu itu disimpan.

3. Kuil Artemis di Ephesus

temple of artemis keajaiban dunia seven wonders

Dibina bagi menyembah Dewi Artemis, lokasi binaannya ketika itu terletak di bandar Ephesus - kini bandar Selcuk di negara Turki.

Kuil ini mengalami proses pembaikian dan binaan semula sebanyak empat fasa berbeza mengubah rekaannya setiap kali. Versi terakhir rekabentuk Kuil Artemis sebelum musnah adalah sebuah binaan cantik kuil gergasi yang disokong oleh 127 batang tiang setinggi 18 meter.

Sama seperti tugu Zeus di Olympia, pengaruh agama yang di bawa Jesus Christ di kawasan tersebut membuatkan kepercayaan lama mereka mula digantikan dengan ajaran baru.

Ini mengakibatkan kuil itu ditinggalkan sebelum dibakar penganut Kristian.

4. Makam Halicarnassus

mausoleum of halicarnassus keajaiban dunia seven wonders

Makam Halicarnassus dibina sekitar 353 hingga 350 SM/BC di Halicarnassus, lokasi sekarang terletaknya daerah Bodrum di Turki.

Dibina hasil kerjasama dua orang arkitek Yunani bernama Satyros dan Pythius, kedua-duanya mendapatkan bantuan barisan empat orang pengukir terhandal zaman tersebut bernama Leochares, Bryaxis, Scopas dan Timotheus untuk menghiasi setiap bucu makam tersebut.

Makam tersebut dibina atas arahan Artemisia, isteri kepada seorang 'satrap' atau Gabenor di Halicarnassus bernama Mausolus. 

Nama Mausolus akhirnya terus digunakan bagi merujuk binaan makam, menjadi asal-usul perkataan 'mausoleum' yang merujuk kepada binaan pusara besar yang cantik.

5. Tugu kolosi 'Helios' Rhodes

colossus of rhodes tugu keajaiban dunia seven wonders

Tugu kolosi gergasi Rhodes memaparkan Tuhan kepercayaan orang Yunani iaitu Helios yang dipercayai mereka mengawal matahari. Tugu ini dibina di bandar Rhodes sekitar tahun 280 SM/BC oleh seorang pengukir bernama Chares of Lindos, sempena meraikan kemenangan masyarakat Rhodes daripada serangan tentera Cyprus pada tahun 305 SM/BC.

Tugu besar ini mempunyai ukuran 33 meter tinggi hanya dapat didirikan selama 54 tahun sebelum gempa bumi pada tahun 226BC meruntuhkannya selepas bahagian lutut tugu itu mula meretak.

Selepas runtuh, usaha untuk membinanya semula tidak dilakukan kerana ditakuti kemurkaan Helios akan menimpa mereka -  jadi tugu itu dibiarkan saja di lokasi asalnya sebelum hancur dimamah masa dan persekitaran.

6. Rumah Api Alexandria

pharos keajaiban dunia seven wonders

Rumah Api Alexandria adalah sebuah binaan setinggi 100 meter yang siap dbina semasa pemerintahan Ptolemy II sekitar era 280-247 SM/BC, dimulakan terlebih dahulu oleh ayahnya Ptolemy I.

Rumah api ini terletak di Pharos, sebuah pulau kecil di Alexandria (kini Mesir) dan mengambil masa selama 12 tahun untuk disiapkan.

Rumah api ini kekal berdiri lama sehinggalah tahun 956 apabila gempa bumi menjejaskan strukturnya.

Beberapa ratus kemudian sekitar abad ke 15, satu lagi insiden gempa bumi menyebabkan binaannya terus runtuh dan tumbang sehingga musnah sepenuhnya, kali terakhir pada tahun 1480.

7. Taman Tergantung Babylon

babylon keajaiban dunia seven wonders

Kisah taman tergantung Babylon sangat mengasyikkan bagi mereka yang meminati sejarah. Bagaimanapun, taman tergantung ini menjadi satu-satunya binaan bersejarah dalam senarai ini yang tidak dapat dikenalpasti di mana lokasinya,

Ada juga pendapat berbeza mengatakan yang taman tergantung ini hanyalah mitos berlawanan dengan pendapat mengatakan kewujudannya benar-benar sahih, cuma tidak diketahui di mana.

Kisahnya, taman ini dibina oleh Nebudchadnezzar II pada tahun 605 SM/BC sebagai hadiah kepada isterinya Amtis of Media. Amtis adalah seorang yang berasal daripada kawasan pergunungan, biasa hidup dalam suasana yang diselubungi keindahan flora dan fauna setiap hari.

Bagi memastikan Amtis dapat terus hidup seperti tanah asalnya, Nebudchannezzar memulakan projek besar-besaran membina sebuah infrastruktur yang mempunyai ekosistem sendiri setinggi 23 meter dibentuk seakan-akan sebuah gunung - agar Amtis dapat meluangkan masanya di situ.

Sayang betul dia kepada isteri dia. 



Hakcipta iluminasi.com (2017)