Oleh pada 22 Jun 2022 kategori

Hari ini, bangunan pencakar langit moden dibina sebagai alat ekonomi dan industri. Namun sebahagian besar bangunan dunia purba suatu masa dahulu diinspirasikan oleh semangat keagamaan kolektif budaya masing-masing.

Di sebalik inspirasi yang kelihatan seperti teistik, inovatif dan berteknologi misteri, seni bina purba buatan manusia yang mampu menyokong struktur besar ini adalah sangat luar biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga kini, masih berlaku perdebatan bagaimana struktur binaan ini dibuat. Sukar untuk kita merungkaikan teknologi zaman dahulu ini hanya dari hasil pembacaan kitab atau manuskrip lama tanpa disokong pembuktian fizikal dan arkeologi.

Dengan itu, iluminasi.com kongsikan 10 seni bina (bangunan) buatan manusia tertinggi di zaman dahulu.

10. Kuil La Danta , Guatemala - Ketinggian 72 meter

kuil piramid la danta di guatemala

Kredit gambar : PatrickDelaville

Di sebalik hutan rimbun El Petén, Guatemala, tersembunyinya penempatan Maya pra-Columbus yang indah iaitu El Mirador.

Baru sahaja ditemui sekitar tahun 1926, bandar kuil gergasi ini berkembang pesat dari abad ke-6 SM dan mencapai kemuncaknya antara tahun 300-100 SM dengan populasi melebihi 200,000 orang.

Walau bagaimanapun, ia bukan sahaja terkenal kerana kapasiti penduduk yang sangat ramai tetapi penempatan itu juga terkenal dengan susunan asli struktur 'triadic' yang terdiri daripada tiang luas dengan satu set tiga piramid memuncak ke atas.

kuil la dante 2

Struktur dahsyat ini menjulang setinggi 70 meter dan tapaknya terjulur keluar dari lantai hutan. Walaupun ketinggiannya tidak mampu melawan ketinggian piramid Mesir, namun La Danta boleh dikira sebagai antara piramid terbesar di dunia dengan isipadu 2.8 juta meter padu dan dipenuhi dengan ketulan batu yang sangat besar.

Ramai penyelidik telah mengemukakan anggaran ini (2.8 juta meter padu) yang membuatkan La Danta diiktiraf sebagai diantara bangunan terbesar pernah dibina oleh manusia.

9. Kuil Hwangryongsa, Korea - 80 meter tinggi

hwangryongsa temple

Kredit gambar : MountFairyPeach

Bekas kuil Buddha di bandar Gyeongju, Korea Selatan, Hwangryongsa mungkin merupakan struktur tertinggi di Asia Timur yang menggunakan struktur kayu tertinggi di dunia.

Direka bentuk dengan gaya simbolik agama Buddha, istilah Hwangryongsa merujuk kepada 'Kuil Naga Emas'. Ia dibina secara penuh istiadat seperti diperintahkan oleh Raja Jinheung yang memerintah sekitar 76 AD.

Menurut legenda, cadangan pertama yang dikemukakan oleh pemerintah ialah untuk mendirikan binaan istana diraja. Tetapi akhirnya rancangan itu dibatalkan demi sebuah kuil yang megah apabila seekor naga dikatakan ditemui di tapak tersebut.

hwangryongsa temple 2

Disebabkan skop pembinaan yang terlampau besar, kuil itu tidak berjaya disiapkan  sehinggalah pada tahun 644 AD.

Dan kemudiannya, pagoda kayu sembilan tingkat yang diperkukuh dengan 8 tiang batu dan 60 batu asas telah ditambahkan pada kompleks kuil seluas 18 ekar ini, sekaligus menambahkan ketinggiannnya kepada 79.9 meter.

Malangnya, keseluruhan strukturnya mungkin telah dimusnahkan oleh Mongol yang mengamuk yang menyerang Korea pada tahun 1231 Masihi.

8. Etemenanki, Iraq - Ketinggian 91 meter

etemenanki

Etemenanki, secara kasarnya diterjemahkan kepada 'Rumah syurga di Bumi', kononnya merupakan kejayaan seni bina yang menjulang tinggi teknologi binaan yang didedikasikan khas untuk tuhan Babylonia iaitu Marduk.

Dibina dengan lapisan batu bata dan jubin besar-melampau disusun secara strategik, monumen besar itu dipanggil sebagai ziqqurratu atau ziggurat, yang pada asasnya bermaksud 'bangunan yang sedang meningkat naik'.

Disebabkan itu, Etemenanki mungkin adalah ziggurat yang terbesar dan ia mungkin dibina dalam lingkungan kota purba Babylon.

etemenanki 2

Kredit gambar : WorldHistory

Ramai penyelidik telah menyamakannya dengan Menara Babel yang disebut dalam kitab Bible kerana terdapat sumber merjuk kepada lokasi geografi struktur legenda ini.

Menariknya, perihalan Etemenanki juga ditemui dalam tablet cuneiform (tulisan zaman kuno atas batu) dari Uruk, bertarikh dari 229 SM.

Keseluruhan monumen itu terdiri daripada binaan batu tujuh tingkat yang membawa kepada ketinggian 91 meter. Lebih mengagumkan adalah pelan tingkat bawah Ziggurat gergasi ini berukuran lebih dari 8,200 meter persegi bersamaan hampir 2 kali padang bola sepak konvensional.

7. Ruwanwelisaya, Sri Lanka - Ketinggian 92 meter

ruwanwelisaya kuil tertinggi dunia

Kredit gambar : HistoryHit

Pembinaan Ruwanwelisaya telah dimulakan oleh Raja Dutugemunu pada sekitar 161 SM, tetapi projek seni bina yang besar itu mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan melebihi usia raja itu sendiri. Akhirnya binaan ini disiapkan oleh penggantinya pada 140 SM (21 tahun kemudian).

Dimensi binaan ini menggambarkan betapa melampau besarnya binaan ini. Kubah tirus seperti dalam gambar di atas adalah setinggi 91.4 meter dan mempunyai diameter sekitar 90 m serta ukur lilit 292 m.

Jadi secara kiraan matematik, kawasan asas Ruwanwelisaya bersamaan dengan lebih 6,345 meter yang lebih besar daripada padang bola sepak konvensional.

6. Piramid Merah, Mesir – Ketinggian 105 meter

piramid merah 200

Piramid Merah Dahshur (dikatakan dibina oleh Firaun Sneferu) adalah piramid terbesar di nekropolis Dahshur, yang juga menjadi piramid ketiga terbesar di Mesir.

Lebih penting, dari sudut pandangan seni bina, Piramid Merah mungkin merupakan percubaan pertama yang berjaya dijayakan oleh jurutera dan pekerja Mesir untuk mencipta piramid dengan permukaan licin (kini sudah tidak berapa kelihatan).

Beberapa selongsong batu kapur Tura putih khas ini masih boleh dilihat di sepanjang dasar struktur besar ini. Satu lagi ciri menarik monumen berkenaan ialah sudut binaan 43 darjah yang meruncing ke atas walaupun saiznya amat-amat besar.

Keluasan asas struktur itu merangkumi 48,400 meter persegi yang bersamaan dengan hampir 9 padang bola sepak!

5. Rumah Api Alexandria, Mesir - Anggaran Ketinggian 115 meter

rumah api alexandria binaan kuno purba tinggi

Kredit gambar : EgyptStreet

Salah satu contoh seni bina Yunani yang dikatakan melampaui skala manusia biasa. Ianya diakatakan binaan berskala "tuhan" oleh orang Yunani. Rumah Api Alexandria (juga dikenali sebagai Pharos Alexandria) dibina oleh Kerajaan Ptolemaic; mungkin merupakan struktur tertinggi di dunia purba.

Beberapa kisah menyebut ketinggiannya mencapai 150 meter.  Malangnya, bangunan itu tidak lagi wujud pada hari ini. Maka kita perlu mengambil nilai ketinggian terendah menurut sumber sastera yang ada, iaitu 115 meter. Masih sangat tinggi bukan?

4. Jetavanaramaya, Sri Lanka - Ketinggian 122 meter

jetavanaramaya

Kredit gambar : Lakpura

Terletak di bandar warisan dunia yang suci iaitu Anuradhapura. Binaan Jetavanaramaya megah ini adalah stupa terbesar di dunia. Ia juga memegang rekod stupa tertinggi di dunia purba.

Untuk dapat gambaran betapa besarnya binaan ini, stupa dengan ketinggian 122 meter itu menyumbang keluasan asas seluas 233,000 meter persegi - juga bersamaan dengan 43 padang bola sepak.

Struktur besar ini dianggarkan dibina daripada 93.3 juta bata yang dibakar di mana setiap satunya boleh menahan beban sehingga 166 kg. Setiap satu sisi stupa besar itu pula berukuran 176 m panjang.

3. Kuil Yongning , China - Ketinggian 136.7 meter

yongning

Ini adalah struktur kedua dalam senarai seni bina tertinggi tapi sudah tidak wujud. Kuil Yongning ini kononnya dibina pada awal abad ke-6 di bawah naungan Empress Dowager Hu.

Dikatakan juga terletak di Bandar Luoyang. Tidak banyak yang diketahui tentang struktur ini di samping beberapa cerita yang menggambarkan binaan ini dengan kemewahan dan kekayaan Empress Dowager Hu.

Berdasarkan bukti sastera lain (seperti rekod Yang Xuanzhi), kuil itu dibina seperti sebuah istana yang megah. Merangkumi pintu gerbang diraja, tembok besar dan lebih seribu bilik khas sebagai asrama untuk sami.

Kompleks kuil ini dikatakan memiliki ketinggian 136.7 meter.

Malangnya, menurut Rekod Kuil Luoyang, menara itu musnah sepenuhnya akibat kebakaran pada 534 Masihi, di mana api tersebut mengambil masa lebih tiga bulan untuk reda selepas memusnahkan keseluruhan struktur kuil gergasi itu.

2. Piramid Khafre, Mesir - Ketinggian 143 meter

piramid khafre 977

Struktur kedua terbesar dalam 'kompleks piramid Giza'. Ianya juga adalah piramid kedua tertinggi di dunia. Piramid Khafre ini mempunyai ketinggian mencapai 136.6 meter (ketinggian asalnya sekitar 143 meter sebelum mengalami proses pereputan dan kerosakan).

Ini menyumbang kepada kawasan seluas 46,770 meter persegi yang bersamaan dengan lebih 8 padang bola sepak. Menariknya, keseluruhan struktur itu telah dibina di atas batuan-batuan besar sebagai dasar setinggi 10 meter. Selaras menjadikannya kelihatan lebih tinggi daripada ketinggian piramid sebenar.

Walaupun Piramid Khafre mungkin tidak mempunyai banyak batu selongsong putih seperti yang diletakkan pada Piramid Khufu, teknik pembinaan dan susunan batu 2 tan ini adalah setanding dengan binaan Piramid Khufu.

Walau bagaimanapun, Piramid Khafre tidak terkenal seperti binaan Great Sphinx, patung monolitik terbesar di dunia walaupun monumen sphinx ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kompleks luas Khafre. Khafre dan Sphinx dibina pada zaman yang sama dan dicipta daripada material yang sama. Ini adalah pandangan dominan yang dipegang oleh majoriti ahli arkeologi Mesir. 

1. Piramid Khufu, Mesir - Ketinggian 146.6 meter

piramid khufu bangunan purba kuno tertinggi dunia

Kredit foto : AncientEgypt

Juga dikenali sebagai Piramid Besar Mesir, Piramid Khufu yang berusia lebih 4,500 tahun adalah yang tertua di dunia dan struktur buatan manusia paling tinggi di dunia.

Ia memegang rekod sebagai spesimen seni bina tertinggi ciptaan manusia selama lebih 3,800 tahun (sehingga digulingkan oleh Katedral St. Paul lama pada 1240 AD) dan piramid khufu masih wujud dan berdiri teguh!

Menariknya, selain ketinggiannya yang ketika ini hanya tinggal 138.7 meter disebabkan oleh proses hakisan tanah dan pereputan, isipadu sebenar piramid ini tidak dapat ditentukan oleh ahli sejarah dan pakar kejuruteraan. 

Oleh itu, isipadu monumental ini diberi 'anggaran' dari keluasan tapak sekitar 52,954 meter persegi dan isipadu sekitar 2.5 juta kubik menyumbang kepada jisim seberat 5.9 juta tan (5,352,389,966 kg).

Skop luar biasa ini dianggar dengan menggunakan 2.3 juta blok batu yang masing-masing memiliki berat antara 2 hingga 20 tan (1814kg ke 18,143kg). Sebagai gambaran, lebih kurang 800 tan batu dipasang setiap hari atau minimum 12 blok batu disusun dengan sangat terperinci tepat setiap jam!

Rujukan:

1. Khana Academy

2. Ancient Wisdom

3. Realm of History




Hakcipta iluminasi.com (2017)