perubahan warna lycurgus cup

Zaman sekarang, teknologi menggunakan partikel-partikel bersaiz nano merupakan sesuatu yang biasa kedengaran. Malahan dalam filem-filem fiksyen seperti filem The Avengers misalnya, baju perisai milik Iron Man juga dikatakan terbina menggunakan teknologi besi nano yang bukan saja mampu terbentu dengan sendiri, malahan mampu merawat permukaannya secara automatik.

Teknologi nano yang ada sekarang mungkin belum mencapai apa yang digambarkan dalam filem-filem fiksyen yang mengagumkan. Bagaimana pula sekiranya penulis katakan pada anda; teknologi nano sebenarnya sudah wujud sejak sekian lama dengan sebuah penemuan cawan yang dianggarkan dibuat sejak abad ke 4.

Cawan yang dinamakan sebagai 'cawan Lygcurgus' sempena nama seorang tokoh masyarakat Rom bernama Raja Lycurgus, salah seorang tokoh yang disebutkan dalam kisah Iliad hasil tulisan Homer. Penemuan cawan ini membuktikan wujud teknologi hampir serupa dengan teknologi nano, mampu dipraktikkan oleh masyarakat Rom lebih 2,000 tahun lamanya.

Cawan diatretum yang unik

lycurgus cup muzium british

Cawan yang dinamakan sebagai cawan Lygurcus bukanlah satu-satunya cawan serupa yang ada dan ditemui, tetapi cawan Lygurcus merupakan satu-satunya artifak yang ditemui dalam keadaan sempurna. Dinamakan sebagai 'cawan bersangkar' atau 'diatreta, cawan ini merupakan salah satu objek mewah yang unik dan dimiliki golongan kelas atasan semasa zaman Rom.

Tidak diketahui siapa pemilik asal cawan tersebut, tetapi cawan itu dianggarkan dibuat sekitar tahun 290 ke 325 oleh orang Alexandria atau orang Rom. Kini dipaparkan di Muzium British, pihak muzium berjaya mendapatkan cawan ini daripada sumbangan Lord Rothschild pada tahun 1958.

Ukiran yang ada pada cawan tersebut sangat cantik, memaparkan Raja Lycurgus yang terkenal sebagai seorang yang panas baran berjaya ditawan Dionysius dengan bantuan makhluk ghaib bernama Ambrosia, yang menukarkan dirinya menjadi dahan-dahan halus memerangkap Lycurgus. Kisah yang dipaparkan pada badan cawan itu dikatakan ada kaitan dengan kejatuhan Maharaja Licinius oleh serangan Constantine yang berlaku sekitar tahun 324.

Keunikan cawan Lycurgus terletak pada bahan yang digunakan dalam pembuatannya. Cawan ini dianggap sebagai salah satu ciptaan paling sofistikated yang dihasilkan sebelum tibanya era moden.

Kajian ke atas teknologi nano orang Rom zaman dahulu

orang rom kilang kaca

Dijumpai sekitar tahun 1845 dan dibeli oleh keluarga Rothschild, sebelum didermakan ke muzium - hanya pada tahun 1950 kajian ke atas cawan Lycurgus dapat dilakukan atas permintaan Lord Rothschild sendiri.

Wujud perdebatan berkenaan bahan yang digunakan bagi menghasilkan cawan tersebut - ada pihak berpendapat keseluruhan cawan itu diperbuat daripada kaca, sementara ada pihak mengatakan ada kemungkinan permata nilam dijadikan buatannya. Pada tahun 1959, kajian menggunakan sinaran-X berjaya mengesahkan cawan itu diperbuat hanya dengan kaca.

saiz partikel nano dalam lycurgus cup

Apa yang unik berkenaan teknologi pembuatan kaca cawan diatreta ini adalah warnanya yang mampu memberikan kesan optik yang berbeza. Pada situasi biasa, badannya berwarna kehijau-hijauan mirip batu jed tetapi apabila disuluh dengan lampu, warnanya bertukar menjadi kemerah-merahan. Penemuan ini menimbulkan banyak persoalan bagaimana situasi itu boleh berlaku.

Sampel cawan itu dihantar ke Dr. Robert Brill daripada Corning Museum of Glass, bagi menentukan bahan yang digunakan. Eksperimen yang dilakukan ke atas sampel tersebut mendapati wujud bahan emas dan perak yang menyumbang kepada pertukaran warna itu, yang telah dipanaskan sehingga mampu menghasilkan partikel-partikel halus yang kemudiannya diadunkan ke dalam kaca yang digunakan. Cubaan Dr. Brill untuk mereka semula kesan serupa berdepan kegagalan walaupun teknologi yang beliau ada, jauh lebih baik berbanding apa yang digunakan orang Rom terdahulu.

Pada penghujung tahun 80-an, sampel sama diberikan kepada sekumpulan pengkaji lain yang berjaya merekodkan kewujudan-kewujudan partikel halus bersaiz 50 ke 100 nanometer yang diperbuat daripada gabungan emas dan perak serta tembaga. Partikel-partikel yang dibentuk sehingga menghasilkan kesan yang digelarkan 'colloidal', sejenis bentuk larutan yang terdiri daripada partikel-partikel halus bersaiz 1 ke 1000 nanometer yang sekata penyebarannya.

Bagaimana masyarakat zaman dahulu menghasilkan teknologi ini?

the lycurgus cup

Walaupun berjaya mengenalpasti bahan yang digunakan dalam cawan itu, penyelidik masih belum memahami apakah teknik yang menghasilkan kesan tersebut. Teknik yang digunakan pembikin gelas zaman Rom memerlukan kepakaran yang tinggi dalam menghasilkan adunan kaca, emas, perak dan tembaga yang tepat bagi menghasilkan kesan yang diinginkan.

Ini kerana bahan yang digunakan pembuatan itu memerlukan kemahiran yang sangat tinggi bagi memastikan penghasilan warna yang dikehendaki. Kajian pada tahun 1995 yang dilakukan oleh dua pihak menawarkan hipotesis berbeza. Satu pihak berpendapat bahawa cawan Lycurgus diperbuat daripada bongkah kaca yang dipotong, kemudiannya diasah bagi mendapatkan bentuk yang dikehendaki. Satu pihak lagi berpendapat cawan itu dibuat dengan menggunakan larutan campuran bahan-bahan logam itu yang dituang ke dalam acuan bagi mendapatkan bentuknya, sebelum dibiarkan mengeras.

Kajian dengan menggunakan mikroskop elektron berjaya mengesan kesan-kesan garis halus yang terdapat pada permukaan kaca cawan itu, menunjukkan cawan itu dihasilkan dengan cara mengisarkan bahan itu - membuktikan bahasa tukang kaca zaman Rom terdahulu, mempunyai teknologi yang bukan saja berjaya menghasilkan kaca yang mengandungi logam-logam bersaiz zarah malahan mampu membentuk kaca tersebut yang sangat lembut kekerasannya, dengan menggunakan peralatan yang mereka ada ketika itu.

Melalui cawan Lycurgus, beberapa perkara dapat kita pelajari berkenaan teknologi zaman dahulu. Orang zaman dahulu sudah mengetahui bagaimana untuk melarutkan emas, perak dan tembaga dengan kaca dalam bentuk yang sangat sekata - menjadi bukti terawal penggunaan partikel bersaiz nano yang telah ditemui setakat ini.

Walau demikian, oleh kerana prosesnya agak rumit serta sangat sukar untuk dilakukan dalam skala besar-besaran, jumlah cawan serupa seperti cawan Lycurgus teramatlah terhad bilangannya. Teknologi yang dimiliki oleh orang Rom dalam penghasilan cawan-cawan sama seperti cawan Lycurgus juga tidak digunakan secara meluas, menyebabkan lama-kelamaan kemahiran yang dimiliki mereka semakin lama semakin dilupakan.

Rujukan

Science Direct

The British Museum (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)