Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

Gagal melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32, menerusi pertaruhan lagu Terus Mencintai, tidak sekali-kali melunturkan semangat peminat untuk terus menyokong kerjaya seni Siti Nordiana.

Siti Nordiana atau Nana, 33, berkata sokongan yang diberikan peminat ketika acara Semi Final Muzik-Muzik ke-32 (SFMM32) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam sudah cukup membuatkannya terharu.

"Kalah dan menang, semua itu sudah tertulis. Saya sendiri sudah melakukan yang terbaik dan selebihnya, juri yang tentukan.

"Memang ramai peminat yang hadir memberikan sokongan, tetapi apakan daya, lagu itu gagal ke final. Mujur mereka faham dan tidak pernah putus asa untuk terus memberikan sokongan. Yang penting, mereka sayang saya," katanya yang dipetik daripada portal BH Online.

Menurut Nana, kejayaan beraksi di pentas separuh akhir sudah cukup bermakna buatnya, memandangkan ini lagu sulung ciptaannya.

Penerimaan baik peminat membuatkannya berkobar-kobar untuk penghasilan karya seterusnya, berlandaskan citarasa pendengar.

terus mencintai gagal ke anugerah juara lagu ini reaksi siti nordiana 2

Kredit foto: Instagram Siti Nordiana

"Sebenarnya, saya hasilkan apa yang peminat suka kerana merekalah yang akan mendengar lagu saya.

"Saya pula tidak sesekali menghasilkan lagu dengan harapan untuk ke pentas AJL. Harapan saya cuma satu, agar lagu itu mampu menarik perhatian orang ramai," katanya yang menjangkakan lagu Hael Husaini berjudul Jampi, bakal diangkat sebagai juara AJL32.

Mengenai perkembangan terkini, Bekas Juara Gegar Vaganza Musim Kedua ini akan masuk ke set penggambaran drama baharu, Pengantin Musim Salju, gandingan bersama Alif Satar, dalam tempoh terdekat ini.

Terdahulu, Nana dan Alif mencipta fenomena dalam drama rantaian, Dia Semanis Honey, yang mana naskhah itu juga diangkat ke pentas teater dalam versi muzikal.

Menyambung cerita perkembangannya, ibu tunggal ini berkata, dia bakal mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga, 5 Disember ini.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)