tentera udara switzerland office hour waktu pejabat

Tahap kesediaan sebuah angkatan tentera dalam sesebuah negara memerlukan kesemua komponen dalam tentera, berada dalam keadaan sedia 24 jam sehari tanpa henti. 

Ini bagi memastikan agar tahap keselamatan sesebuah negara, meliputi kawasan daratan, lautan dan ruangan udara merangkumi kawalan sempadan senantiasa terjaga. Berbeza dengan majoriti angkatan tentera lain, tentera udara Switzerland terpaksa mengambil pendekatan berbeza.  Berikutan beberapa bentuk kekangan, tentera udara mereka hanya bertugas pada hari kerja bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengahari sebelum waktu rehat selama 1 jam setengah.

Mereka kembali menyambung tugasan sehingga jam 5 petang sebelum semuanya pulang ke kediaman masing-masing dengan gembira.  Hujung minggu mereka semua cuti.

Sejarah tentera udara Switzerland mula kerja ikut waktu pejabat

pesawat lama swiss air force

Tentera Udara Swiss atau Swiss Air Force terbentuk pada tahun 1914, berpengkalan di Dubendorf bermula sebagai sebuah unit belon udara pengangkut, sebelum dinaiktaraf menjadi angkatan perang dengan 9 orang juruterbang terlatih.

Seiring dengan dasar neutral yang diamalkan negara mereka, tentera udara Switzerland tidak pernah menyertai mana-mana peperangan secara rasmi namun mereka pernah terlibat secara langsung dalam perang - khasnya perang dunia kedua.

Tentera udara Switzerland memainkan peranan melindungi ruang udara mereka daripada dicerobohi tentera luar seperti Jerman, Britain dan Amerika Syarikat - menembak jatuh banyak pesawat yang masuk tanpa kebenaran.

Walaupun jelas dari sejarah ada keperluannya, Berikutan kekangan bajet beberapa dekad sebelum ini - dana untuk pertahanan udara mula dipotong menyebabkan tentera udara Switzerland perlu melakukan perubahan jadual bertugas disebabkan pengurangan tenaga manusia serta kelengkapan.

Jadual tugas mereka diubah mengikut jadual biasa waktu pejabat di mana tentera akan hadir setiap pagi dan pulang, bercuti pada hujung minggu.

Apabila waktu malam, tiada perkhidmatan tentera udara berkhidmat di Switzerland.

Insiden rampasan pesawat yang mengubah dasar tentera

insiden rampasan pesawat ethiopian air geneva

Ekoran ketiadaan pihak yang memantau ruang udara Switzerland setiap hujung minggu dan malam, kerajaan Switzerland mencapai persetujuan dengan dua jiran terdekat mereka iaitu Perancis dan Itali menerusi satu perjanjian ketenteraan.

Kedua-dua negara itu diberikan kebenaran khas untuk menggunakan ruangan udara Switzerland pada bila-bila masa dengan syarat perlu membantu melindungi ruang udara Switzerland semasa tentera udara mereka berehat.

Perjanjian ini nampak berjaya ekoran kedudukan Switzerland sendiri yang kurang mencipta musuh serta jarang terlibat dengan konflik. Sehinggalah satu insiden rampasan pesawat berlaku pada tahun 2014 yang menyebabkan Switzerland diketawakan.

Sebuah pesawat milik Ethiopian Airlines dari Addis Ababa, ibu negara Ethiopia ke Milan, Itali telah dirampas pembantu juruterbangnya sendiri.

Bagi melindungi 202 orang tebusan semasa perbincangan dijalankan, dua buah pesawat milik Perancis dan Itali mengiringi pesawat itu kerana ketika kejadian itu yang berlaku sekitar jam 6 pagi, tentera udara Switzerland belum masuk kerja. Ya, itulah yang berlaku.

Selepas kerosakan salah satu enjin, pesawat itu berjaya didaratkan dengan selamat di lapangan terbang Geneva tanpa berlaku sebarang insiden buruk kepada semua anak kapalnya hasil campur tangan Itali dan Perancis. Walau bagaimanapun, insiden itu membuka mata orang ramai tentang hakikat sebenar yang membelenggu tentera udara Switzerland.

Orang ramai baru menyedari Swiss Air Force adalah satu-satunya angkatan tentera yang bekerja ikut waktu pejabat lengkap dengan cuti hujung minggu.

Wakil tentera udara Switzerland cuba memperjelaskan tentang kekangan dana yang mereka alami, namun untuk beberapa minggu selepas itu pihak media antarabangsa tak henti-henti terus mentertawakan keupayaan tentera Switzerland.

Salah satu artikel secara berseloroh menyifatkan 'jika anda mahu menceroboh masuk Switzerland, masuk pada waktu malam dan hujung minggu.'

Rasa malu mula menyebabkan kerajaan Switzerland bertindak

tentera udara switzerland kerja waktu pejabat

Merah padam menanggung malu kerana menjadi bahan ketawa masyarakat antarabangsa, kerajaan Switzerland mengumumkan usaha awal untuk mengubah cara kerja mereka. 

Gerak kerja tentera udara mereka disusun semula agar mampu beroperasi setiap hujung minggu, bermula pada 1 Januari tahun 2017. Bagaimanapun, mereka masih belum mempunyai bajet mencukupi untuk bekerja 24 jam sehari ekoran keperluan menambah tenaga kerja.

Switzerland menjangkakan mereka memerlukan sekurang-kurangnya 5 tahun untuk beralih kepada tahap kesediaan 24 jam setiap masa.

Selepas penambahan lebih 100 petugas melibatkan pelbagai jawatan yang berlaku melalui beberapa fasa, akhirnya tentera udara Switzerland mengumumkan jangkaan sekitar tahun 2020 sebagai permulaan angkatan tentera mereka beroperasi secara penuh.

Dua orang juruterbang selamat menjalani latihan penerbangan waktu malam di Britain sebagai langkah mempersiapkan diri menjadi kumpulan pertama tentera udara Switzerland yang akan memantau ruangan udara Switzerland setiap malam - memulakan tugasan mereka secara rasmi pada 1 Januari 2021. 

Ini kisah Switzerland. Sekiranya kisah ini berlaku melibatkan tentera udara di-Raja Malaysia, apa agaknya reaksi anda?



Hakcipta iluminasi.com (2017)