anwar congo

Anwar menari-nari sambil mulutnya terus menceritakan apa yang dilakukannya. "Aku gunakan wayar, cekik lehernya," kata dia. "Mau dipukul, darahnya banyak. Kotor."

Rambutnya yang sudah beruban menyembunyikan kisah hidupnya yang bergelumang dengan darah. Setiap kali igauan ngeri daripada wajah mangsanya hadir, dia akan mula menari diiringi togakan arak dan sedutan ganja di tangan.

Apabila asyiknya datang, Anwar akan mula menyanyi. Untuk seseorang yang dilaporkan bertanggungjawab membunuh lebih 1,000 nyawa saudara senegaranya sendiri - Anwar nampak tenang ditemuramah.

Kisah legenda pembunuh komunis

anwar congo pembunuh algojo komunis

Sekitar tahun 1965 hingga 1966, seramai 500,000 orang warga Indonesia dibunuh atas sebab politik. Berikutan daripada cubaan merampas kuasa yang berjaya dipatahkan dalam Gerakan 30 September, dipercayai didalangi Parti Komunis Indonesia (PKI) - pihak tentera mula mengambil langkah pencegahan secara keras.

Salah seorang individu yang terlibat dalam operasi ketenteraan besar-besaran ini adalah Anwar Tal'a Congo. Namanya agak aneh, berikutan pengaruh negara Congo pada ayahnya yang bekerja sebagai seorang anak kapal. Hasil sayangnya pada Congo, anak lelakinya sendiri dinamakan sedemikian rupa.

Lahir pada 19 Februari 1937, Anwar tidak berdepan hidup susah semasa kecil berikutan status keluarganya yang agak senang. Namun godaan hidup remaja membuatkan dia terlibat dengan kegiatan samseng dan kongsi gelap pada usia 12 tahun. Rakannya yang semakin ramai membuatkan aktivitinya juga semakin bahaya.

Anwar dan rakan-rakannya mula mengugut perniagaan-perniagaan yang ada di kawasan mereka untuk wang perlindungan, terlibat dengan penyeludupan serta kegiatan judi tidak berlesen. Selain itu, Anwar dan rakan karibnya, Adi Zulkadry mula memberanikan diri mengambil upah pekerjaan yang sukar dilakukan majoriti manusia lain - menerima bayaran untuk membunuh sasaran-sasaran yang ditetapkan.

Memperjuangkan sentimen anti komunis yang lantang

anwar congo dalam temuramah

Berikutan gerakan tentera yang dilihat mahu melenyapkan terus pengaruh komunis di negara tersebut, kumpulan-kumpulan samseng yang membawa sentimen anti komunis turut sama terasa bahangnya - termasuklah Anwar dan kawan-kawannya.

Gerakan penghapusan yang berlaku walaupun dikatakan dikawal tentera, namun lebih banyak menggunakan khidmat kumpulan-kumpulan individu seperti Anwar. Mereka diupah dengan ganjaran-ganjaran tertentu bagi menjalankan kerja-kerja gelap seperti menangkap, mengurung, menahan dan menyeksa suspek komunis. Selalunya setiap penahanan berakhir dengan pembunuhan.

Dikenali dengan nama 'Kumpulan Katak', Anwar dan 'pasukannya' mula dikenali sebagai pasukan pembersih komunis yang berani dengan Anwar sendiri, tidak teragak-agak dalam mengambil sebarang tindakan yang orang biasa akan berfikir 2-3 kali sebelum melakukannya. Nama Anwar Congo mula ditakuti, mencipta legendanya sendiri.

Selepas ancaman komunis mula berjaya ditangani, Anwar kembali pada hidupnya di jalanan - melakukan kerja-kerja yang menguntungkan dirinya seperti rompakan, peras ugut dan penyeludupan. Bahaya, tetapi bagi Anwar - itu adalah kehidupannya.

Tidak pernah didakwa atau dipertanggungjawabkan

anwar congo tunjuk cara bunuh mangsa

Walaupun didakwa terlibat dalam pembunuhan beribu-ribu orang dan Anwar sendiri dikatakan mencabut lebih 1,000 nyawa - sehingga ke saat kematiannya Anwar langsung tidak pernah didakwa di mahkamah. Malahan namanya diangkat sebagai wira masyarakat. Ideologi anti komunis terus menyelebungi sentimen sebenar, menutup kisah bagaimana nyawa manusia dicabut sewenang-wenangnya, tanpa ada rasa simpati.

Sekitar era 90-an, Anwar mula dilantik sebagai pengawal kepada kelab-kelab malam. Nama beliau terus disegani dan peluang bertemu beliau, yang sangat berpengaruh dalam gerakan Pemuda Pancasila - dianggap sebagai satu peluang keemasan bertemu dengan seorang patriot negara. Hidupnya selepas itu sederhana saja. Anwar berkahwin lambat dengan seorang wanita bernama Salma Miftah Salim dan pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Bermula tahun 2001, seorang pembikin filem Denmark mempelajari tentang kewujudan individu-individu bergelar algojo orang komunis yang berkhidmat hampir 40 tahun sebelumnya. Kajian yang dijalankan selama beberapa tahun menemukan Joshua Oppenheimer dengan Anwar Congo - legenda yang sangat ditakuti orang Medan satu masa dulu.

Dari situlah sesi temuramah dan pengambaran dilakukan di antara mereka dengan Anwar tidak lagi berselindung menceritakan apa yang telah berlaku - mengakui dia sejak dulu menyesali segala-galanya yang terjadi.

Tahun 2012, dokumentari berjudul 'Jagal' (Pembunuh) atau tajuk antarabangsanya 'The Act of Killing' diterbitkan. Diletakkan sebagai salah satu dokumentari terbaik oleh British Film Institute, tayangannya di Indonesia diharamkan sama sekali.

Pada 25 Oktober 2019, Anwar Congo meninggal dunia akibat sakit saraf - hidup dibelenggu dengan rasa bersalah dihantui wajah-wajah mereka yang dijerut lehernya dengan wayar, dengan arak dan dadah menjadi teman hingga mati.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Anwar Congo, the mass killer who re-enacted his crimes yang diterbitkan oleh BBC News pada 3 November 2019.



Hakcipta iluminasi.com (2017)