Oleh pada 05 Mar 2018 kategori

Besar kemungkinan hari-hari kita sebutkan perkataan-perkataan yang cuba kami senaraikan.

Pernahkah anda terfikir apa asal-usul sebenar perkataan pasukan keselamatan kita?

Berikut adalah asal-usul yang melibatkan pasukan keselamatan kita dan juga beberapa sejarah lain yang seronok untuk dikongsikan.

1. Asal-usul perkataan bomba

basikal bomba zaman dulu

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perkataan 'bomba' digunakan mewakili abang-abang yang mempertaruhkan nyawa mereka menyelamatkan mangsa kebakaran atau mungkin juga kucing tersangkut di atas pokok.

Istilah ini berpunca daripada perkataan 'bombeiros' dari bahasa Portugal yang membawa maksud 'pasukan pemadam.' Bagaimanapun secara rasminya, perkataan 'bomba' datang daripada usaha menterjemahkan nama lama 'fire brigade' kepada nama dalam Bahasa Melayu.

Dalam tahun 1961, Dewan Bahasa dan Pustaka ketika Bulan Bahasa Kebangsaan, mengumpulkan panel-panel penterjemah untuk menterjemahkan 'fire brigade.' Sekiranya terjemahan terus dilakukan, nama yang akan digunakan adalah 'pasukan api' yang dirasakan tidak sesuai.

Panel pada awalnya mencadangkan perkataan 'gumbat' berdasarkan sejenis alat yang digunakan pasukan 'fire brigade' yang hanya mampu bertindak mengepam air.

Mereka juga mendapati perkataan 'bombat' yang membawa maksud 'menumpukan' lebih sesuai, cuma kurang enak disebut atau didengari. Sebagai solusi, mereka yang terlibat setuju untuk membuang huruf 'T' menjadikannya 'bomba.'

Bagaimanapun, yang menjadi misteri - penggunaan perkataan 'bomba' telah wujud lebih awal.

Terdapat satu surat bertarikh 12 September 1922 ditulis seseorang kepada pemerintah waktu itu, memohon supaya pasukan 'bomba ayer' diletakkan di pekan Kulim, Kedah bagi mencegah kebakaran yang kerap berlaku di sana. (rujukan)

2. Asal-usul perkataan polis

kereta polis zaman dulu

Perkataan 'polis' datangnya daripada perkataan Greek 'polteia' yang membawa maksud sesuatu organisasi seperti kerajaan.

Perkataan itu mengalami evolusi penggunaan berbeza mengikut negara dan zaman, dengan penggunaan 'policer' menjadi rujukan kepada individu yang ditugaskan menjaga keselamatan pada tahun 1589.

Hanya pada tahun 1730 di Scotland, perkataan Inggeris 'police' digunakan untuk merujuk kepada seseorang yang diberi tugas mengawal selia undang-undang serta menjaga kesejahteraan orang ramai.

Jadi perkataan polis yang kerap kali kita sebutkan berpunca daripada peminjaman secara penuh perkataan 'police' Bahasa Inggeris, dengan ejaannya diubah supaya selari dengan sistem ejaan Bahasa Melayu.

3. Asal-usul perkataan tentera

tentera jepun

Agak sukar untuk memastikan daripada mana datangnya asal-usul perkataan ini.

Namun yang paling hampir dan logik, perkataan tentera datang daripada perkataan 'balam-tantra' yang berasal daripada perkataan bahasa Sanskrit.

'Tantra' membawa maksud yang luas, dengan maksud paling asas perkataan tersebut membawa makna sesuatu pegangan yang menjadi prinsip atau asas, tak kiralah dalam bentuk etika, agama atau pegangan.

'Balam' pula membawa makna kekuatan atau suatu kekuasaan dengan penggabungan beberapa orang individu menjadi satu kumpulan.

Jadi 'balam tantra' membawa maksud 'sekumpulan individu yang mempunyai pegangan, prinsip yang sama serta percaya mereka mampu menjadi kuat selagi mereka berpegang kepada kepercayaan tersebut.'

Sekiranya anda mempunyai ilmu yang mampu menjelaskan asal usul perkataan 'tentera' dengan lebih mendalam, sila hubungi kami. (rujukan)

4. Asal-usul perkataan askar

khairy jamaluddin kj askar wataniah

Perkataan 'askar' adalah perkataan yang datang daripada perkataan asal bahasa Arab 'askar' yang berpunca daripada perkataan 'askari.'

'Askari' membawa maksud seorang individu yang terlibat dengan perang, sementara 'askar' mewakili sekumpulan individu yang terlibat dengan perang. Perkataan 'askari' ini pula dipercayai datang daripada perkataan yang berasal daripada Parsi iaitu 'lashkar' yang membawa maksud sama.

Pada tahun 750-868 semasa zaman permulaan Khalifah Abbasiyah, bandar al-Askar terpilih sebagai ibu negara kepada Mesir satu masa dulu. Bandar al-Askar diwujudkan dan dirancang pembinaannya agar mempunyai kebolehan memuatkan ramai batalion askar menghuni di dalamnya. (rujukan)

5. Asal-usul perkataan lanun

sejarah dan asal usul perkataan lanun

Seiring dengan kemeriahaan bola sepak di negara kita, perkataan lanun atau pirates kerap didengari. Dari mana asal usul perkataan ini?

Sewaktu zaman penjajahan Syarikat British Borneo Utara di negeri Sabah, terdapat satu suku bangsa yang cukup kuat menentang penjajahan mereka. Suku tersebut yang kini masih wujud di Sabah, bernama Iranun.

Suku Iranun ini kerap berpindah randah dari daratan sehingga mampu hidup di atas lautan, dengan menjadikan pesisir pantai dan muara sungai sebagai kawasan penempatan mereka, mempunyai tradisi dan warisan sejarah yang panjang serta bahasa mereka sendiri. Agama Islam menjadi pegangan mereka.

Ekoran kedudukan di pesisir pantai, ini membolehkan mereka mengawal laluan keluar masuk kapal pedagang asing.

Bagaimanapun kemasukan penjajah ke kawasan tersebut membuatkan berlakunya perubahan besar terhadap sistem masyarakat Iranun yang telah sedia digunapakai pada waktu itu.

Suku Iranun bertindak mempertahankan lokasi mereka daripada ancaman pihak penjajah, yang berusaha menghilangkan pengaruh suku Iranun bagi membolehkan penjajah menguasai laluan laut.

Bagi menentang penjajah British, suku Iranun mendapat bantuan daripada Sultan-Sultan yang memerintah ketika itu. Bagaimanapun lama kelamaan mereka terpaksa berundur juga.

armada lanun johor

Ekoran daripada pengaruh penjajah British yang bijak menggunakan desas-desus untuk mencipta persepsi, suku Iranun kerap dirujuk British sebagai masyarakat yang mengganggu keamanan dengan melakukan kekacauan di laut.

Penggunaan gelaran 'iranun' bertukar menjadi 'lanun' sebagai label kepada kumpulan yang suka melakukan rompakan di laut, sehinggakan kita pun masih kekal melabelkan sesiapa saja yang melakukan onar di laut, sebagai 'lanun.'

Sedangkan 'iranun' itu membawa makna 'berhubungan' atau 'berkasih-kasihan.'

Bermula daripada perang persepsi itulah, pihak yang menentang penjajah di lautan atau mengganggu kemasukan kapal pedagang semasa zaman pemerintahan British, Belanda atau Sepanyol akan digelarkan 'lanun' bagi melemahkan kedudukan orang Iranun dari tanah mereka sendiri.

(Rujukan 1) (Rujukan 2) (Rujukan 3)




Hakcipta iluminasi.com (2017)