Di Iluminasi, kami pernah menulis beberapa artikel berkenaan Tembok Besar China yang dianggap salah satu keajaiban dunia. Mungkin ramai yang tidak tahu negara China juga mempunyai sebuah lagi "tembok" yang digelar "Tembok Besar Hijau China" atau "The Green Wall Of China".

Negara China satu ketika dahulu merupakan penyumbang utama kepada penghasilan gas karbon monoksida global. Namun, sejak tahun 2014 negara ini mula membuat pelaburan besar-besar untuk memulihara dan memelihara alam sekitar kerana mereka mula sedar akan kesan buruk pencemaran ini kepada ekonomi dan kesihatan rakyat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ramai yang tidak tahu negara ini telah melaksanakan projek 'Tembok Hijau Besar' China sejak tahun 1978 untuk menahan serangan ribut pasir dan debu dari Gurun Gobi dan memberikan sumber kayu berterusan kepada penduduk tempatan untuk jangka masa panjang.

Program ini dimulakan pada tahun 1978 dan direncanakan akan diselesaikan sekitar tahun 2050. Apabila siap kelak, tembok ini akan memiliki panjang keseluruhan 4,500 kilometer. Projek ini mempunyai keutamaan dari aspek sejarah. Walau bagaimanapun, pada zaman pra-moden, projek penanaman semula hutan yang ditaja oleh kerajaan di sepanjang kawasan bersejarah ini kebanyakannya adalah untuk kubu tentera.

Serangan ribut pasir Gurun Gobi

gurun gobi

Setiap musim bunga, debu dari padang pasir utara China ditiup angin ke arah timur sehingga ke Beijing. Ribut pasir ini merupakan ancaman besar kerana melapisi rumah, kereta dan penduduk setempat sehingga menyebabkan hospital-hospital di kota itu dibanjiri pesakit yang menderita penyakit pernafasan.

Pasir-pasir ini juga menyebabkan mesin-mesin tersumbat, lapangan terbang terpaksa ditutup dan memusnahkan tanaman, memaksa ribuan penduduk luar bandar meninggalkan tanah mereka. Pasir ini akan bertebaran ke seluruh Asia, membawa pencemaran dan penyakit berpotensi menular.

Di Korea, kerajaannya baru-baru ini mempertimbangkan untuk mengisytiharkan bahawa ribut pasir ini sebagai bencana alam. Keadaan ini menjadi bertambah buruk akibat proses "pennggurunan" yang berpunca daripada penebangan hutan dan kekeringan yang mengubah tanah gersang menjadi gurun, mewujudkan lapisan tanah di permukaan yang mudah ditiup angin.

Akibat serangan ribut pasir ini, China kehilangan 3600 km persegi padang rumput setiap tahun akibat dilitupi oleh pasir yang ditiupkan dari Gurun Gobi ini. Setiap tahun, ribut pasir dan debu menghakis kira-kira 2000 km persegi lapisan atas permukaan tanah dan serangan ribut meningkat dengan teruk setiap tahun.

Kini, dengan kawasan berpasir ini hanya berada dalam jarak 150 batu dari ibu kota China, para pegawai Beijing telah memulakan kempen besar-besaran untuk mengatasi masalah ini. Ribut ini juga mempunyai kesan terhadap kegiatan pertanian yang serius bagi negara-negara berdekatan yang lain seperti Jepun, Korea Utara dan Korea Selatan.

Metodologi dan proses penanaman semula

tembok besar hijau

Kerajaan  China telah memberi subsidi dan menambah banyak projek penanaman semula hutan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, seterusnya menghasilkan projek penanaman pokok terbesar dalam sejarah manusia. Hasilnya setakat ini memuaskan, kerana kekerapan ribut pasir di seluruh negara turun satu perlima antara 2009 dan 2014.

Fasa keempat dan terbaru projek ini yang dimulakan pada tahun 2003 mempunyai dua bahagian - penggunaan teknik penyemaian udara untuk menutup  tanah di mana tanahnya kurang kering dan menawarkan insentif tunai kepada petani untuk menanam pokok dan pokok renek di kawasan yang lebih kering.

Sistem pengawasan bernilai $ 1.2 bilion termasuk pemetaan dan pangkalan data pengawasan juga telah digunakan. Tembok hijau dibina dan disusun dengan tumbuh-tumbuhan yang mampu menahan pasir dan disusun dalam pola papan catur untuk menstabilkan bukit pasir.

Platform kerikil akan berada di sebelah tumbuh-tumbuhan untuk menahan pasir dan mendorong kerak tanah terbentuk. Pokok-pokok juga boleh berfungsi sebagai penahan angin ribut dari ribut pasir dan debu. Kerajaan juga telah membuat jaringan pemantauan pasir debu dengan Jepun dan Korea.

Selain itu, kerajaan juga telah membiayai penyelidikan untuk mengeksplorasi penggunaan tanaman yang diubahsuai secara genetik, penstabilan bukit pasir dengan bahan kimia, penggunaan jenis rumput yang dibiakkan di angkasa dan bahkan teknik pertanian yang akan memungkinkan padi tumbuh di kawasan tanah berpasir.

Kritikan terhadap projek Tembok Besar Hijau China

tembok besar hijau china 698

Adakah langkah yang diambil oleh kerajaan China ini terbukti berkesan? Projek Tembok Besar Hijau China ini juga tidak lari daripada menerima kritikan daripada pakar yang berasa skeptikal akan keberkesanannya.

Sehingga tahun 2009, hutan yang ditanam di China ini meliputi lebih dari 500,000 kilometer persegi, menjadikannya hutan buatan terbesar di dunia. Pada tahun 2008, ribut musim sejuk telah memusnahkan 10% stok hutan baru, menyebabkan Bank Dunia menasihati China untuk lebih fokus pada kualiti dan bukannya kuantiti dalam spesies tumbuhan yang ditanamnya.

Banyak pokok yang ditanam adalah di kawasan di mana mereka tidak tumbuh secara semula jadi dan ianya dijangka akan mati setelah beberapa tahun. Spesis pokok-pokok ini yang bertahan hidup pula menyerap banyak air bawah tanah yang diperlukan rumput dan tumbuhan asli di kawasan tersebut, menyebabkan lebih banyak degradasi tanah berlaku.

Sekiranya kerja-kerja penanaman hutan terus dilakukan sehingga jumlahnya melebihi daya dukung tanah, ia akan menyebabkan pokok mati kerana tidak mempunyai sumber air dan nutrien untuk terus hidup. Oleh itu, sukar untuk menentukan apakah projek Tembok Hijau ini membantu atau merosakkan ekosistem tempatan.

Kredit:

  1. National Geographic
  2. Earth.org
  3. Wired
  4. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)