deepfake teknologi manipulasi video yang memberi ancaman masa depan

Anda pernah dengar istilah 'deepfakes'? Mungkin buat masa sekarang istilah tersebut belum popular dan digunakan secara meluas, tetapi kami yakin di masa akan datang istilah itu akan lebih kerap diperkatakan.

'Deepfakes' sama seperti pelbagai teknologi yang dibangunkan, sangat berfaedah sekiranya digunakan dengan tujuan yang baik. Bagaimanapun, teknologi yang sama sekiranya jatuh ke tangan yang salah boleh menimbulkan banyak masalah besar - khasnya kepada individu-individu terkenal.

Negara kita pernah beberapa kali digemparkan dengan penyebaran video-video mengaibkan yang dikatakan memaparkan individu-individu tertentu. Walaupun dinafikan serta mungkin juga dibuktikan tidak benar, kesan penyebaran video tersebut sudahpun berjaya mencipta persepsi.

Bagaimana pula sekiranya perkara itu berlaku dalam skala yang lebih besar?

Apa itu Deepfakes?

obama ditiru dan disalin semula

Deepfake adalah singkatan kepada istilah 'deep learning' (pembelajaran mendalam) dan 'fake' (palsu), sebuah teknologi berasaskan kepintaran buatan (AI) yang dapat membantu mensintesiskan visual dalam bentuk imej atau video.

Dengan menggunakan AI, sebuah mesin dapat belajar sendiri menggunakan algoritma yang telah dibangunkan khas untuknya, mengambil rujukan-rujukan yang diperlukan seperti gambar dan video di internet untuk menghasilkan video lain yang memaparkan individu lain dalam video tersebut.

Pada awalnya sekitar tahun 2017, Deepfakes banyak dikeluarkan dalam bentuk video porno melibatkan artis-artis terkemuka wanita Hollywood dalam keadaan memalukan. Nama seperti Gal Gadot serta Scarlett Johansson menjadi mangsa. Bagaimanapun, kualiti video yang dikeluarkan AI tersebut masih belum boleh dikatakan realistik.

Namun, hasil kerjasama sekumpulan individu yang tidak diketahui bersama membantu memperbaiki sistem tersebut, AI yang telah dibangunkan semakin lama semakin pintar sehinggakan hasil yang dapat dikeluarkan kini jauh lebih meyakinkan berbanding sebelumnya.

Kemampuan Deepfakes yang berkembang pesat

deepfake video

Tidak dinafikan teknologi untuk menggantikan wajah pelakon dalam filem sudah banyak digunakan. Selain itu teknologi komputer juga membolehkan perubahan pada aktor dilakukan bagi mendapatkan kesan yang dimahukan. Bagaimanapun, semua itu masih lagi perlu dilakukan secara manual di mana kerja tangan editor tetap perlu ditagih.

Teknologi deepfakes pula melangkaui semua ini, di mana editor tidak lagi diperlukan untuk mendapatkan apa yang dihajati. Seseorang boleh mengarahkan AI merujuk kepada ratusan atau ribuan gambar serta visual seseorang dan seterusnya mesin itu sendiri akan bertindak merujuk, mengkaji serta memanipulasi semula video - menggantikan wajah individu A dengan individu B, dalam video yang memaparkan individu A; tanpa perlu campur tangan manusia!

Semakin banyak rujukan dalam bentuk video atau gambar bagi dipelajari oleh AI, semakin realistik hasil yang bakal dikeluarkan. Buat masa sekarang, bagi mendapatkan hasil yang baik - AI Deepfakes memerlukan ribuan rujukan dalam bentuk video bagi 'memahami' wajah dua individu yang akan disalin tampal. Semakin jauh perbezaan wajah yang mahu ditukar, semakin banyak rujukan perlu diberikan.

Masa depan Deepfakes

Tidak dapat dinafikan teknologi yang ada dalam menyalin dan menampal wajah-wajah individu ini, sekiranya digunakan dengan baik dapat membantu dalam pelbagai perkara contohnya penghasilan filem dan drama. Selain itu teknologi ini juga dapat membantu dalam banyak perkara lain, seperti penghasilan video anda bersama orang kesayangan yang telah tiada (jika anda sanggup) atau mungkin juga membolehkan anda beraksi dalam filem anda sendiri.

Bagaimanapun, setakat ini kebanyakan media yang dihasilkan oleh teknologi mengagumkan ini yang popular - majoritinya adalah video-video porno atau video untuk mengenakan orang lain. Selain pelakon wanita, ahli politik juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa dengan nama seperti Angela Merkel, Donald Trump dan Barrack Obama telah pun selamat ditampal pada badan lain. Adolf Hitler juga tidak ketinggalan.

Garisan pemisah di antara realiti dan fantasi semakin lama semakin menipis, jadi tidak menghairankan satu hari nanti - kita akan mengalami kesukaran mengenalpasti apa yang benar dan mana yang palsu.

Nasib baiklah kita bukan Scarlett Johansson.


tags :, , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)