Seperti yang kita sedia maklum, orang China memang terkenal dengan pembinaan tembok-tembok batu dalam skala besar. Kita mungkin biasa mendengar pelbagai kisah dan fakta menarik mengenai Tembok Besar China yang sangat terkenal dengan seni bina menakjubkan serta menjadi destinasi pilihan bagi para pelancong dari seluruh dunia. 

boleh menaiki beca sambil makan angin di tembok besar nanjing

Namun, tahukah anda, ia bukanlah satu-satunya tembok besar yang ada di negara itu? Terdapat sebuah lagi tembok besar yang terletak di Nanjing, sebuah bandar berhampiran Sungai Yangtze. Malah, tembok ini juga mempunyai rekodnya yang tersendiri dalam sejarah : ia merupakan tembok mengelilingi bandar yang terpanjang di dunia.

Tembok Bandar Nanjing telah dibina antara tahun 1366 dan 1386 bertujuan untuk melindungi ibu kota di mana Dinasti Ming diasaskan. Sekitar 200,000 orang buruh dikerah untuk membina kubu itu dengan menggunakan tanah dan batuan sebanyak tujuh juta meter padu sepanjang tempoh 21 tahun tersebut.

tembok besar china nanjing unesco jarang didengari dan tidak begitu ramai pengunjung

Maharaja pertama Dinasti Ming iaitu Zhu Yuanzhang telah mengarahkan sebanyak 118 buah mukim dari 20 negeri di lima wilayah untuk membuat batu-bata. Setiap bata mempunyai berat sekitar 10 kg dengan ukuran 40-50 cm panjang, 20 cm lebar dan 10 cm tinggi. Setiap bata diukir dengan karakter tulisan Cina untuk merekodkan tempat asal, pegawai yang bertanggungjawab ke atas kualiti bata tersebut dan tukang pembuat batu.

Secara keseluruhannya, sehingga 350 juta bata telah digunakan untuk membina tembok ini. Setiap sambungan bata dituang dengan bancuhan gumpalan limau, air beras dan minyak tung yang sangat kuat lekatannya. Setelah disusun, ketinggian dinding adalah antara 45 hingga 65 kaki. Di bahagian atas dinding pula dibina sebanyak 13,616 kekota sebagai langkah pertahanan.

kubu tinggi tembok besar nanjing china

Dinding bandar yang terpanjang ini meliputi kawasan Nanjing sehingga 55 kilometer persegi. Pada awalnya, dinding ini mempunyai perimeter sepanjang 35.4 km namun hanya 21 km sahaja yang masih kukuh berdiri sehingga ke hari ini.

Pembangunan Tembok Besar Nanjing merupakan gabungan hebat pemikiran pembangunan China yang tradisional dengan latar belakang alam semula jadi yang indah.

tembok bandar nanjing

Ia juga merupakan bukti bahawa perancangan purba China mengambil kira kemudahan pertahanan dalam bandar, ketelitian dalam pembuatan batu dan pembinaan dinding serta pembangunan ibu kota feudal.

Semasa ia pertama kali dilancarkan pada tahun 1386, Pintu Zhonghua (juga dikenali sebagai Pintu Masuk China) berfungsi sebagai pintu masuk selatan yang terletak di bahagian utara Sungai Qinhuai. Terdapat sebanyak tiga runtuhan istana besar yang telah tertimbus di bawahnya.

tembok besar china nanjing unesco

Sementara itu, Pintu Wu yang terletak di perhentian penghabisan jalan pengangkutan yang eksklusif untuk Maharaja Ming memberi laluan menuju Istana Imperial di utara Dongshui Guan. Hari ini, tapak istana yang sudah tidak wujud itu telah ditransformasikan menjadi sebuah tanah lapang hijau yang mempunyai pintu masuk yang telah dibaik pulih, parit asal, runtuhan Dewan Menyembah dan dinding batu dengan ukiran haiwan dongeng yang halus. Taman yang mempunyai ramai pengunjung ini sering memperlihatkan pelbagai aksi daripada kumpulan tarian pedang dan pengamal tai chi.

Jika anda berjalan menuju ke bahagian utara tembok dinding ini pula, Pintu Taicheng menawarkan pemandangan sebahagian Tasik Xuanwu yang berkeluasan 3.6 km persegi. Bertentangannya pula terdapat sebuah tokong purba Ayam-Gagak dan juga Menara Zifeng yang megah berdiri mencakar langit. Kedua-dua unsur purba dan moden China dapat dinikmati dari sini.

salah satu pintu yang mengawal tembok besar china nanjing

Bahagian paling utara Tembok Besar Nanjing mempunyai pintu yang paling sempurna dan paling mengagumkan antara yang lain. Pintu Heping, atau Pintu Keamanan, terletak di bahagian utara Tasik Xuanwu. Sebuah kubu yang dipanggil Pintu Shence di sini pula merupakan zon ketenteraan yang dikawal dan tidak dapat diakses oleh orang awam sejak lebih tujuh dekad yang lalu. Ia adalah satu-satunya bahagian tembok yang mempunyai menara jam.

Menurut laman web Tapak Warisan Dunia UNESCO, Tembok Besar Bandar Nanjing mempunyai empat ciri yang sangat menonjol. Ia telah dibina dalam skala terbesar dan digunakan paling lama; ia mempunyai perancangan yang paling teliti dan sempurna; ia mempunyai kelompok bata terbesar dengan inskripsi; dan ia adalah satu-satunya tembok di tengah bandar dari zaman purba yang masih kekal berdiri sehingga ke hari ini.

Rujukan:

1. Travel China Guide

2. UNESCO

3. CNN


tags : , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)