sempadan thai malaysia

Sebut berkenaan dinding yang merangkumi jarak yang panjang, secara automatik kita akan membayangkan tembok besar China.

Memang benar tembok besar China merupakan salah satu binaan paling mengagumkan pernah dibina dalam tamadun manusia, dengan anggaran panjang keseluruhan melebihi 21 ribu kilometer panjangnya - sebelum kuasa alam, kerosakan serta bencana menyebabkan ada banyak bahagian dinding tersebut lenyap.

Selain daripada Tembok Besar China, wujud beberapa dinding lain di beberapa negara yang tak kurang hebatnya. Anda tahu tak tentang kewujudan dinding-dinding ini? Berikut adalah lima dinding di dunia yang paling terkenal yang tak terletak di China.

1. Kubu besar Sacsayhuaman, Peru

sacsayhuaman 98o8

Dibangunkan lebih awal semasa era orang Killke sebelum disambung zaman tamadun Inca yang wujud di Peru sekitar abad ke 14, kedatangan penjajah Sepanyol menghentikan pembinaan dinding ini serta melenyapkan empayar yang gemilang itu.

Kubu batu ini membuktikan kemajuan mereka pada ketika itu, kerana saiz dinding batu yang dibina mempunyai ketinggian hampir 6 meter dengan setiap barisan panjangnya menyamai 400 meter. Setiap satu bongkah batu yang digunakan dianggarkan mempunyai berat 120 ke 200 tan.

sacsayhuaman

Apa yang sangat mengagumkan mengenai dinding ini, setiap batu yang digunakan seakan-akan sengaja dibentuk di antara satu sama lain, seperti blok-blok Lego yang padat apabila dicantumkan, tanpa perlu menggunakan bahan pelekat seperti simen bagi menutupi celah yang ada. Tidak ada ruang wujud di antara setiap bongkah batu dan sehelai kertas pun tidak boleh dilalukan dicelahnya.

2. Wall of Ston, Croatia

ston city

Kini terletak di bahagian selatan Croatia, dinding sepanjang 7 km ini dibina semasa kawasan tersebut diperintah oleh sebuah republik bernama Ragusa, pada abad ke 14 hinggalan 19. Dinding ini dibina sebagai penghalang kepada pencerobohan oleh kerajaan Turki Uthmaniyah pada bahagian selatan kawasan tersebut.

ston city walls

Mempunyai 3 buah kubu besar, 10 menara bulat, 31 menara tinjau dan 6 lapangan, pada hari ini dinding ini mempunyai ketinggian di antara 5 ke 10 meter dan hanya tinggal 4.5 km daripada jumlah keseluruhannya, selepas mengalami gempa bumi pada abad ke 20.

Dikenali dengan nama jolokan 'The Great Walls of Croatia' - dinding ini merupakan dinding kedua terpanjang di Eropah pernah dibina di sana.

3. Dinding Antonine, Scotland

bandarandar 6e637cfdcc236fa0c261b6b83214534

Pembinaan dinding ini bermula pada tahun 142 senasa zaman pemerintahan Maharaja Rom bernama Antoninus Pius. Mempunyai panjang sekitar 58 kilometer keseluruhannya, terdapat 16 kubu pengawal di bina di sepanjang dinding tersebut melalui beberapa lokasi.

Dinding itu dibina oleh kerajaan Rom dalam masa enam tahun, menjadi garis sempadan kemaraan tentera Rom ketika itu. Tujuannya dibina pula adalah untuk menghalang serangan-serangan berbentuk gerila yang kerap kali dilakukan oleh orang Caledonia yang tinggal di bahagian utara kawasan tersebut.

antonine wall 98o90

Mempunyai ketinggian 3m dengan lebar 4 meter, dinding ini diperkukuhkan dengan struktur kayu yang cantik semasa zaman kegemilangannya. Walaupun begitu, serangan orang Caledonia tidak berjaya dihalang dan orang Rom berhenti daripada mengawasi kawasan sepanjang dinding tersebut pada tahun 165. Ini bermakna dinding itu hanya digunakan selama 23 tahun.

4. Tembok Hadrian, England

hadrian wall

Tembok kedua terpanjang di dunia selepas Tembok Besar China dengan panjang 135 km, Tembok Hadrian wujud sezaman dengan Dinding Antonine, namun Tembok Hadrian dibina lebih awal oleh Maharaja Rom bernama Hadrian pada tahun 122.

Selepas Hadrian digantikan oleh Antonius Pius dan pengganti Pius, Marcus Aurelius mengambil keputusan membiarkan Dinding Antonine begitu saja, tentera Rom kembali menjadikan Tembok Hadrian sebagai lokasi pertahanan utama mereka.

hadrianswall

Mempunyai ketinggian 6 meter dan 3 meter lebar, dinding ini didirikan dalam masa 6 tahun oleh askar-askar British Rom yang bertugas, untuk menjadi perlindungan kepada kerajaan Rom. Dinding ini terus digunakan sehinggalah tempoh terakhir pemerintahan Rom di Britain. Malangnya, sebahagian besar dinding ini telah lenyap kerana batunya diambil bagi membina jalan pada abad ke 18.

5. Tembok Berlin, Jerman

tembok berlin

Salah satu binaan paling diingati dalam era zaman moden, tembok Berlin dibina dengan ketinggian 3.6 meter dan panjang 106 km. Sepanjang 66.5 km daripadanya dipasangkan dengan kawat besi, dengan 302 menara pengawal didirikan.

Dibina bagi mengelak daripada berlaku migrasi besar-besaran daripada Jerman Timur yang dikuasai Kesatuan Soviet ke Jerman Barat yang diketuai parti-parti Perikatan. Lebih malang, Berlin ketika itu dibahagikan kepada empat kawasan dengan setiap satunya dikawal oleh empat kuasa berbeza - Britain, Perancis, Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet.

berlin wall 98o33

Tembok Berlin dibina bermula pada 13 Ogos 1961 dengan penggunaan kawat besi, sebelum diperkemaskan dengan binaan dinding konkrit tinggi yang dilengkapi pagar berelektrik. Hanya pada 9 November 1989, selepas berlakunya salah faham melibatkan pimpinan Jerman Timur mengumumkan pembukaan tembok tersebut pada semua - sempadan yang memecahkan Jerman kepada dua itu akhirnya tidak lagi memisahkan mereka.

6. Tembok Malaysia-Thailand

sempadan

KIta akhiri artikel ini tentang dinding yang melibatkan negara kita sendiri. Pada tahun 1970, atas ancaman komunis kerajaan Malaysia dan Thailand sebulat suara bersetuju untuk membina dinding di bahagian sempadan kedua-dua negara. Bagaimanapun, berbeza dengan kesemua dinding yang disenaraikan di atas - dinding sempadan negara kita dan Thailand ini dibina dengan mendirikan dua dinding, satu lapis dibina kerajaan kita dan satu lagi kerajaan Thailand.

Oleh sebab itu, wujud jurang di antara kedua-dua dinding seluas 10 meter yang tidak jatuh kepada penguatkuasaan kedua-dua buah negara. Malangnya, berikutan kewujudan jurang itu - lebih mudah penyeludup serta mana-mana pihak yang mempunyai niat kurang baik untuk meloloskan diri kerana mereka mempunyai ruang khas untuk bergerak, tanpa takut sebarang tindakan.

sempadan padang besar thai malaysia

Satu lagi rancangan kerjasama di antara kedua-dua buah negara diumumkan pada tahun 2018 dengan perancangan membina satu lagi dinding baru di kawasan Songkhla, sepanjang 11 km merentasi kawasan Dan Nok dan Dan Sadao, bagi menghalang aktiviti penyeludupan barangan larangan dan manusia diteruskan. Setakat ini pihak kedua-dua buah kerajaan belum memberi kata putus terhadap rancangan ini.

Untuk pengetahuan anda, kita dan Thailand berkongsi sempadan sepanjang 646.5 km. Panjang juga kalau nak dibuat dinding keseluruhannya.



Hakcipta iluminasi.com (2017)