lim guan eng bajet belanjawan 2019

Download versi PDF di sini : Download

UCAPAN BELANJAWAN TAHUN 2019 OLEH YB TUAN LIM GUAN ENG MENTERI KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2019) DI DEWAN RAKYAT PADA JUMAAT, 2 NOVEMBER 2018 BERSAMAAN 24 HARIBULAN SAFAR 1440 HIJRAH “MALAYSIA WIBAWA, EKONOMI DINAMIK, RAKYAT SEJAHTERA”

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2019 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.

PENDAHULUAN

Salam Sejahtera, Salam Harapan dan Salam Sayangi Malaysiaku diucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang, Tuan-tuan dan Puan-puan serta seluruh rakyat Malaysia. Sesungguhnya, kami merasa sangat bertuah kerana diberikan kepercayaan, sokongan dan peluang untuk Kerajaan Pakatan Harapan mencorak semula pengurusan negara ke arah yang lebih maju, berdaya saing dan penuh ketelusan.

Pada hari yang bersejarah ini, saya akan membentangkan Belanjawan 2019, iaitu belanjawan julung kali di bawah Kerajaan Pakatan Harapan. Saya juga ingin menyatakan penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah menunjukkan keberanian dan rasa kasih sayang kepada tanahair yang tercinta dengan menyelamatkan negara daripada sebuah Kerajaan kleptokrasi global dan menggantikan pentadbiran tersebut dengan satu kerajaan baharu yang bersih dan demokratik. Kita semua rakyat Malaysia telah melakar sejarah selepas 61 tahun dengan memilih Kerajaan baharu yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang paling berusia di dunia, malahan seorang negarawan yang paling disanjungi di dunia.

PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan baharu telah mewarisi kedudukan kewangan yang membimbangkan. Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu. Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Paras hutang RM1 trilion ini disebabkan oleh skandal kewangan yang bertopengkan sebagai pelaburan, dan hutang mega sebagai projek mega. Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018. Selain itu, Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini. Kerajaan juga mengenalpasti wujudnya kontrak berat sebelah seperti projek Trans Sabah Gas Pipeline dan Multi-Product Pipeline yang kosnya berjumlah RM9.6 bilion namun RM8.3 bilion telah dibayar walaupun hanya kurang daripada 10% kerja pembinaan telah disiapkan. Projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula akan melibatkan kos sehingga RM81 bilion, selain puluhan bilion ringgit lagi akibat kerugian kos operasi.

Seterusnya, Akauntan Negara Malaysia telah mengesahkan kenyataan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bahawa hasil kutipan cukai telah terlebih lapor kerana tidak membayar balik GST dan cukai pendapatan bagi beberapa tahun. Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, di mana tunggakan GST adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion. Bayaran balik ini adalah kepunyaan pembayar cukai dan telah disalahgunakan tanpa kebenaran dan pengetahuan. Tidak seperti hutang 1MDB dan skandal kewangan lain yang mana boleh dibayar dalam tempoh yang lebih panjang, Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memulangkan kesemua tunggakan bayaran balik cukai kepada individu, syarikat dan rakyat Malaysia dalam tahun 2019.

Inilah harga tinggi yang terpaksa ditanggung oleh rakyat akibat kleptokrasi global. Bagi memulihkan semula kedudukan fiskal, YAB Perdana Menteri telah meminta rakyat Malaysia untuk bersama melaksanakan pengorbanan demi negara. Walau bagaimanapun dengan izin ‘while we remove the fat, we must not cut our muscles’. Oleh itu, di samping bertekad ke arah melaksanakan konsolidasi fiskal, Kerajaan akan mengimbangi keutamaan pembangunan ekonomi untuk menambah baik kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Tuan Yang Dipertua,

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan anggaran pertumbuhan global daripada 3.9% kepada 3.7% pada 2018. Tahun depan, pertumbuhan dunia dijangka kekal pada 3.7%. Unjuran pertumbuhan perdagangan dunia pula telah diturunkan daripada 4.8% kepada 4.2% untuk tahun 2018 dan 4% pada 2019.

Perang perdagangan yang berpotensi menjadi lebih besar antara negara Amerika Syarikat dan China serta dasar monetari AS yang ketat telahpun menyebabkan aliran modal keluar secara besar-besaran dari pasaran baharu muncul kembali masuk ke AS. Negara yang mempunyai defisit berkembar iaitu defisit akaun semasa dan defisit fiskal adalah yang paling terjejas. Nilai matawang Peso Argentina telah menyusut 48.7% pada tahun ini berbanding Dolar Amerika setakat 31 Oktober 2018. Lira Turki dan Rupiah Indonesia telah masing-masing menyusut 32.1% dan 11.3%.

Sebagai sebuah ekonomi membangun, Malaysia tidak dapat mengelak daripada aliran keluar modal asing. Walaupun berdepan tekanan, matawang Ringgit terus didokong oleh lebihan akaun semasa dan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia. Akibatnya, prestasi Ringgit adalah yang terbaik di kalangan pasaran baharu muncul pada tahun ini sehingga 31 Oktober 2018. Ringgit telah meningkat sebanyak 12.3% berbanding Rupee India, 8.1%berbanding Rupiah Indonesia, 3% berbanding Peso Filipina, 3.2% berbanding Renminbi China dan 0.6% berbanding Dolar Singapura.

Selain itu, pasaran ekuiti Malaysia juga telah menunjukkan daya tahan yang tinggi apabila FBM KLCI hanya menurun 4.1% pada tahun ini setakat 31 Oktober 2018 berbanding indeks pasaran baharu muncul (MSCI Emerging Market Index) yang menyusut 17.7%. Dalam pasaran serantau utama yang lain, Singapura mencatatkan penurunan 12%, Hong Kong jatuh 18.3%, Republik Korea susut 18.2%, Filipina jatuh 18.2%, manakala Indonesia dan Thailand masing-masing susut 8% dan 6.2%. Ini menunjukkan bahawa pelabur tempatan dan asing yakin terhadap Kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Berikutan cabaran global dan selaras dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah oleh IMF, Malaysia telahpun menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2018 kepada 4.8% berbanding dengan 5% hingga 5.5% sebelum ini. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2018, eksport terus berkembang sebanyak 6.9% dan menyumbang kepada lebihan akaun semasa berjumlah RM18.9 bilion atau 2.8% daripada KDNK. Sehingga 15 Oktober 2018, rizab antarabangsa berjumlah USD102.8 bilion atau RM426 bilion, mencukupi untuk menampung 7.3 bulan import tertangguh. Kadar inflasi kekal rendah pada 1.2% bagi tempoh Januari sehingga September 2018, dan seterusnya membolehkan dasar monetari kekal akomodatif dan kondusif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan sedar akan ekonomi global yang semakin mencabar memerlukan negara mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa yang sama, mengambil langkah konsolidasi fiskal. Kerajaan mengunjurkan KDNK akan terus berkembang 4.9% pada 2019 walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

FOKUS BELANJAWAN 2019

Tuan Yang Dipertua,

Bertemakan “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”, Belanjawan 2019 akan menumpukan kepada 3 Fokus dengan 12 strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia. Tiga fokus tersebut adalah:

  • PERTAMA : MELAKSANAKAN REFORMASI INSTITUSI;
  • KEDUA : MEMASTIKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT; DAN
  • KETIGA : MEMUPUK BUDAYA NEGARA KEUSAHAWANAN.

FOKUS 1: MELAKSANAKAN REFORMASI INSTITUSI

Kelemahan utama pengurusan makroekonomi Malaysia adalah salah tadbir urus kewangan awam seperti yang ternyata berlaku dalam skandal RM50 bilion 1MDB yang diceritakan dalam buku “Billion Dollar Whale”. Oleh yang demikian, reformasi institusi adalah perlu untuk meningkatkan ketelusan disiplin fiskal yang bukan sahaja dapat mengelak berulangnya salah laku, tetapi dapat memastikan kestabilan makroekonomi dan kemampanan pertumbuhan ekonomi.

Strategi 1: Memperkukuh Pengurusan Fiskal

  • PERTAMA: Kerajaan Persekutuan telah menstruktur semula pendekatan belanjawan melalui Zero-Based Budgeting iaitu sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan. Pendekatan ini meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan penjimatan kerana perbelanjaan dibuat melalui penilaian matlamat peruntukan, dan bukannya berdasarkan perbelanjaan tahun lalu, dan semua perbelanjaan yang menurut budi bicara akan dirancang dari sifar.
  • KEDUA: Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal atau Fiscal Responsibility Act pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan yang tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang maha besar.
  • KETIGA: Kerajaan berhasrat untuk membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun hadapan untuk mengawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka, dan pada masa yang sama, mengenakan tindakan punitif ke atas penyalahgunaan kuasa, kecuaian dan rasuah. Pelaksanaan tender terbuka bukan sahaja akan menjimatkan wang pembayar cukai, malah ia juga akan meningkatkan kecekapan dan daya saing sektor swasta.
  • KEEMPAT: Untuk memastikan penzahiran hutang dan liabiliti serta kedudukan nilai aset negara secara menyeluruh, Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021.

Tuan Yang Dipertua,

Strategi 2: Menstruktur Semula dan Merasionalisasi Hutang Kerajaan

Dalam tempoh sedekad yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah bergantung kepada pembiayaan jaminan Kerajaan yang kurang telus, atau melalui program pembiayaan pajakan yang dikenali sebagai projek PPP untuk membiayai perbelanjaan Kerajaan. Jumlah jaminan Kerajaan telah meningkat dari RM69.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM238 bilion pada 2017 iaitu peningkatan drastik sebanyak 244%. Sebagai perbandingan, hutang rasmi Kerajaan Persekutuan hanya meningkat 124% dalam tempoh yang sama.

Pada asasnya, defisit belanjawan yang diumumkan dan telah dicapai pada tahun-tahun sebelum ini tidak menggambarkan defisit sebenar. Sehubungan itu, walaupun Kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dan menunda perbelanjaan tidak kritikal, adalah tidak realistik untuk mencapai sasaran defisit 2.8% pada 2018, melainkan Kerajaan meneruskan amalan terdahulu dengan menyorok perbelanjaan secara off-balance sheet.

Mengambil kira perkara ini, defisit fiskal pada 2018 dijangka mencapai 3.7%. Peningkatan ini disebabkan oleh komitmen perbelanjaan Kerajaan terdahulu yang tidak disediakan peruntukan seperti bayaran khidmat hutang 1MDB sebanyak RM1 bilion, pengambilalihan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di Johor RM1.3 bilion, Prasarana RM1 bilion dan projek rel Kementerian Pengangkutan RM1.4 billion serta bayaran balik GST RM3.9 bilion.

Untuk 3 tahun akan datang, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4% daripada KDNK pada 2019, 3% pada 2020 dan 2.8% pada 2021. Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka akan terus berkurangan kepada sekitar 2%.

Kerajaan Persekutuan akan terus memberi jaminan pembiayaan hanya untuk projek infrastruktur yang sedang dalam pembinaan seperti MRT2 dan LRT3 serta kepada agensi terpilih yang mempunyai kemampanan kewangan.

Bagi memastikan keberkesanan langkah konsolidasi fiskal ke atas hutang RM1 trilion, Kerajaan akan mengurangkan kedudukan hutang sebagai peratusan kepada KDNK dengan langkah-langkah berikut:

  • PERTAMA: Kerajaan akan mewujudkan Pejabat Pengurusan Hutang yang bertanggungjawab untuk menyemak dan menguruskan hutang dan liabiliti Kerajaan. Pejabat Pengurusan Hutang akan memantau penerbitan hutang oleh Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan syarikat tujuan khas (SPV) secara holistik. Kerajaan berhasrat untuk mengelakkan berlakunya bayaran khidmat hutang yang lebih tinggi akibat kelemahan koordinasi dalam penerbitan hutang. Pejabat ini juga akan mengoptimakan sumber Kerajaan secara keseluruhan, memusatkan pengurusan dana supaya badan berkanun dengan dana lebihan dapat memenuhi keperluan pembiayaan agensi lain pada kos yang lebih kompetitif.
  • KEDUA: Dalam usaha merasionalisasi hutang, Kerajaan bukan sahaja perlu menstruktur semula hutang sedia ada, tetapi juga menyemak komitmen hutang masa hadapan termasuk pajakan operasi berjumlah puluhan bilion ringgit. Dengan itu, Kerajaan telah membatalkan projek Multi-Product Pipeline dan Trans-Sabah Pipeline berjumlah RM15 bilion. Selain itu, kerja pembinaan ECRL berjumlah RM81 bilion telah digantung dan kini kosnya sedang dirunding semula.

Buat masa ini, Kerajaan juga telah membatalkan projek MRT3 yang bernilai RM60 bilion sehingga projek MRT2 disiapkan. Kerajaan juga telah menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura yang dijangka melibatkan kos sekurang-kurangnya RM110 bilion.

Kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan beberapa projek infrastruktur yang mempunyai kesan pengganda ekonomi yang tinggi setelah menjalankan rundingan semula dengan kontraktor berkaitan. Untuk projek LRT3 sepanjang 37 kilometer yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad, Kerajaan telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion. Jumlah ini mewakili penjimatan sebanyak 47% atau RM15 bilion. Bagi projek MRT2 yang diuruskan oleh MRT Corp pula, Kerajaan telah berjaya menurunkan kos kontrak pembinaan sebanyak RM8.8 bilion daripada RM39.3 bilion kepada RM30.5 bilion, iaitu penjimatan sebanyak 22.4%.

Projek Landasan Berkembar Lembah Klang 2 bernilai RM5.2 bilion yang telah dianugerahkan melalui kaedah rundingan terus sebelum pilihanraya umum yang lalu telah ditamatkan. Projek ini akan ditender semula melalui tender terbuka dan dijangka akan memberi penjimatan kos yang besar. Tambahan pula, pelbagai agensi Kerajaan kini sedang dalam proses menimbang semula kontrak rundingan terus atau tender terhad bernilai sejumlah RM19 bilion yang telah ditandatangani oleh Kerajaan lalu. Semua kementerian diberi kuasa untuk memutuskan sama ada pelaksanaan kontrak boleh diteruskan. Projek yang telah ditandatangani menerusi surat setuju terima (SST) boleh diteruskan dengan syarat memperolehi penjimatan sekurang-kurangnya 10% daripada kos pembinaan. Kerajaan menjangka dapat menjimatkan sebanyak RM1.9 bilion. Penjimatan ketara berbilion ringgit daripada projek-projek ini akan mengurangkan beban hutang di masa hadapan.

Kerajaan akan mengambil segala tindakan untuk mendapat segala dana yang hilang atau dicuri daripada 1MDB. Pada 30 Oktober 2018, Kerajaan telah memohon kepada Mahkamah England untuk membatalkan Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui dengan pihak International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dan Aabar Investment PJS daripada Abu Dhabi. 1MDB dan Kerajaan Malaysia tidak akan membayar baki USD4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar dan sebaliknya akan menuntut pemulangan USD1.46 bilion yang telah dibayar, atas alasan penipuan yang berlaku semasa perjanjian tersebut dimuktamadkan.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk memulangkan segala aset dan wang tunai berkaitan dengan 1MDB yang telah dirampas. Kerajaan telah berjaya memiliki semula kapal layar super-mewah, Equanimity dan akan mula menerima bidaan antarabangsa dalam tempoh satu bulan dari tarikh 5 November 2018.

Kerajaan Persekutuan akan mengesan dan melapor bukan sahaja nisbah hutang langsung Kerajaan Persekutuan, malah akan menyediakan data yang lebih telus termasuk kedudukan jumlah hutang dan liabiliti. Hutang langsung Kerajaan Persekutuan mencatat RM687 bilion atau 50.7% daripada KDNK pada akhir 2017. Ia meningkat kepada RM725 bilion tetapi masih pada 50.7% daripada KDNK pada akhir Jun 2018.

Setelah mengambil kira komitmen luar jangka dan pajakan kewangan, jumlah keseluruhan liabiliti mencatat 80.3% pada akhir 2017 dan berkurang kepada 74.6% pada akhir 2018. Bagi 2019, hutang rasmi Kerajaan Persekutuan sebagai peratusan kepada KDNK dijangka mencatat 51.8% manakala jumlah liabiliti akan terus berkurang kepada 73.5%.

Strategi 3: Meningkat Hasil Kerajaan

Bagi mencapai objektif untuk meningkatkan hasil, pertama sekali Kerajaan akan, dengan izin, leverage aset Kerajaan dan keduanya menyemak semula dasar percukaian. Langkah yang akan diambil oleh Kerajaan adalah:

Memanfaat Aset

  • PERTAMA: Kerajaan akan mengurangkan pegangannya dalam syarikat bukan strategik dengan merealisasikan nilai yang terbaik mungkin, dan kemudian menggunakan hasil tersebut untuk mengurangkan hutang.
  • KEDUA: Model kerjasama awam swasta yang sebenar akan digunakan bagi projek yang berdasarkan transaksi tukaran tanah yang akan dijalankan secara tender terbuka dan bukannya menggunakan kaedah rundingan terus. Sebelum ini, melalui kaedah rundingan terus, tanah Kerajaan telah dinilai di bawah harga pasaran manakala kos projek adalah lebih tinggi daripada kos sepatutnya. Model PPP sebenar yang berasaskan tender terbuka akan membolehkan Kerajaan memperolehi hasil tertinggi bagi aset yang dilupuskan dan pada masa yang sama mendapat nilai terbaik bagi projek yang dianugerahkan. Berdasarkan kepada model baharu ini, sebanyak 24 projek PPP seperti sekolah, kem tentera, balai polis dan bomba serta rumah mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM5.2 bilion akan dilaksanakan dan Kerajaan dijangka mendapat pulangan bersih sebanyak RM800 juta daripada lebihan penjualan tanah.
  • KETIGA: Kerajaan juga merancang untuk melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan hasil kepada Kerajaan.
  • KEEMPAT: Bagi menswastakan aset infrastruktur, Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT), yang pertama di dunia. Pelabur dalam skim REIT ini, akan memperolehi pulangan melalui fi pengguna yang dikutip daripada pemegang konsesi pengurusan lapangan terbang iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). Melalui inisiatif ini, Kerajaan berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30% ekuiti REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur yang berkualiti. Program ini hanya akan dilaksanakan selepas rundingan fi pengguna dan Pangkalan Aset Diselia dimuktamadkan.

REIT Lapangan Terbang akan berpeluang menerbitkan unit REIT baharu atau mendapatkan pinjaman bagi membiayai penambahbaikan lapangan terbang terutamanya lapangan terbang yang melebihi kapasiti. Struktur kewangan ini akan mengurangkan bebanan hutang Kerajaan untuk membiayai projek pembesaran lapangan terbang. Pada masa yang sama, peranan MAHB sebagai operator aset ringan dapat dikekalkan tanpa perlu dibebankan dengan pelaburan modal dan hutang yang besar. Projek lain juga boleh menerima pakai pembiayaan dan struktur pelaburan seumpama ini seperti hospital dan infrastruktur rel.

Semakan Semula Percukaian

Sebagaimana yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Harapan, GST berkadar sifar telah dilaksanakan pada 1 Jun 2018 dan telah digantikan dengan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) berkuat kuasa mulai 1 September 2018. Di bawah GST, bagi barangan, hanya 545 item telah dikenakan pada kadar sifar manakala di bawah SST, hampir sepuluh kali ganda item dikecualikan daripada Cukai Jualan. Ia memberi impak yang besar kepada perniagaan di mana semasa rejim GST, sebanyak 472,000 syarikat berdaftar perlu mengutip GST. Dengan pelaksanaan SST, hanya 100,000 syarikat akan mengutip cukai ini. Pengenalan SST telah secara langsung, mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana. Berdasarkan kajian awal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, 70% atau 291 daripada 417 barang dan perkhidmatan yang telah diperiksa, didapati terdapat penurunan harga pada September 2018 berbanding semasa rejim GST pada Mei 2018.

Hampir keseluruhan isu operasi dan masalah pelaksanaan di peringkat awal SST telah diselesaikan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia melalui libat urus dengan pihak awam yang melibatkan lebih 50,000 peserta dan puluhan ribu soalan. Saya sendiri telah menghadiri 18 sesi dialog berkaitan SST yang turut dihadiri 15,000 ahli perniagaan di seluruh negara.

Bagi menambah baik kecekapan dan keberkesanan SST, mulai 1 Januari 2019, Kerajaan akan memberi pengecualian cukai perkhidmatan kepada perkhidmatan spesifik yang ditawarkan oleh perniagaan yang berdaftar kepada perniagaan yang berdaftar. Kaedah ini akan mengelak peningkatan kos akibat percukaian berganda dan mengekalkan daya saing industri perkhidmatan tempatan.

Untuk mengurangkan beban pengilang kecil berdaftar yang membeli input pembuatan dari pengimport dan bukannya daripada pengilang yang berdaftar, Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari 2019. Sistem kredit akan juga mengelak percukaian berganda dan menurunkan kos perniagaan.

Selain itu, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai telah ditubuhkan pada September 2018 untuk mengenal pasti dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan sistem percukaian yang lebih progresif dan berkesan. Antara pembaharuan cukai yang dicadangkan adalah:

PERTAMA: Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan untuk memastikan supaya penyedia perkhidmatan tempatan seperti perkhidmatan arkitek, reka bentuk grafik, teknologi maklumat dan rekabentuk kejuruteraan mendapat persaingan yang adil mulai 1 Januari 2019.

KEDUA: Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan Kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020. Contoh perkhidmatan ini termasuk perisian, muzik, video atau sebarang pengiklanan digital. Langkah percukaian ini akan mengimbangkan persaingan antara peruncit kedai dan kedai atas talian, terutamanya kedai atas talian yang dimiliki oleh syarikat luar negeri.

KETIGA: Kerajaan akan melancarkan Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program) untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan bagi tujuan cukai, termasuk akaun pesisir pantai.

Di bawah inisiatif Organisation for Economic and Co-Operation and Development (OECD) untuk meningkat ketelusan percukaian, bermula tahun ini, Malaysia telah melaksanakan Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) dengan pihak berkuasa percukaian lain untuk mendapat maklumat yang membolehkan audit dan siasatan.

Dengan menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela ini, sekiranya pelaporan pendapatan dibuat mulai esok hari sehingga 31 Mac 2019, pembayar cukai akan hanya dikenakan penalti sebanyak 10% ke atas cukai yang perlu dibayar. Sekiranya pelaporan dibuat dari 1 April 2019 sehingga 30 Jun 2019, penalti sebanyak 15% akan dikenakan. Selepas tamatnya program ini pada 30 Jun 2019, kadar penalti yang dikenakan adalah antara 80% sehingga 300% seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang sedia ada. Dengan Kerajaan yang bersih dan telus, rakyat akan bersedia untuk membayar cukai kerana mereka tahu bahawa pemimpin dan Kerajaan tidak menipu dan merompak wang rakyat.

KEEMPAT: LHDN akan meneliti dan menyiasat sebarang harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah. LHDN akan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang untuk mendapatkan kembali sebarang wang tunai, sama ada dalam bentuk cukai tambahan, penalti atau denda.

KELIMA: Kerajaan juga akan mengkaji semula layanan cukai dan insentif sedia ada di bawah pelbagai perundangan bagi memastikan ianya relevan dan dapat mengurangkan ketirisan hasil. Kerajaan akan mengenakan sekatan masa ke atas kerugian perniagaan, baki elaun modal, baki elaun pelaburan semula dan baki rugi perintis yang tidak dapat diserap dibenarkan dibawa ke hadapan sehingga 7 tahun taksiran sahaja.

KEENAM: Untuk memastikan segala insentif cukai kekal relevan dan tiada pertindihan, Kerajaan juga akan melaksanakan kajian menyeluruh ke atas lebih 130 jenis skim fiskal sokongan pelaburan yang dikendalikan oleh 32 agensi penggalakkan pelaburan.

KETUJUH: Setelah berjaya melancarkan sistem SST, Kastam akan meningkatkan penguatkuasaan ke atas penyeludupan rokok. Pada masa ini, Kerajaan mendapat hasil yang lebih rendah akibat wujudnya produk alternatif haram yang berleluasa atau produk yang mempunyai label duti kastam palsu. Kerajaan berharap untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya RM1 bilion daripada usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penipuan, yang sebelum ini tidak dapat dikutip.

KELAPAN: Demi menggalakkan pembangunan pelancongan domestik, Kerajaan akan mencadangkan pengenaan levi pelepasan bagi semua penumpang ke luar negara melalui laluan udara bermula 1 Jun 2019. Kadar yang dicadangkan adalah melibatkan dua peringkat kategori, iaitu pertama, sebanyak RM20 dikenakan ke atas penumpang ke negara Asean dan kedua, sebanyak RM40 dikenakan ke atas penumpang ke negara lain. Kadar yang dicadangkan ini adalah konsisten atau tidak melebihi kadar yang dikenakan oleh negara lain termasuk Thailand USD20, Hong Kong USD15 dan Jepun USD10.

KESEMBILAN: Kerajaan akan memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah dalam tahun ke-6 dan tahun seterusnya, seperti berikut:

  • Bagi syarikat, individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%; dan
  • Bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 0% kepada 5%. Walaubagaimanapun, CKHT dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik di bawah RM200,000.

KESEPULUH: Kadar duti setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada kadar cukai 3% kepada 4%.

KESEBELAS: Sejak tahun 1999, pendapatan faedah yang diperolehi daripada dana pasaran wang pemborong (wholesale money market funds) telah diberikan pengecualian cukai pendapatan untuk menggalakkan pembangunan industri unit amanah. Dana ini telah mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada kadar 24% setiap tahun sejak 2010. Jumlah dana keseluruhan telah meningkat kepada RM42.9 bilion pada Disember 2017. Melihat kepada perkembangan yang positif ini, Kerajaan mencadangkan supaya layanan cukai ini ditamatkan mulai 1 Januari 2019.

KEDUA BELAS: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan telah diwujudkan untuk menyediakan struktur perniagaan dan pelaburan yang lebih luas dalam memudahcara transaksi rentas sempadan, urus niaga perniagaan dan keperluan pengurusan harta. Kerajaan akan terus meningkatkan daya saing Labuan dengan melonggarkan syarat sekatan transaksi dalam matawang Ringgit Malaysia, transaksi di antara entiti Labuan dan pemastautin Malaysia. Cukai syarikat 3% juga akan dikekalkan, tetapi pilihan kadar cukai maksima sebanyak RM20,000 yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 akan dimansuhkan.

KETIGA BELAS: Cukai, fi dan levi ke atas sektor perjudian yang tidak dinaikkan sejak tahun 2005, dipinda seperti berikut:

  • lesen kasino akan dinaikkan dari RM120 juta ke RM150 juta setiap tahun;
  • duti kasino akan dinaikkan kepada 35% ke atas pendapatan kasar;
  • lesen mesin dealer akan dinaikkan dari RM10,000 kepada RM50,000 setiap tahun; dan
  • duti mesin judi akan dinaikkan daripada 20% ke 30% ke atas kutipan kasar.

Pada 2019, Kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion. Ini merangkumi dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion. Kerajaan menghargai PETRONAS sebagai sebuah syarikat yang telah diurus dengan cekap dan mampu mengumpul rizab yang dikongsi bersama dengan Kerajaan tanpa menjejaskan keupayaan PETRONAS untuk melaksanakan pelaburan bagi pertumbuhan masa depan.

FOKUS 2 : MEMASTIKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

Peningkatan kesejahteraan sosioekonomi rakyat akan menjadi petunjuk prestasi utama sama ada Kerajaan ini berjaya atau sebaliknya. Kerajaan akan berusaha untuk memenuhi objektif ini dengan 5 strategi berikut:

Strategi 4: Menjamin Kebajikan dan Kualiti Hidup

PERTAMA: Kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah. Mulai Januari 2019:

  • Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000;
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750; dan
  • Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

Selain itu, Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka. Sebagai contoh, sekiranya isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah dan mempunyai 4 orang anak, maka jumlah BSH yang akan diterima adalah sebanyak RM1,480. Ini adalah lebih banyak daripada jumlah BR1M sedia ada sebanyak RM1,200.

Oleh itu, dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion.

KEDUA: Untuk golongan suri rumah di bawah program e-Kasih, Kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI. Melalui skim ini, Kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai insentif kepada suami penyayang yang mencarum dengan kadar minimum RM5 sebulan kepada simpanan persaraan isteri. Sebanyak RM45 juta diperuntukkan untuk skim ini.

KETIGA: Pakatan Harapan melalui manifestonya telah berjanji untuk memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,300cc dan ke bawah atau pemilik motosikal 125cc dan ke bawah. Atas rasa keprihatinan, Kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik janji tersebut dengan memberi subsidi kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah. Melalui mekanisme ini, Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal. Mekanisme baharu ini dijangka bermula pada suku kedua 2019. Untuk ini, RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal. Bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber di samping membendung ketirisan berikutan perbezaan harga minyak dan penyeludupan rentas sempadan, Kerajaan akan mengapungkan semula harga petrol RON95 di pasaran berdasarkan Automatic Price Mechanism (APM).

KEEMPAT: Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta. Antara barangan yang terlibat adalah tepung gandum, gula bertapis dan minyak masak dalam paket 1kg, serta beras tempatan 15% hancur pek 10kg, Petrol RON95, diesel dan LPG.

KELIMA: Kerajaan akan menggalakkan pengguna untuk turut terlibat dalam pemantauan harga barangan dan mengurangkan khidmat pegawai pemantau harga. Untuk itu, para pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi Price Catcher sebagai platform pemantauan harga barangan melalui perkongsian data. Perkhidmatan ini bukan sahaja akan memanfaatkan semua pengguna untuk mengetahui harga terbaik di pasaran, ia juga akan membantu pihak berkuasa untuk memantau amalan-amalan penentuan harga yang menyalahi undang-undang. Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta ke arah penguatkuasaan yang lebih berkesan.

KEENAM: Pada masa ini, Kerajaan memberi subsidi kepada semua isi rumah yang mempunyai bil elektrik bulanan RM20 dan ke bawah. Selaras dengan hasrat Kerajaan melaksanakan subsidi bersasar, penyaluran subsidi ini akan hanya dikhususkan kepada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan program e-Kasih. Dengan sedemikian, Kerajaan mampu meningkatkan kadar subsidi kepada RM40 sebulan dan memanfaatkan 185,000 akaun. Peruntukan sebanyak RM80 juta disediakan.

KETUJUH: Kerajaan akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan social enterprise untuk menyokong usaha mereka dalam membantu komuniti yang kurang bernasib baik dan terpinggir. Contohnya seperti projek perolehan sampul surat Kerajaan oleh Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk inisiatif ini.

KELAPAN: Layanan potongan cukai pendapatan akan diberikan ke atas sumbangan mana–mana pihak kepada suatu social entreprise dengan had potongan sehingga 10% daripada pendapatan agregat syarikat dan 7% daripada agregat individu yang memberikan sumbangan.

Strategi 5: Meningkat Peluang Pekerjaan dan Kebolehpasaran

 Malaysia merupakan negara guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.4%. Namun, terdapat isu struktur yang mengakibatkan pengangguran jangka masa panjang, terutamanya di kalangan belia. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan akan mengambil langkah berikut:

PERTAMA: Bagi meningkatkan latihan kemahiran belia lepasan sekolah dan kebolehpasaran graduan, Kerajaan akan melaksanakan dua program yang dibiayai melalui dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) iaitu Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme For Employability (GENERATE). Program ini dijangka akan dapat meningkatkan peluang pekerjaan bagi seramai 4,000 orang belia lepasan sekolah dan graduan dengan peruntukan RM 20 juta berbentuk geran sepadan.

KEDUA: Menjelang 2020, adalah dianggarkan seramai 1 juta rakyat Malaysia yang berumur antara 61 dan 65 tahun yang masih produktif dan aktif. Bagi menggalakkan peluang pekerjaan bagi golongan berumur 60 ke atas, Kerajaan mencadangkan supaya caruman mandatori KWSP bagi majikan dikurangkan daripada 6% kepada 4% mulai 1 Januari 2019. Golongan pekerja ini pula tidak perlu mencarum dan oleh yang demikian, pendapatan boleh guna mereka akan meningkat. Selain itu, dicadangkan juga potongan cukai tambahan diberi kepada majikan ke atas perbelanjaan penggajian golongan ini dengan had jumlah saraan sebanyak RM4,000 sebulan. Langkah ini bagi menggalakkan syarikat mengambil semula golongan ini, terutamanya B40 untuk bekerja.

KETIGA: Bagi memastikan bekas banduan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, dicadangkan potongan cukai tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dengan had jumlah saraan sebanyak RM4,000 sebulan. Langkah ini telah diterima daripada portal Belanjawan 2019 dan saya ingin berterima kasih kepada mereka yang berkongsi pelbagai cadangan melalui portal tersebut.

KEEMPAT: Kerajaan amat prihatin dengan keluhan dan rungutan yang disuarakan oleh pesara Kerajaan. Ada di kalangan mereka yang masih menerima pencen kurang daripada satu ribu ringgit. Sehubungan itu, pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang berkelayakan.

KELIMA: Kerajaan sentiasa mengambil berat dan mengiktiraf peranan serta sumbangan 30,000 pegawai lantikan kontrak (contract of service) di dalam perkhidmatan awam yang tidak menikmati kemudahan yang sama seperti penjawat awam tetap. Justeru itu, Kerajaan memperuntukkan RM10 juta setahun untuk memanjangkan kemudahan perubatan kepada ibu bapa pegawai lantikan kontrak. Selain itu, kemudahan Cuti Kuarantin turut dipanjangkan kepada pegawai lantikan kontrak yang anaknya menghidap penyakit berjangkit bermula 12 November 2018.

KEENAM: Kerajaan telah meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah sebanyak 7 hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan. Bagi menghargai 201,600 penjawat awam yang bukan beragama Islam, Kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod yang sama bagi tujuan keagamaan.

KETUJUH: Menyedari keperluan dan kepentingan untuk memastikan kadar gaji dapat menampung suasana kenaikan kos sara hidup, Kerajaan mencadangkan kenaikan gaji minimum kepada RM1,100 di seluruh Malaysia mulai 1 Januari 2019.

KELAPAN: Suatu peraturan kepada syarikat tersenarai akan dilaksanakan supaya memaparkan maklumat di dalam laporan tahunan mengenai nisbah gaji tertinggi dan gaji median serta nisbah bayaran gaji tertinggi dan gaji terendah, sebagai langkah mengurangkan jurang pendapatan. Selain itu, syarikat juga hendaklah menyatakan rancangan penambahbaikan mengenai kaedah purata gaji pekerja.

KESEMBILAN: Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh bagi memperkasakan pasaran buruh, kebajikan pekerja dan melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh pihak majikan. Kerajaan juga akan mempercepatkan penyelesaian terhadap pertikaian di antara majikan dan pekerja dengan menubuhkan Mahkamah Rayuan Perusahaan.

Strategi 6: Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan dan Perlindungan Kebajikan Sosial

PERTAMA: Kerajaan prihatin dan ingin membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dengan melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2019. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PERKESO meliputi program penempatan semula pekerjaan, peningkatan kemahiran dan bayaran pampasan kehilangan pekerjaan. Di samping itu, PERKESO akan menyediakan khidmat nasihat dan membantu para pekerja yang terlibat mencari pekerjaan baru di 54 cawangannya di seluruh negara.

KEDUA: Kerajaan komited membantu isi rumah untuk memperkukuh kedudukan kewangan melalui perlindungan insuran dan takaful. Keadaan kecemasan seperti penyakit kritikal dalam keluarga boleh menyebabkan tekanan kewangan yang serius.

Insurans atau takaful boleh menjadi sebagai jaringan perlindungan dengan menyediakan bantuan kewangan dan membolehkan golongan berpendapatan rendah kembali meneruskan kehidupan. Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta, akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40. Skim yang akan bermula pada 1 Januari 2019 ini, akan menyediakan perlindungan percuma ke atas 4 penyakit kritikal utama sehingga RM8,000 dan maksimum 14 hari pendapatan gantian semasa rawatan hospital pada kadar RM50 sehari atau bersamaan RM700 setahun. Kerajaan menghargai sumbangan Great Eastern Life Insurance atas persetujuan mencarum sebanyak RM2 bilion ke dalam dana permulaan yang akan diuruskan oleh Bank Negara Malaysia. Kerajaan menjangkakan saiz dana akan berkembang dengan penglibatan syarikat insurans lain. Ini merupakan satu peralihan besar dalam usaha untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif merangkumi KWSP dan PERKESO serta institusi perlindungan sosial yang lain.

KETIGA: Adalah menjadi hasrat Kerajaan supaya golongan isi rumah B40 memahami tentang faedah insurans dan takaful dan seterusnya menyertai polisi perlindungan tersebut. Untuk tujuan ini, Bank Negara telah melancarkan Produk Perlindungan Tenang pada 2017 yang mudah dan mampu dilanggan. Bayaran polisi insurans dan takaful ini adalah lebih murah daripada harga sekotak rokok sebulan. Kerajaan bercadang untuk mengecualikan duti setem ke atas semua Produk Perlindungan Tenang untuk dua tahun bermula 1 Januari 2019.

KEEMPAT: Untuk menggalakkan pemilikan perlindungan insurans, perlepasan cukai bagi caruman KWSP dan premium insurans hayat atau takaful akan diasingkan. Perlepasan cukai pendapatan sehingga RM4,000 ke atas caruman kepada KWSP atau dana pencen yang diluluskan; dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM3,000 ke atas takaful atau bayaran premium insurans hayat. Bagi penjawat awam di bawah skim pencen, pelepasan cukai adalah sehingga RM7,000.

KELIMA: Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas. Peruntukan ini termasuk RM10.8 bilion bagi membaik pulih klinik dan hospital serta pembelian ubat-ubatan dan kelengkapan.

KEENAM: Memperkenal Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang. Peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan.

KETUJUH: Meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang akan memanfaatkan seramai 70,000 wanita.

KELAPAN: Menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi rawatan penyakit jarang jumpa (rare disease), rawatan virus Hepatitis C, program menangani masalah pertumbuhan bantut di kalangan kanak-kanak, menyediakan saringan dan peluasan rawatan haemodialisis serta Enhanced Primary Healthcare (EnPHC).

KESEMBILAN: Seterusnya, Kerajaan juga akan memperluas program usahasama awam-swasta di mana Kerajaan menyediakan kemudahan infrastrukur kesihatan manakala pihak swasta membantu menambah dana untuk melaksanakan program kesejahteraan rakyat. Contoh kerjasama ini termasuk Pusat Katarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Selayang.

KESEPULUH: Kajian Kementerian Kesihatan telah menunjukkan bahawa hampir 1 daripada 2 rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Bagi menggalakkan amalan pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat, Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum dengan nilai ambang kandungan gula seperti berikut:

  • air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100 mililiter; dan
  • jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

KESEBELAS: Kementerian Kesihatan telah mensasarkan tahun 2045 ke arah Malaysia Bebas Asap Rokok. Oleh itu, Kementerian akan memperluaskan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan yang akan diwartakan mulai 1 Januari 2019.

Rakyat akan menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara sekiranya negara adalah terkawal dan selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan mempertingkatkan keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Strategi 7: Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna

Tuan Yang Dipertua,

Berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah, pada tahun 2016, isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM2,000 membelanjakan 95% daripada pendapatan mereka untuk keperluan harian. Lebih membimbangkan pendapatan yang masih berbaki selepas mengambil kira inflasi hanyalah RM76, berkurang daripada RM124 pada tahun 2014. Komponen perbelanjaan yang paling besar selain makanan adalah perumahan dan pengangkutan. Oleh itu, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna benar isi rumah dengan langkah-langkah yang telah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan secara khusus akan mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan kemampuan memiliki rumah bagi kategori isi rumah B40 dan M40.

Perumahan Untuk Semua

Kerajaan akan terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik dengan peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd demi memastikan bekalan rumah mencukupi.

Namun begitu, kesukaran untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan, akan menyebabkan bekalan rumah mampu milik tidak dapat dijual walaupun mendapat permintaan yang tinggi. Untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan oleh Bank Negara untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

Mulai 1 Januari 2019, dana ini tersedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5%. Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah, dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan. Dana ini disediakan untuk dua tahun ataupun sehingga peruntukan dihabiskan.

Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh dua tahun sehingga Disember 2020. Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit. Langkah ini dijangka memberi penjimatan kos di antara 7% sehingga 11% kepada pembeli rumah selain daripada apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan oleh pemaju.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membantu kakitangan sektor awam memiliki kediaman yang diimpikan, Kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di mana tempoh pembiayaan pertama daripada 30 tahun kepada 35 tahun; dan tempoh Pembiayaan Kedua daripada 25 tahun kepada 30 tahun.

Untuk memastikan kesejahteraan penjawat awam terutamanya polis, tentera dan guru mendiami kuarters yang selesa, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters Kerajaan yang dikenal pasti.

Kerajaan telah mengumumkan pengecualian SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan. Sebagai balasan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) telah bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu.

Sehingga 31 Mac 2018, terdapat lebihan hartanah kediaman yang bernilai RM22 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 65% berbanding RM13.3 bilion berbanding tahun sebelumnya. Bagi menangani isu ini, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari 2019. Ini akan menjadi sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan di mana pemaju akan menawarkan potongan diskaun 10% ke atas harga hartanah kediaman projek sedia ada.

Akhirnya, sebagai bukti kesediaan Kerajaan untuk meneroka mekanisme baru berasaskan teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah perumahan, Kerajaan akan membenarkan platform penjanaan dana masyarakat (property crowdfunding) yang dipacu oleh sektor swasta. Platform ini akan menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara (peer-to-peer lending). Sebagai contoh, pembeli boleh membeli hartanah terpilih dengan bayaran 20% nilai hartanah manakala baki 80% akan dibiayai oleh pelabur yang ingin mendapat pulangan kenaikan nilai hartanah tersebut untuk suatu tempoh masa.

Dalam analogi mudah, Ah Chong boleh memiliki dan mendiami rumah yang bernilai RM250,000 dengan hanya membayar RM50,000 tanpa mengambil pinjaman perumahan. Muthu, Lisa dan Syarikat Ali Sdn Bhd yang mungkin berminat untuk melabur dalam hartanah akan membiayai baki RM200,000 melalui Pasaran Pinjaman Pelaburan Hartanah yang terbuka kepada rakan setara. Inovasi kewangan ini merupakan yang pertama di dunia dan sekiranya berjaya, akan membolehkan pemilikan rumah yang lebih meluas oleh pembeli rumah pertama di negara ini. Platform pertama dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2019, setelah semua kelulusan diperolehi daripada Suruhanjaya Sekuriti.

Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Tuan Yang Dipertua,

Selepas perbelanjaan perumahan, perbelanjaan pengangkutan merupakan item perbelanjaan yang terbesar. Kebanyakan isi rumah tidak hanya memiliki sebuah kenderaan, malah ramai yang memiliki 2 buah kereta. Secara lazimnya, perbelanjaan bulanan bagi sebuah Perodua Myvi adalah lebih kurang RM900 setelah mengambil kira ansuran bulanan, petrol, bayaran parkir dan penyelenggaraan. Sehubungan itu, penyelesaian utama untuk meningkatkan pendapatan boleh guna bagi isi rumah adalah peralihan daripada pemilikan kereta kepada penggunaan pengangkutan awam.

Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, Kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019. Selain itu, pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan bagi bas RapidKL sahaja juga disediakan. Kempen ini akan diperluaskan bagi meliputi syarikat bas lain secara berperingkat. Skim ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah sebanyak beberapa ratus ringgit sebulan.

Syarikat Prasarana Bhd iaitu anak syarikat pengangkutan awam milik penuh Kerajaan, akan memperbaiki jaringan perkhidmatan basnya dengan menggunakan sepenuhnya aset terkini yang merangkumi 1,131 bas RapidKL, 408 RapidPenang, RapidKuantan dan 300 bas perantara MRT. Prasarana juga akan melaksanakan model usahasama dengan syarikat bas swasta yang lain untuk menguruskan laluan dan perkhidmatan, serta mengawal kos, bagi memaksimumkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan.

Pengurangan kos untuk LRT3 dan MRT2 juga boleh meningkatkan kemampanan operasi yang membolehkan tambang dikenakan pada harga yang lebih rendah untuk pengguna pengangkutan awam. Justeru, ini akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan penggunaan kereta dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya.

Bagi menambahbaik liputan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperuntukkan RM20 juta, bagi menyediakan perkhidmatan tambahan bas GoKL secara percuma selain daripada 4 laluan sedia ada.

Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan menyediakan Tabung Pengangkutan Awam dengan dana RM500 juta yang menawarkan insentif subsidi kadar faedah sebanyak 2% kepada teksi dan syarikat bas serta pengendali pengangkutan awam.

Kerajaan akan membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuhraya dalam bandar pada tahun 2019 yang melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM700 juta. Selain itu, Kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari 2019.

Sebagai tambahan, Kerajaan akan memberi keutamaan kepada Laluan Tambak Johor dan Laluan Kedua ke Singapura bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh warganegara Malaysia dan pemastautin yang mengambil perjalanan ulang alik setiap hari. Sebagai permulaan, RM10 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf Autogate Malaysia Automated Clearance System dan M-Bike.

Strategi 8: Pendidikan bagi Masa Hadapan Yang Lebih Baik

Tuan Yang Dipertua,

Satu-satunya mekanisme yang terjamin dan mampan bagi mencapai pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi adalah melalui pendidikan yang lebih berkualiti di semua peringkat. Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1% daripada keseluruhan perbelanjaan Kerajaan tahun 2019. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk:

PERTAMA: Menyediakan peruntukan bagi bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan yang miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

KEDUA: Menaikkan taraf dan menyelenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta tahun 2018 yang meliputi:

  • Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;
  • Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;
  • Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;
  • Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – RM50 juta;
  • Sekolah Mubaligh – RM50 juta;
  • Sekolah Tahfiz – RM50 juta;
  • Sekolah Pondok yang berdaftar – RM25 juta;
  • Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta; dan
  • Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.

KETIGA: Kesemua penyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institut pengajian tinggi awam di bawah Kementerian Pendidikan akan layak menuntut potongan cukai ke atas sumbangan mereka dalam pengiraan cukai pendapatan mulai 1 Januari 2019. Untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi lain yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan boleh memohon untuk potongan cukai berdasarkan kes demi kes.

KEEMPAT: Menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara. Selain itu, pembinaan sekolah tambahan akan dibiayai melalui kaedah pertukaran tanah secara tender terbuka.

KELIMA: Memperuntukkan RM206 juta untuk membangun dan menyediakan program latihan di politeknik dan kolej komuniti.

KEENAM: Memperkenal Dana Wibawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri, dengan jaminan pekerjaan kepada graduan. Peruntukan sebanyak RM30 juta disediakan untuk dana ini. Di samping itu, peruntukan RM20 juta disediakan bagi meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET.

KETUJUH: Memperkasa aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan RM400 juta. Peruntukan ini termasuk geran padanan bernilai RM30 juta bagi Program Malaysia Partnerships and Alliances in Research (MyPAIR) yang bertujuan mempertingkatkan kerjasama antara IPT dengan industri tempatan serta agensi antarabangsa dalam bidang strategik.

KELAPAN: Meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran menerusi pelbagai agensi seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kesihatan dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.

KESEMBILAN: Memperuntukkan RM17.5 juta bagi tempoh 5 tahun kepada Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) bagi melahirkan 600 akauntan Bumiputera bertauliah ke arah mencapai sasaran 3,000 akauntan Bumiputera berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) berbanding seramai 1,554 pada masa kini.

KESEPULUH: Menyediakan peruntukan RM210 juta sebagai sebahagian daripada agenda pemerkasaan Bumiputera bagi memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan melalui Program Peneraju Tunas, Program Peneraju Skil dan Program Peneraju Profesional yang akan dikendalikan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

KESEBELAS: Memastikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi National (PTPTN) kekal mampan, Kerajaan akan memperkenalkan:

  • Pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara 2% hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatan peminjam. Jadual pembayaran balik ini hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan;
  • Pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019;
  • Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000;
  • Potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama; dan
  • Menghapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

KEDUA BELAS: Bagi memupuk nilai moral dan semangat patriotisme yang tinggi di kalangan belia, satu program baharu akan diperkenalkan iaitu Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang melibatkan 70,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun dengan peruntukan RM70 juta.

KETIGA BELAS: Kerajaan ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang pingat di Sukan Asia dan Para Asia 2018 baru-baru ini yang telah mengharumkan nama negara. RM100 juta diperuntukkan sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dengan harapan membawa pulang pingat emas pertama negara.

KEEMPAT BELAS: Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangun dan menggalakkan E-Sports, sebagai sebuah aktiviti dan industri yang diminati oleh generasi muda, yang melibatkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital.

Meningkatkan Syiar Islam

Islam sebagai agama rasmi mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun 2019 berbanding RM1.1 bilion tahun 2018 bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas berikutan keadaan ekonomi yang mencabar. Selain itu, sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

FOKUS KETIGA: MEMUPUK BUDAYA NEGARA KEUSAHAWANAN

Tuan Yang Dipertua,

Suatu ekosistem baharu harus diwujudkan supaya rakyat Malaysia dapat memenuhi potensi mereka. Pertumbuhan ekonomi yang mampan dan dinamik boleh digalakkan melalui sebuah negara keusahawanan yang inovatif dan kreatif, serta melalui ekonomi baharu dan ekonomi digital.

Model negara keusahawanan menggunakan kerjasama 4P yang merangkumi, dengan izin, Public, Private, Profesional dan People, atau sektor awam, sektor swasta, golongan profesional dan rakyat, untuk membangun dan mengurus sesuatu projek. Projek tersebut akan dibiayai bersama oleh keempat-empat pihak, tetapi ia akan diuruskan oleh pihak swasta atau profesional yang bertanggungjawab kepada pihak Kerajaan dan juga rakyat.

Strategi Kesembilan: Mencetuskan Kuasa Ekonomi Baharu

Tuan Yang Dipertua,

Memupuk Ekonomi Digital

Bagi menyokong perkembangan teknologi baharu dan memastikan usahawan Malaysia mempunyai pembiayaan konvensional atau alternatif yang mencukupi, Kerajaan bercadang untuk mengambil langkah-langkah berikut:

PERTAMA: Dana-dana modal teroka yang diurus agensi Kerajaan seperti Malaysia Technology Development Corporation, Malaysia Debt Ventures Bhd, Malaysia Venture Capital Management Bhd, Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd dan Cradle Fund Sdn Bhd akan diselaraskan. Bagi memastikan dana disalurkan kepada syarikat berpotensi tinggi sahaja, geran padanan Kerajaan hanya akan diberikan kepada syarikat yang dapat menarik pelaburan daripada sektor swasta.

KEDUA: Dana Pelaburan Berkaitan Kerajaan akan menyediakan RM2 bilion geran padanan untuk melabur dalam dana ekuiti swasta (private equity) dan dana modal teroka (venture capital funds) bagi menyokong pelaburan khusus kepada sektor strategik terpilih yang tumbuh pesat.

KETIGA: Kerajaan bercadang menumbuhkan Co-Investment Fund (CIF) atau Dana Pelaburan Bersama berjumlah RM50 juta untuk melabur bersama dengan pihak swasta melalui platform pembiayaan alternatif seperti ekuiti dana penjanaan masyarakat dan pinjaman terbuka antara rakan setara atau dengan izin, peer-to-peer lending (P2P).

Suruhanjaya Sekuriti telah meluluskan rangka kerja untuk platform ekuiti dana penjanaan masyarakat dan Pinjaman P2P. Setakat ini, sebanyak RM170 juta dana telah dijana untuk 450 buah syarikat daripada pelbagai sektor melalui platform-platform ini. Hampir 10,000 individu yang telah melabur melalui platform pembiayaan alternatif ini, di mana 45% pelabur terdiri daripada golongan belia di bawah umur 35 tahun.

KEEMPAT: Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) bagi memperkenalkan rangka kerja baharu untuk melulus dan memantau aktiviti jual beli mata wang digital dan pasaran token akan diwartakan pada awal tahun 2019.

KELIMA: Untuk terus mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran bon dan sukuk, Kerajaan mencadang layanan cukai seperti berikut:

  • melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan kos tambahan apabila menerbitkan sukuk di bawah prinsip Ijarah dan Wakalah, serta perbelanjaan yang ditanggung syarikat semasa menerbitkan bon atau sukuk runcit untuk 3 tahun taksiran mulai tahun taksiran 2019; dan
  • menubuhkan jawatankuasa khas bagi kewangan Islam yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

KEENAM: Bagi menggalakkan penghasilan filem di Malaysia yang bertaraf antarabangsa, Kerajaan akan meneruskan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dengan peruntukan RM30 juta. Sebagai tambahan, Khazanah akan menyediakan peruntukan RM100 juta untuk FIMI yang khusus bagi penerbitan filem di studio Pinewood di Iskandar Johor.

KETUJUH: Untuk menggalakkan perkembangan ekonomi digital, Kerajaan akan melaksanakan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion. Pelan ini bertujuan membangunkan infrastruktur jalur lebar dalam usaha memastikan pengagihan spektrum dilaksanakan dengan lebih efektif. 

Download versi penuh teks ucapan bajet 2019 di sini : Bajet 2019 PDF




Hakcipta iluminasi.com (2017)