Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kami kerap melihat perkongsian media sosial mengeluh berkenaan isu kos sara hidup semakin melambung.
Adakah kami merasainya? Kami akui ada tetapi jika dibandingkan situasi kami berbanding ramai di luar sana - sekurang-kurangnya tahap kepayahan kami tidaklah sesukar keluarga jauh kurang bernasib baik.
Memang ada beberapa perubahan boleh kita laksanakan dalam era mencabar ini. Berikut adalah 8 barang yang boleh kita potong dalam menyeimbangkan bajet bulanan kita.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Rokok dan vape
Kami letak terus barangan ini, kerana kami tahu bukan semua orang merokok. Bila ditengok harga sekotak rokok di kedai...MAK AII MAHALNYA!
Tetapi bila bajet sebulan kita untuk merokok saja mungkin mencecah 5 ke 20% pendapatan; bukankah lebih senang untuk kita cuba berhenti?
Duit dua kotak rokok, boleh diguna membeli 2 kampit beras. Bayangkan!
Potensi penjimatan : minima RM100 sebulan
2. Langgan TV bulanan
Zaman TV internet sekarang, terlalu banyak penyelia langganan televisyen bersaing mendapatkan kita sebagai pelanggan.
Terlalu banyak, sehinggakan ada di antara kita terlupa kita melanggan pakej secara bulanan. Realitinya, berapa jam sangatlah kita benar-benar duduk menonton apa yang kita langgan.
Jika kita benar-benar duduk berfikir, berapa banyak masa kita terbuang MEMILIH apa yang kita nak tonton berbanding betul-betul duduk menonton?
Potensi penjimatan : minima RM40
3. Turunkan pakej internet dan telco
Sekiranya anda ada mengambil pakej internet jalur lebar pada kelajuan tinggi, nilaikan kembali adakah pakej yang anda ambil benar-benar satu keperluan.
Ramai gemar mengambil pakej kelajuan standard 300mb untuk rumah, sedangkan kita tak perlu pun internet pada kelajuan tersebut. Begitu jugalah dengan pakej telco.
Kami yakin ramai di antara kita melanggan, tetapi tidak benar-benar memanfaatkan apa yang kita langgan.
Cuba semak kembali berapakah tahap penggunaan kita sebulan dan lihat adakah wujud pakej pra-bayar yang menyamai dan lebih murah. Besar kemungkinan ada.
Potensi penjimatan : RM20
4. Langganan penapis air
Salah satu benda kurang enak yang jarang diceritakan berkenaan pakej-pakej langganan produk seperti penapis udara misalnya, adalah tempoh kontrak wajib minima yang perlu kita patuhi biasanya ditetapkan 3 tahun
Ini bermakna kita WAJIB melanggan selama 3 tahun melalui bayaran bulanan, sebelum kontrak boleh dibatalkan. Jika tidak, anda akan dikenakan caj penalti.
Nasihat kami, dalam tempoh kemelesetan seperti sekarang - pakej-pakej langganan seperti ini adalah satu kemewahan yang tidak perlu.
Sebagai alternatif, cari penapis air sekali bayar yang memerlukan anda melakukan penyelenggaraan sendiri. Harganya tidak mahal pun, daripada RM150 ke RM550.
Jauh bezanya berbanding membayar RM80 bulanan selama 3 tahun.
Potensi penjimatan bulanan : RM80
5. Minuman 3 in 1
Ramai orang suka menggunakan pek-pek 3 dalam 1 yang dijual, kerana penggunaannya memudahkan.
Dan kami rasa kami tak perlu tunjuk kepada anda, kos setiap pek 3 dalam 1 ni jauh lebih tinggi jika dibandingkan anda membeli serbuk minuman itu secara asing, selain gula, krimer dan susu.
Sudahlah harganya lebih mahal, kuantiti minuman yang mampu dihasilkan juga sedikit. Banyak sebenarnya anda boleh jimatkan jika dalam sebulan anda sekarang menggunakan 2 ke 3 pek 3 dalam 1 selama ini.
Potensi penjimatan : RM35
6. Sabun serbuk/buku
Salah satu produk tinggi kos jika dibandingkan dengan alternatif adalah sabun cecair; baik sabun basuh baju, sabun basuh tangan atau sabun mandi.
Alternatifnya sabun cecair basuh baju boleh ditukar kepada sabun serbuk. Sabun cecair basuh tangan dan sabun mandi boleh diganti dengan sabun wangi buku.
Potensi penjimatan : RM30
7. Pendingin hawa
Ramai orang mengeluh kos bil elektrik tinggi.
Tahukah anda, kos elektrik pendingin hawa ini sebenarnya tidaklah seteruk mana - asalkan anda tahu di mana tahap efektif penggunaannya berbanding kos.
Buka-buka saja pendingin hawa, terus ditetapkan pada 16 atau 18 darjah celcius. Memanglah bil elektrik melambung.
Cara paling mudah untuk kita tetapkan adalah dengan menetapkan pendingin hawa kurang 3 darjah celcius berbanding suhu udara kita.
Ini bermakna kalau suhu di luar 25, tetapkanlah pada 22 atau 23. Kalau di luar 27, tetapkan pada 24 atau 25.
Ada juga petua supaya kita turunkan 5 darjah celcius berbanding suhu luar. Ikut kesesuaian anda lah. Cuba ikut petua ini selama sebulan dan pantau penggunaan tenaga anda.
Kami yakin anda dapat merasai penjimatan ketara.
Potensi penjimatan : RM30
8. Pewangi udara
"PSST! PSST!"
Sudah acap kali penulis berkunjung ke kediaman kenalan yang memasang penyembur udara automatik.
Enak memang enak, tetapi benarkah ada keperluannya? Ada juga yang gemar meletakkan gel-gel pewangi udara di sekeliling rumah.
Pada penulis, kedua-dua benda ni memang bukan satu keperluan.
Alternatif paling baik untuk meng-aroma-kan rumah tanpa belanja besar, adalah dengan meletakkan tumbuhan yang diketahui mampu membersihkan udara.
Tak wangi, tapi tak adalah kita perlu belanja setiap bulan hanya untuk mendapatkan aroma.
Potensi penjimatan : RM20