malaysia laksanakan pkp 2 0

Pandemik COVID-19 dilihatkan semakin menggila ketika ini dan antara yang masih terkesan adalah negara kita, Malaysia.

Dengan kes harian yang mencecah 3,000 kes, kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan buat kali kedua bagi beberapa negeri yang terjejas teruk dalam usaha membendung wabak ini dan cuba melandaikan graf jangkitan.

Bagi negeri yang dilaksanakan PKP iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, SOP yang dilaksanakan adalah lebih ketat berbanding PKP Bersyarat (PKPB).

Pada 11 Jan 2021, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKP 2.0 akan mengenakan sekatan perjalanan termasuk tidak ada pergerakan antara daerah di kawasan yang terjejas.

sekatan jalan raya ketika pkp

Beliau juga mengatakan sekatan jalan raya akan dilakukan mulai jam 12 pagi pada 13 Januari dan bagi mereka yang berada di kawasan PKP, pergerakan akan terhad kepada radius 10 kilometer sahaja.

Dan sehingga kini, masih ramai di antara kita yang tidak tahu atau keliru di manakah sebenarnya had pergerakan yang terletak dalam jarak radius 10 kilometer yang dibenarkan.

Untuk memudahkan urusan, sebuah laman sesawang telah dibina dengan memberikan gambaran peta yang berada dalam jarak radius 10 kilometer dari rumah anda bagi membantu orang ramai mematuhi sekatan pergerakan yang diarahkan oleh kerajaan.

Laman ini yang diberi nama 2kmfromhome.com membolehkan pengguna menetapkan radius antara 1 hingga 400 kilometer dan akan mengecilkan carian ke kawasan itu sahaja, tanpa menyimpan maklumat lokasi pengguna.

laman sesawang 2kmfromhome

Nama laman sesawang ini diberikan oleh pengasasnya iaitu Dave Bolger, yang berpangkalan di Wexford, Ireland, kerana pada ketika itu Ireland menetapkan jarak pergerakan yang dibenarkan kepada orang ramai untuk bersenam kepada 2 kilometer.

"Ketika perintah berkurung awal yang dilaksanakan di Ireland, tiada laman sesawang atau alat yang tersedia untuk memudahkan orang ramai mengetahui had jarak untuk bersenam. Selepas pengumuman pada petang tersebut, kami menghasilkan dan melancarkan laman ini beberapa jam kemudian untuk keluarga dan rakan-rakan untuk menggunakan,” kata Dave Bolger.

Walau bagaimanapun, situasi pandemik yang memburuk membuatkan lebih banyak negara mengenakan sekatan pergerakan yang menyebabkan lebih ramai pengguna menggunakan laman ini, dan nama ini kekal 2kmfromhome.com walaupun boleh digunakan untuk radius yang lebih luas.

jarak 10 kilometer radius dari klcc 509

(Jarak radius 10 kilometer dari KLCC)

Jadi, bagi anda yang masih tidak jelas tentang jarak radius 10 kilometer dari kediaman, laman 2kmfromhome.com pastinya memudahkan urusan dan lebih penting, ia dapat mengelakkan anda daripada didenda dengan kompaun maksimum RM1,000.

Namun perlu diingatkan pergerakan dalam radius 10 kilometer ini hanya boleh dilakukan untuk mendapatkan keperluan asas yang dibenarkan sahaja, bukan untuk tujuan lain yang tidak berkenaan.

Rujukan:

1. 2kmfromhome

2. Star



Hakcipta iluminasi.com (2017)