Perubahan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan tidak boleh dinafikan mengubah cara hidup kita.
Antara kumpulan paling terkesan dengan perubahan ini adalah golongan pelajar sekolah disebabkan perbezaan kaedah pelaksanaan dan pembelajaran di rumah yang membawa banyak halangan, khasnya di kalangan ibu bapa yang kurang berkemampuan.
Keperluan untuk menyediakan data internet serta jumlah peranti yang mencukupi menimbulkan keresahan sehingga ada yang terganggu tidak dapat belajar dengan tenang.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah langkah yang boleh membantu meringankan beban pelajar dan ibu bapa? Kami kongsikan kepada anda lima kaedah yang kami rasa sesuai untuk memudahkan transisi perubahan kita sekarang.
1. Dapatkan telefon pintar percuma untuk pelajar
Sejak bermulanya PKP pada tahun 2020, Yayasan YTL yang memainkan peranan besar dalam pembangunan sistem teknologi pendidikan sekolah negara kita telah pun membuka permohonan kepada pelajar golongan B40, untuk mendapatkan telefon percuma.
Melalui program 'Belajar Dari Rumah', YTL akan menyediakan sebuah peranti beserta pakej data sebanyak 120GB untuk digunakan pelajar belajar. Program ini baru saja disambung sehingga 31 Jun 2021.
Bukan saja pelajar sekolah kerajaan layak, malahan pelajar universiti dan guru juga turut sama layak menyertai program ini. Untuk pelajar sekolah, permohonan perlulah dilakukan oleh guru anda dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga - jadi kongsikan pautan ini agar guru anda dapat membantu anda melakukan permohonan.
2. Rebut data percuma
Sempena PKP ini kebanyakan syarikat penyelia perkhidmatan talian ada menyediakan pakej-pakej data percuma, yang bukan saja dibuka kepada pelajar malahan kepada orang ramai.
Untuk mendapatkannya pelajar atau ibu bapa perlu mengaktifkannya.Selain bantuan telefon, YTL turut menyediakan kad sim rangkaian YES percuma kepada semua kategori pelajar dengan akses kepada 40GB data internet.
Gunakan pautan YTL yang sama kami sertakan di atas untuk mendapatkan kad sim yang akan dihantar terus ke rumah anda.
Selain itu, syarikat Maxis memberikan pelajar data 1GB percuma setiap hari untuk digunakan dalam tempoh 24 jam sekiranya akaun itu tidak datang dengan pakej data tanpa had, memerlukan pengguna mengaktifkan akses akaun kepada pakej tersebut setiap hari.
Rujuk dengan syarikat pengendali talian anda untuk mengetahui lebih lanjut sekiranya anda terlibat dalam program ini.
3. Mohon diskaun dari pengeluar
Sekiranya pelajar memerlukan peranti seperti komputer meja atau riba, terdapat beberapa pengeluar produk komputer yang menawarkan program pembelian pelajar dengan tawaran harga lebih rendah.
Syarikat Dell misalnya mewujudkan 'Program Pembelian Pelajar' bagi membolehkan pembelian pada harga lebih rendah, menerusi beberapa kategori berbeza.
Apa yang perlu bakal pembeli lakukan adalah menyemak terlebih dahulu sama ada anda layak atau tidak untuk mendapatkan diskaun tersebut, melalui proses verifikasi bersama ejen jualan Dell sendiri.
Jenama Lenovo pula membuka gedung jualan digital khas untuk kumpulan pelajar. Lenovo memerlukan anda menggunakan akaun emel khas yang disediakan Kementerian Pendidikan untuk anda mengakses gedung tersebut.
4. Tukar pelan kepada pelan beserta telefon percuma
Bagi ibu bapa, keperluan untuk menyediakan peranti yang mencukupi memang membebankan.
Tetapi jangan terlupa zaman sekarang ini, sudah menjadi satu perkara biasa syarikat pengendali talian mampu memberikan pelanggan telefon percuma - asalkan anda sanggup dikontrakkan. Biasanya 2 tahun.
Walaupun kebiasaannya ada amaun yang perlu anda bayar pada awal permohonan, jumlah yang telah anda bayar itu akan direbatkan ke dalam bil anda selepas itu.
Beberapa syarikat pengendali juga membenarkan pelanggan-pelanggan setia mereka yang telah lama menggunakan talian akses kepada peranti percuma ini, mendapatkan telefon percuma tanpa ada bayaran muka langsung.
Telefon-telefon yang disediakan juga bukanlah telefon cap ayam. Spesifikasinya mungkin lebih rendah, tetapi zaman sekarang ni telefon pintar yang ada sudah lebih dari memadai kuasa pemprosesannya.
5. Dapatkan modem 4G untuk 'hotspot' tanpa had
Bukan semua rumah mampu memiliki pakej langganan kepada sambungan jalur lebar, yang membolehkan siaran Wi-Fi di rumah dilakukan. Masih ramai yang bergantung hanya kepada langganan data mobil untuk mengakses internet sepenuhnya.
Apa yang ibu bapa boleh buat bagi membantu pelajar adalah dengan melanggan pakej data tanpa had, yang sebenarnya sudah banyak disediakan sama ada dalam bentuk pra-bayar atau pasca-bayar.
Kemudian dapatkan modem 4G yang boleh menerima kad sim pakej langganan anda bagi membolehkan siaran Wi-Fi menggunakan rangkaian 4G dibuat, supaya setiap anak dapat berkongsi talian.
Harga modem yang ada dijual bergantung kepada jenis dan spesifikasinya. Ada yang baik, ada yang entah dari mana datangnya. Jika anda tak tahu nak beli yang mana, buat carian dalam gedung digital menggunakan kata kunci '4G sim card modem' atau '4G wifi modem.'
Kami tak mahu berkongsikan pautan, kerana kaedah ini kurang disenangi pengendali rangkaian talian yang tetap mahu mensyaratkan penggunaan 'hotspot' anda. Tetapi masa PKP ni, apa saja cara yang kami rasa boleh membantu, cubalah usahakannya.
Kami harap artikel ini dapat membantu anda serba sedikit dalam usaha penyediaan fasiliti pembelajaran di rumah. Jika rasa berfaedah, kongsikan. Jika anda ada idea lain sebagai tambahan, nyatakan dalam ruangan komen ya!