Oleh pada 27 Jun 2021 kategori

Dua tahun lepas sekiranya anda rajin membaca luahan perasaan golongan pekerja dalam internet, anda akan mendapati ramai individu suka membayangkan mereka bekerja dari rumah.

Pada pandangan kumpulan seperti ini, bekerja dari rumah banyak faedahnya. Tidak perlu bersesak atas jalan raya, tidak perlu bersusah mencari parkir, tidak perlu berhimpit dalam pengangkutan dan paling 'best'; tidak perlu melayan kerenah dan kehendak 'boss' di pejabat serta politik pejabat yang menjengkelkan setiap hari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam erti kata lain ramai mengidam nak kerja dari rumah. Awal tahun 2020, doa anda dipenuhi selepas PKP diamalkan di seluruh negara memaksa kita benar-benar bekerja dari rumah dan ada yang masih kekal, sehingga kini. Dah setahun lebih kita dalam situasi ini - apa yang sudah anda pelajari tentang bekerja dari rumah?

1. Susah sebenarnya bekerja dari rumah kan?

work from home realiti sebenar

Tak senang kan bekerja dari rumah? Susah sebenarnya cuba jadi produktif di rumah disebabkan banyaknya gangguan yang akan mengalihkan perhatian dan fokus kita jika dibandingkan dengan kerja di pejabat.

Jika di pejabat anda boleh duduk 2 ke 3 jam untuk melakukan sesuatu tugasan, tetapi di rumah sukar untuk kita dapat meluangkan masa sedemikian rupa - melainkan anda tinggal seorang diri.

Anda mungkin diganggu pasangan yang meminta tolong, anak-anak yang merengek, adik-beradik yang tiba-tiba nak membincangkan sesuatu atau ibu bapa yang perlu perhatian anda. Mungkin juga anda ada rakan serumah yang perlu pasang radio kuat semasa kerja.

Ada sebab kenapa suasana pejabat membantu kita, walaupun ada kalanya pejabat itu bersifat autoritarian sekalipun peraturannya. Kita tak terganggu, kita mudah fokus dan kita diberikan suasana yang sama setiap pekerja di mana semua orang tak boleh buat kepala sendiri, semasa bekerja.

2. Anak ke sekolah lebih memudahkan hidup ibu bapa

anak bersekolah mudahkan ibu bapa beban ringan

Bagi ibu bapa bekerja yang perlu bekerja di rumah dan menguruskan persekolahan anak-anak melalui internet - banyak sebenarnya masa yang perlu kita luangkan dalam membantu mereka menguruskan kelas.

Ada sekolah memulakan kelas seawal 7.45 pagi dan ada yang mula pada jam 9 pagi, tetapi majoritinya hanya tamat sekitar jam 11.30 ke 1.30 tengahari. Dalam tempoh waktu tersebut, ibu bapa bukan saja perlu memantau kelas anak-anak malahan perlu juga menyiapkan sarapan pagi dan makan tengahari, memastikan anak tidak lapar serta siap untuk memulakan kelas.

Selama ini ramai antara kita memandang ringan kesan baik yang disediakan sekolah dalam menguruskan perihal anak-anak, apabila dalam tempoh beberapa jam anak-anak bukan lagi bawah tanggungjawab kita.

Peranan makcik kantin dalam menyediakan makan dan minum anak setiap hari banyak meringankan tugas kita kan?

3. Kerja on-line tak best

mesyuarat sidang video banyak masalah

Siapa nak kekal kerja dalam talian sepenuh masa walaupun selepas tamat PKP kelak? Penulis tak nak. Bila kita dah lalui sendiri barulah kita sedar terpaksa menghadap mesyuarat 2-3 jam dengan orang betul depan mata kita jauh lagi elok daripada perlu menghadap skrin 2-3 jam untuk bermesyuarat.

Senang betul kita nak terbuat perkara lain semasa mesyuarat digital itu berlangsung. Sekali-sekala meeting cara dalam talian seronok juga, tapi bila dah jadi setiap hari - jemu juga. Nak juga kita meeting siap ada minuman dan kuih disediakan bukan?

Paling teruk sekali kerja on-line ni, interaksi dan maklum balas yang kita terima boleh jadi berbeza-beza cara penerimaannya. Susah kita nak sahihkan sesuatu informasi dengan betul dan arahan yang diterima juga mungkin boleh disalah tafsir.

Setiap orang mesti pernah alami situasi di mana kita salah faham mesej-mesej yang kita dapat melalui aplikasi mesej, dalam kepala kita mesej tu berbunyi kasar dan macam nak merendahkan keupayaan kita - tetapi sebenarnya nadanya normal saja kan?

Macam tu lah kerja dalam talian ni. Kita angguk faham, tapi banyak sebenarnya salah faham boleh berlaku.

4. Seronok sebenarnya ada pejabat di luar dan kawan-kawan pejabat

bertegur sapa rakan sekerja

Paling penulis rindu adalah interaksi penulis dengan manusia sebenar, yang dapat penulis lihat depan mata. Semenjak kerja dalam talian dalam tempoh lama ni, penulis bukan saja rindu dengan pembantu tadbir pejabat penulis yang comel tu sebab dah lama tak bersua, bahkan kakak cleaner pun adakalanya dirindui penulis.

Seronok dapat bercakap dan bergelak ketawa dengan orang betul! Seronok dapat mengumpat boss dan geng-geng yang setiap masa nak kipas dia. Rindu betul nak bertekak dengan pekerja lain secara bersemuka.

Paling penulis rindu kawan-kawan sepejabat yang dulu setiap kali rehat akan sama-sama lepak minum, setiap orang akan bawa cerita dan pandangan masing-masing yang berbeza.

5. Kita sebenarnya perlu jadual dalam kerja

pengurusan kerja jadual waktu

Dulu waktu kerja pejabat, ramai yang merungut jadual kerja kongkong kita. Kan? KAN? Tetapi selepas dah kerja dari rumah ni, barulah kita boleh nampak kenapa perlu ada jadual dan kenapa pekerja perlu dipaksa ikut jadual.

Kerja tak berjalan pun kalau jadual kerja berubah-ubah ikut suka kita hari-hari. Kita rasa dengan jadual fleksibel, kita akan lebih mudah buat kerja. Realitinya jadual fleksibel yang kita tetapkan sendiri itulah yang akan 'memudahkan' kita tangguh kerja kita.

Rutin pergi kerja pagi, balik kerja petang tu sebenarnya banyak membantu membentuk disiplin kita dalam bekerja. Bagi kebanyakan orang, sekali jadual kerja hari itu tamat - kita dah tak perlu dah fikir pasal kerja.

Bekerja dari rumah ni memberikan kebebasan kepada boss untuk jadualkan mesyuarat serta perbincangan bila-bila masa dia suka. Mesyuarat malam? Dah rasa. Mesyuarat pagi buta pun penulis dah rasa. Dengan adanya jadual, boss tu sendiri jadi segan nak ganggu kita.

Bila dah tak ada jadual, dia boleh pulak buat suka hati dia.

Penulis tak sabar betul nak kembali kepada rutin asal pergi kerja pagi, balik kerja petang. Mungkin anda boleh bentuk disiplin anda dan mampu benar produktif bekerja dari rumah, tapi penulis tak bolehlah.

Tolonglah benarkan penulis bekerja seperti biasa semula boss!




Hakcipta iluminasi.com (2017)