kenapa kerajaan benarkan pkp bersyarat longgar peraturan

Suka atau tidak, satu hari nanti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia akan ditamatkan. Cuma yang menjadi persoalannya adalah bilakah waktu yang sesuai? Adakah perlu tunggu sehingga sifar kes? Adakah perlu tunggu sehingga vaksin ditemukan yang mungkin mengambil masa lebih setahun?

Keberkesanan PKP sememangnya tidak dapat dinafikan. Malah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri memuji langkah-langkah yang telah diambil oleh KKM. Boleh dikatakan PKP ini juga telah mencapai matlamatnya iaitu untuk "flatten the curve".

Apabila PKP Fasa 4 bermula, kerajaan telah menggelarnya sebagai Perintah Kawalan Pergerlan Berkecuali (PKPB). Secara umumnya, PKPB dilihat sebagai satu kelonggaran (bukan sedikit tetapi banyak) apabila sebahagian besar sektor pekerjaan sudah boleh memulakan perniagaan mereka bermula pada 4 Mei ini.

Memang tidak dinafikan PKPB ini dilihat sangat tergesa-gesa. Misalnya, Perdana Menteri hanya membuat pengumuman pada 1 Mei tetapi pada 4 Mei sudah begitu banyak kelonggaran diberikan. Maka kelam-kabutlah kebanyakan pekerja yang perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum dibenarkan masuk bekerja. Tidak kurang juga yang masih belum mengetahui status permohonan rentas negeri melalui program Gerak Malaysia.

Adakah anda setuju dengan kelonggaran yang diberikan dalam PKPD? Kali ini kami ingi berkongsi hujah-hujah mengapa kerajaan Malaysia sudah boleh melonggar atau menamatkan PKP dalam masa terdekat.

1. Tujuan PKP sudah tercapai

kes covid 19 malaysia

Mungkin terdapat segelintir daripada kita yang tersilap faham, fungsi PKP sebenarnya bukanlah untuk memastikan kes menjadi SIFAR, sebaliknya untuk "flatten the curve". Melihat kepada statistik rekod di Malaysia pada 2 3 minggu kebelakangan ini, matlamat ini sebenarnya sudah tercapai atau sekurang-kurangnya hampir tercapai.

Ramai saintis mengatakan bahawa perang melawan COVID-19 ini bukannya satu perjuangan dalam tempoh masa singkat. Malah, tiada jaminan bahawa apabila kita mencatatkan sifar kes, jumlah tersebut akan kekal selama-lamanya. Kita juga perlu mengambila kira pergerakan rakyat dan pelancong keluar masuk ke negara kita.

Kita mungkin boleh menghalang pergerakan keluar masuk ini dalam jangka masa beberapa minggu, tapi mampukah kita menghalangnya dalam tempoh lebih panjang, misalnya setahun? Apakah pula kesannya kepada ekonomi negara kita?

2. KKM sudah mempunyai kapasiti yang mecukupi dan terkawal

flattening the curve 162

Pernahkah anda terfikir, apakah fungsinya kita "flatten the curve"? Tidak lain untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di negara kita mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk merawat setiap pesakit. Daripada graf di atas mungkin boleh lihat lebih jelas.

Di Itali tidak lama dahulu, peningkatan jumlah pesakit terlalu mendadak setiap hari sehinggakan perkhidmatan kesihatan mereka tidak mampu merawat kesemuanya. Malah, sangat menyedihkan apabila ada kalanya mereka terpaksa memilih siapakah pesakit yang akan dirawat kerana kekurangan tenaga kerja dan kelengkapan.

Ketika artikel ini ditulis, lebih daripada 60% kes di Malaysia sudah disahkan sembuh dan hanya 30% ventilator yang digunakan. Ini bermakna perkhidmatan kesihatan di negara kita tidak lagi terbeban seperti mana ketika pada peringkat awal penularan COVID-19 dahulu. Malah, KKM sudah membenarkan anggotanya mengambil cuti pendek ketika ini, menandakan tenaga kerja sudah melebihi keperluan.

3. Faktor ekonomi

kesan ekonomi covid 19

Mungkin ada yang akan marah apabila faktor ekonomi diletakkan dalam senarai ini. Mungkin ada juga yang akan menganggap bahawa kerajaan hanya memikirkan berkenaan duit semata-mata tanpa memikirkan kesihatan rakyat langsung!

Antara berita penularan pandemik ataupun kemelesetan ekonomi, manakah yang lebih menakutkan? Dalam tempoh pendek, sudah tentulah kesihatan lebih diutamakan. Namun, dalam tempoh masa panjang, adakah kita mahukan kegawatan ekonomi berlaku kerana PKP dipanjangkan lagi beberapa bulan? Berapa ramai pula yang sudah dibuang kerja?

Bagi yang bekerja dengan kerajaan atau swasta yang gajinya dibayar penuh, mungkin tidak kisah sekiranya tempoh PKP ini dipanjangkan. Bagaimana pula dengan yang kerja sendiri atau pekerja swasta yang dipotong gaji? Adakah kerajaan perlu berterusan menanggung kerugian RM2.4 bilion setiap hari ketika mana PKP dilaksanakan?

Maka disini perlunya kefahaman akan keseimbangan antara penjagaan kesihatan dan ekonomi. Ternyata keputusan memanjangkan atau menamatkan tempoh PKP ini bukan dibuat sewenang-wenangnya.

4. Penjagaan sempadan - Perbandingan dengan kes di Hokkaido

kawalan sempadan

Mungkin ramai yang akan membandingkan dengan peningkatan semula kes di Hokkaido apabila langkah lockdown di sana ditamatkan terlalu awal. Sesetengah pihak mengatakan kerajaan tempatan di sana menyesal kerana menamatkannya terlalu awal sehingga menyaksikan peningkatan semula kes.

Kes ini sudah kami tulis dalam artikel Pengajaran Dari Sikap Ambil Mudah Jepun: Gelombang Kedua COVID-19. Namun, kesnya mungkin berlainan kerana Hokkaido tidak mengawal pergerakan sempadan mereka. Ketika mana PKP ditamatkan kelak, kawalan pergerakan sempadan merupakan keutamaan yang akan diberikan oleh kerajaan Malaysia, sesuai dengan saranan yang diberikan oleh WHO.

Malah, apabila dilihat pada graf pandemik-pandemik terdahulu seperti Spanish Flu, ianya adalah sesuatu yang normal terdapat "spike" atau peningkatan kes mendadak buat seketika apabila langkah kuarantin ditamatkan.

5. Kawalan pergerakan pesakit

penjejakan digital covid 19

Korea Selatan dianggap antara negara contoh kerana dapat mengurangkan penularan COVID-19 dengan mendadak di negara tersebut. Dua langkah utama yang diambil adalah ujian saringan secara besar-besaran dan memanfaatkan penggunaan Big Data.

Terdapat aplikasi khas yang akan memaklumkan lokasi jangkitan, kontak rapat pesakit dan sebagainya. Informasi sebegini membolehkan rakyatnya mengambil langkah berjaga-jaga. Di Malaysia, kita juga sudah memulakan langkah yang sama dengan pengenalan aplikasi MySejahtera.

Di Sarawak pula, kerajaan tempatan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta sudah memperkenalkan penggunaan gelang tangan yang dilengkapi dengan kod QR. Sebagai contoh, mereka yang diarahkan untuk dikuarantin di rumah perlu melaporkan lokasi mereka beberapa kali sehari dengan mengimbas kod QR pada gelang yang dipakai. Kemudian, telefon pintar akan melaporkan lokasi pengguna bagi memastikan mereka patuh pada arahan kuarantin tersebut.

6. Peningkatan kesedaran pemakaian face mask dan penjagaan kebersihan

face mask

Apabila sebahagian besar rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan kelonggaran yang diberikan dalam PKPD, kita tahu bahawa mereka sememangnya amat mementingkan kesihatan diri mereka. Maka diharapkan dengan ini, mereka akan terus mengamalkan pemakaian topeng muka, menjaga kebersihan diri dan penjarakkan sosial apabila keluar ke kawasan umum.

Akhir kata, kesihatan dan keselamatan diri semuanya bermula daripada kita. Bill Gates dan sebahagian besar saintis berpendapat bahawa vaksin untuk COVID-19 mungkin akan mengambil masa lebih setahun. Maka, mahu atau tidak kita sendirilah yang perlu menjaga diri kita sendiri sebelum "herd immunity" dapat dibentuk dengan pengambilan vaksin kelak.

Persoalan untuk diri kita, adakah kita akan mengambil ringan dengan kelonggaran dan  penamatan PKP atau terus mengamalkan "new normal seperti dalam tempoh PKP?



Hakcipta iluminasi.com (2017)