tak makan 380 hari angus barbieri

Sempena bulan Ramadan ini, kami ingin membawakan satu kisah menarik mengenai puasa. Walaupun kisah "puasa" ini tidak sama seperti puasa yang dilakukan oleh umat Islam, ia masih merupakan sesuatu yang luar biasa.

Puasa melebih setahun lamanya adalah sesuatu yang luar biasa malah dianggap sebagai mustahil. Akan tetapi, satu jurnal perubatan lama mempunyai bukti saintifik bahawa pernah ada seorang lelaki yang tidak makan apa-apa selama 382 hari dan terselamat untuk berkongsikan kisah itu.

Satu kajian kes yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Siswazah ediri 1973, mencatatkan kisah luar biasa tentang seorang lelaki Scotland yang "sangat gemuk" berusia 27 tahun telah berhenti makan selama 382 hari dalam cubaannya untuk menurunkan berat badan.

angus barbieri 2

Walaupun hampir tidak tahan keadaan ekstrem itu, namun lelaki itu kekal dalam keadaan baik dan berjaya mencapai penurunan berat badan daripada 214 kg kepada 81 kg.

Menurut pada doktor di Sekolah Perubatan Universiti Dundee, berat badan lelaki itu kekal stabil pada 88 kg dalam masa lima tahun selepas menjalani puasa yang luar biasa itu.

Salah seorang doktor yang mengendalikan kes itu menulis bahawa beberapa tahun yang lalu, seorang pemuda gemuk telah tampil untuk mendapatkan rawatan. Pada mulanya, lelaki itu tidak berniat untuk berpuasa secara berterusan.

seluar angus barbieri

Namun, sejak dia berjaya menyesuaikan diri dengan baik, lelaki itu meneruskan niatnya untuk mencapai berat badan yang ideal sehingga direkodkan dalam Guinness Book of Records 1971 sebagai puasa yang paling panjang. 

Lelaki yang bernama Angus Barbieri itu tidak makan apa-apa makanan pejal dan padat, sebaliknya terus bertahan di atas tenaga daripada simpanan lemaknya yang banyak serta potassium, sodium dan suplemen ragi yang dianggap pentung untuk fungsi biologi dalam badan.

Oleh itu, setiap pergerakan ususnya sangat jarang berlaku. Doktor menulis bahawa proses membuang najis berlaku hanya setiap 37 hingga 48 hari sahaja.

angus barbieri 3

Untuk memastikan kesihatannya diperiksa sepanjang tempoh dia berpuasa, Barbieri melawat hospital dengan kerap untuk melakukan ujian darah dan air kencingnya. Doktor menggunakan keputusan ujian ini untuk memperkenalkan suplemen dan membetulkan sebarang kekurangan. Walaupun sukar dipercayai, rancangan ini sebenarnya berjaya dan Barbieri kekal dalam keadaan baik.

Menurut laporan itu lagi, walaupun Barbieri mengalami masalah gula rendah dalam darah tetapi dia masih bebas daripada sebarang gejala memudaratkan dan sihat untuk berjalan seperti biasa.

Bagaimanakah perkara yang dianggap hampir mustahil ini boleh berlaku. Pada tahun 2012, seorang saintis Australia, Dr. Karl Kruszelnicki, menerangkan perkara itu dalam satu muatan di laman web sains Australia Broadcasting Corporation.

karl kruszelnicki

Pada asasnya Dr. Karl mendakwa bahawa Barbieri mampu bertahan dengan lemak yang tersimpan dalam badannya, yang bertindak sebagai bahan bakar untuk tubuhnya.

Dr. Karl juga menulis bahawa selepas dua atau tiga hari berpuasa, majoriti tenaga kita datangnya daripada pecahan lemak. Molekul lemak memecahkan kepada dua bahan kimia berasingan iaitu gliserol (yang boleh diubah menjadi glukosa) dan asid lemak bebas (yang boleh ditukar kepada bahan kimia lain seperti keton). Badan manusia termasuk otak boleh berfungsi menggunakan glukosan dan keton sehingga akhirnya kehabisan lemak.

Menurut laporan daripada Chicago Tribune, pada masa itu Angus Barbieri tidak mempunyai makanan yang sesuai setelah tamat berpuasa 382 hari sehingga dia telah lupa bagaimana rasa makanan.

angus barbieri 4

Barbieri ketika ditemuramah wartawan memberitahu bahawa dia hanya makan telur rebus, sekeping roti dan mentega. Barbieri juga memberitahu bahawa dia benar-benar menikmati makanan itu dan berasa merasa sangat kenyang.

Walaupun kisah mengenai Angus Barbieri ini adalah sesuatu yang menarik tetapi ia menunjukkan bahawa puasa yang begitu ekstrem tidak disyorkan, begitu juga dalam agama Islam.

Satu laporan yang dikeluarkan Snopes mendakwa bahawa puasa yang panjang sangat popular pada tahun 60-an dan 70-an. Namun, ia menjadi semakin dilupakan selepas banyak laporan perubatan dikeluarkan mengenai komplikasinya yang membawa kepada kematian.

Kini, puasa yang panjang hanya disyorkan sebagai sebahagian daripada rawatan dan diselia oleh doktor. Ia hanya disarankan apabila pesakit itu memenuhi kriteria perubatan tertentu.

Rujukan:

1. Diabetes.co.uk

2. Science Alert

3. Evening Telegraph


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)