Oleh pada 17 Sep 2023 kategori

31 Ogos 1957 merupakan tarikh penting dalam sejarah negara kita, kerana pada tanggal tersebut Persekutuan Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan daripada tangan penjajah.

Walaupun begitu - harus kami ingatkan jika kita benar-benar berpandukan fakta sejarah, tarikh tersebut BUKANLAH tarikh sebenar pembentukan negara berpersekutuan Malaysia yang ada sekarang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebaliknya 31 Ogos 1957 hanya melibatkan negeri (atau jika kita mahu menggunakan istilah lebih tepat 'negara' atau 'kerajaan') yang duduk di Semenanjung Tanah Melayu, tanpa penglibatan Sabah dan Sarawak.

Situasi ini mengakibatkan berlaku sedikit kekeliruan tentang fakta sebenar tarikh-tarikh detik besar, yang perlu kita fahamkan dengan baik agar kita faham konteks sambutan di sebaliknya.

Kita lama dijajah tetapi kita tidak terkorban

tunku abdul rahman bapa kemerdekaan negara 356 30

Semua warga Malaysia sedar tidak mudah untuk masyarakat kita keluar daripada tangan penjajah, kerana Tanah Melayu serta kawasan sekitarnya seperti Kepulauan Borneo, Indonesia dan Filipina lama terjerat gerakan penjajahan kuasa kolonialisme barat.

Kesan penjajahan yang berpanjangan ini meninggalkan impak yang mendalam bukan saja kepada aspek pola masyarakat kita, bahkan mengubah banyak identiti kita agar lebih 'berkiblatkan' orang putih.

Dalam aspek positif, pemimpin Tanah Melayu terdahulu harus kita akui jasa dan kedudukan mereka mempertahankan kedudukan orang Melayu di tanahair sendiri.

Berbeza dengan beberapa jajahan Britain seperti Australia, New Zealand dan sebagainya yang menyaksikan penjajah menguasai keseluruhan sistem masyarakat di sana - kedudukan kaum pribumi sebagai penduduk majoriti masih terjaga.

Oleh kerana itulah peristiwa yang berlaku berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajah dan bagaimana ia berlaku, seharusnya kekal menjadi inspirasi kepada semua untuk kita terus memelihara apa yang telah kita kecapi.

Uniknya - kita telah melalui pembentukan persekutuan dalam beberapa fasa berbeza sebelum mencapai bentuk negara yang ada sekarang.

Beberapa persekutuan lebih awal sebelum Malaysia

si rat malai negeri melayu utara

Persekutuan pertama yang dibentuk melibatkan 4 negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Pahang selepas keempat-empat negeri itu bersetuju untuk menerima lantikan penasihat Britain.

Demi memudahkan pentadbiran persekutuan ini yang bermula secara rasmi tahun 1896, kesemua negeri terlibat bekerjasama di kalangan pembesar Melayu dan Britain, dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran utama.

Selain itu, sebuah lagi 'persekutuan' yang jarang diceritakan orang ramai - berlaku semasa era penjajahan Jepun, melibatkan kerjasama di antara kerajaan Jepun dengan Siam yang membentuk persekutuan dikenali sebagai Si Rat Malai atau 4 Negeri Orang Melayu.

Empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang didakwa dirampas Britain daripada tangan Siam/Thailand.

Hasil penaklukan Jepun di Tanah Melayu dengan kerjasama kerajaan Thailand, Thailand bersetuju untuk membenarkan penggabungan 4 negeri Melayu ini ke dalam sebuah badan dalam tahun 1943, ditadbir bersama tentera Jepun dan kerajaan Thai.

Pusat pentadbirannya terletak di Alor Setar, dengan seorang Gabenor tentera Jepun menjadi pemerintah tertinggi persekutuan tersebut, tetapi persekutuan ini tidak bertahan lama hanya bertahan sekitar 3 tahun sahaja.

Itu adalah contoh dua bentuk persekutuan yang dibentuk hasil perjanjian yang telah muncul lebih awal sebelum Persekutuan Tanah Melayu terbentuk di negara kita.

Polemik 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1963

perarakan hari kemerdekaan malaysia

Pada tahun 1955, Britain bersetuju untuk menghormati keputusan pilihanraya umum yang diadakan kali pertama, menjadi titik tolak usaha mewujudkan perlembagaan sebuah negara berdaulat di Semenanjung Tanah Melayu.

Usaha terbesar dan dianggap sangat penting pada era tersebut, adalah mendapatkan persekutuan ketua-ketua kerajaan negara atau negeri-negeri orang Melayu yang ketika itu.

Pada fasa tersebut, Semenangjung Tanah Melayu terbahagi kepada dua iaitu Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu akhirnya bersetuju untuk duduk sebagai sebuah kesatuan dinamakan Persekutuan Tanah Melayu, walaupun ada konflik dan masalah yang perlu ditangani termasuklah gerakan komunis yang mahu merampas kuasa.

Dalam fasa seterusnya, selepas banyak sesi perbincangan di antara pemimpin tertinggi, pemimpin masyarakat dan wakil kerajaan Britain - persetujuan bersama dapat dicapai di antara pemimpin Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan pemimpin masyarakat di Sarawak.

Mereka sepakat membentuk persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia, dijadual akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1963.

Apa? 31 Ogos 1963?

Ketidaksamaan yang melahirkan kekeliruan sejarah

majlis menandatangani perjanjian persekutuan malaysia

Dalam tempoh beberapa tahun sebelum tiba tarikh yang ditetapkan, pelbagai usaha dibuat bagi memastikan persetujuan benar-benar dicapai di kalangan semua pihak terlibat dalam menyertai 'Persekutuan Malaysia'; khususnya dari Borneo Utara dan Sarawak.

Ini kerana ada beberapa pihak menentang penggabungan ini, berikutan mahu penggabungan diantara Borneo Utara, Sarawak dan Brunei dijalankan - bagi membolehkan setiap entiti mempunyai perlembagaan bebas yang sendiri yang tidak tertakluk dengan pengaruh Tanah Melayu.

Semuanya disebabkan pemilihan Perlembagaan Tanah Melayu sebagai asas perlembagaan yang bakal digunakan memeterai penggabungan. Selain itu, ideologi beberapa pemimpin masyarakat yang cenderung ke arah kerjasama dengan Indonesia juga dilihat sebagai faktor utama melembabkan usaha berjalan.

Untuk menyelesaikan kemelut, sebuah suruhanjaya dibentuk melalui wakil Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, disertai lima ahli diketuai Lord Cobbold bekas gabenor Bank of England, Dato' Wong Pow Nee, Encik Mohd Ghazali bin Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston.

Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold melakukan tinjauan bagi mendapatkan memorandum semua pihak terlibat di Sarawak dan Borneo Utara. Hasilnya mereka mendapati lebih 80% wakil pemimpin tempatan dan orang ramai yang ditemui, menyatakan persetujuan untuk menyertai Persekutuan Malaysia.

Hasil laporan tersebut membolehkan draf perlembagaan Persekutuan Malaysia yang baru dirangka dan dipersetujui.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Julai 1963, dengan perancangan awalnya adalah untuk menjadikan 31 Ogos 1963 sebagai tarikh pengisytiharan pembentukan Persekutuan Malaysia; selaras dengan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah.

Walaubagaimanapun ekoran beberapa kesulitan yang dihadapi khususnya melibatkan penyediaan laporan rasmi daripada pihak PBB melambatkan pengisytiharan - tarikh ini dianjak ke 16 September 1963.

Beberapa tarikh besar dalam sejarah masyarakat kita

sambutan hari malaysia

Sudah kami jelaskan secara panjang lebar sejarah di sebalik pembentukan persekutuan-persekutuan yang ada, yang menyumbang kepada pembentukan Malaysia.

Mari kita lihat pula tarikh-tarikh yang signifikan menjadi sambutan masyarakat kita zaman sekarang.

Berikut adalah jadual untuk memudahkan anda memahaminya.

Pihak terbabitTarikhTujuan
Persekutuan Tanah Melayu 31 Ogos 1957Meraikan kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu daripada Britain, dengan penglibatan Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu
Persekutuan Malaysia31 Ogos 1963Sepatutnya menjadi tarikh pengisytiharan pembentukan Persekutuan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura, tetapi ditunda ke tarikh lain
Persekutuan Malaysia16 September 1963Tarikh pengisytiharan pembentukan Persekutuan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura
Hari Kemerdekaan Sabah31 Ogos 1963Tarikh bermulanya negeri Sabah ditadbir oleh anak tempatan, disambut sebagai Hari Sabah
Hari Kemerdekaan Sarawak22 Julai 1963Tarikh bermulanya negeri Sarawak ditadbir oleh anak tempatan, disambut sebagai Hari Sarawak
Hari Kebangsaan Singapura9 Ogos 1965

Tarikh Singapura diisytihar keluar daripada Persekutuan Malaysia secara rasmi.

Perlembagaan Malaysia dipinda pada peristiwa ini untuk mengiktiraf keluarnya Singapura daripada gabungan




Hakcipta iluminasi.com (2017)