Satu perkara yang anda perlu tahu, iaitu Buku Rekod Dunia Guinness tidak menerima penyertaan untuk rekod tempoh tanpa tidur terpanjang di dunia.

Ini adalah disebabkan tindakan tidak tidur untuk berhari-hari malah berminggu adalah tersangat bahaya.

Namun mereka pernah menerima penyertaan sebelum ini dan apa yang berlaku kepada pemegang rekod ini menjadi penyebab mengapa mereka berhenti berbuat demikian.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pemegang rekod tempoh paling panjang tanpa tidur adalah Randy Gardner.

Ia bermula pada Disember 1963 apabila Randy Gardner yang berusia 17 tahun dan rakannya, Bruce McAllister bercadang untuk melakukan satu projek sains yang mana mereka pasti akan menjuarai pameran sains.

Projek tersebut adalah untuk memecahkan rekod tanpa tidur paling lama di dunia. Ketika itu, persoalan tentang berapa lama manusia boleh bertahan tanpa tidur menjadi satu topik perdebatan yang hangat.

Kebanyakan orang percaya bahawa kekurangan tidur boleh menyebabkan kematian.

Walau bagaimanapun, 3 orang sahabat ini bertekad untuk memenangi lencana pameran sains dan sanggup membahayakan nyawa mereka untuk melakukannya.

Eksperimen ini menjadi sesuatu yang sangat sensasi di peringkat kebangsaan.

randy gardner ketika melakukan percubaan rekod paling lama manusia berjaga tanpa tidur

Malah, dalam masa yang singkat, ia merupakan cerita ke-3 paling banyak ditulis dalam akhbar Amerika, selepas pembunuhan Presiden Kennedy dan perjalanan bersejarah Beatles ke Amerika.

Sebelum melakukannya, mereka melontarkan syiling untuk memutuskan siapa yang akan melakukannya, yang mana Randy tewas dan harus menjadi subjek bagi percubaan ini.

"Kami agak bodoh, tiga orang budak muda yang bodoh. Saya berjaga untuk memantau Randy dan selepas 3 malam yang sangat meletihkan, saya terpaksa bersandar pada dinding dan mencatatkan nota pada dinding tersebut," kata Bruce McAllister.

Kedua-dua mereka menyedari bahawa mereka memerlukan orang ketiga dalam percubaan ini, membawa rakan mereka Joe Marciano ke dalam eksperimen ini.

Sejurus selepas Joe terlibat, seorang penyelidik tentang tidur bernama Dr. William Dement dari Universiti Stanford tiba untuk menyumbangkan kepakarannya.

William Dement kini merupakan seorang profesor emeritus tetapi pada tahun 1964 beliau baru sahaja memulakan penyelidikannya dalam sains tidur. 

cubaan mencipta rekod berjaga paling lama di dunia

Beliau terbaca tentang eksperimen ini dalam akhbar San Diego dan secara serta-merta mahu melibatkan diri projek sains kumpulan remaja ini.

Malah, William kemungkinan satu-satunya orang di dunia yang melakukan penyelidikan tentang tidur. Ibu bapa Randy sangat bimbangkan keselamatan anak mereka bahawa sesuatu yang bahaya mungkin berlaku kepadanya.

Ini kerana persoalan sama ada seseorang itu akan mati jika tidak tidur untuk tempoh yang lama masih belum dibuktikan.

Sebelum itu sebuah eksperimen terhadap haiwan pernah dilakukan di mana kucing dipaksa berjaga selama 15 hari yang telah membunuh haiwan ini. Tetapi punca kematian dikatakan disebabkan oleh faktor lain seperti tekanan atau bahan kimia, bukannya kekurangan tidur.

Malah, Bruce McAllister menegaskan bahawa eksperimen tersebut melibatkan penggunaan bahan kimia, yang mempengaruhi keputusannya.

Selepas memasuki beberapa hari, Randy masih bertenaga dan kelihatan seperti tidak terjejas. Walaubagaimanapun, semakin lama ia berterusan, mereka menemukan hasil yang tidak dijangkakan.

Mereka menguji deria rasa, bau dan pendengaran Randy. Selepas beberapa ketika, keupayaan kognitif dan deria Randy mula terjejas.

randy gardner dan dr william dement 2

Selepas dua hari, Randy mula mempunyai masalah untuk mengulangi beberapa siri perkataan "lembut lidah" yang ringkas dan tidak dapat mengenal pasti objek melalui sentuhan.

Deria rasanya kelihatan seperti meningkat dan menjadi sensitif terhadap bau yang kuat. Bruce memberitahu bahawa Randy berkata kepadanya, "Jangan bagi saya benda benda itu, saya tak tahan baunya,".

Pada hari ke-5, Randy mengalami halusinasi dan mula mengalami masalah untuk membentuk memori jangka pendek. Namun untuk semua yang dialaminya ketika mimpi ngeri ini, tak semua daripadanya mengalami penurunan.

Mereka menggunakan aktiviti fizikal untuk mengekalkan Randy dalam keadaan berjaga dan tahap permainan bola keranjangnya dilihatkan semakin meningkat sepanjang eksperimen dijalankan.

Akhirnya, Randy Gardner berjaya berjaga selama 264.4 jam, bersamaan kira-kira 11 hari dan 25 minit.

randy gardner dan dr william dement

Beberapa perkara berlaku selepas percubaan ini tamat. Pertama adalah satu berita baik di mana Randy Gardner dan rakan-rakannya memenangi tempat pertama dalam pameran sains itu, mencatatkan namanya dalam buku Guinness Book of World dan sudah tentu dapat melelapkan mata selepas lebih daripada 11 hari berjaga.

Randy tidur selama 14 jam setelah eksperimen selesai.

Tetapi, ada berita buruk. Selepas beberapa tahun, Randy mula menyesal dengan tindakan mereka. Pada penghujung 2000-an, Randy mula mengalami insomnia pada setiap malam.

Tidak ada bukti tentang ini tetapi dia yakin penyebabnya adalah eksperimen yang dilakukannya ketika remaja.

Dia mengalami ketidakmampuan untuk tidur selama beberapa tahun sehingga akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan rutin yang selesa. Namun, dia hanya mampu menikmati tidur selama 6 jam sehari pada hari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)