keadaan jose alvarenga selepas 438 hari tersadai di tengah laut

Jose Alvarenga adalah seorang nelayan berpengalaman dan sangat berkemahiran berkenaan laut selepas bertahun-tahun menjadi nelayan komersial.

Tetapi nelayan yang paling berpengalaman sekalipun tak dapat mengatasi kekuatan ribut tropika terutamanya apabila berada dalam bot 4.5 meter dengan ketiadaan makanan dan rakan nelayan yang tidak berpengalaman.

Pada hujung tahun 2012, perkara ini berlaku kepada Jose Alvarenga sendiri dan tersadai di tengah laut selama 438 hari.

Memulakan perjalanan

bot yang dinaiki jose alvarenga dan ezequiel cordoba

Dari saat ia bermula, perjalanan memancing Jose dilihatkan seperti bermasalah. Dia merancang untuk melakukan pancingan laut dalam selama 30 jam yang berhadap mendapat ikan seperti jerung, marlin dan ikan layar.

Ketiga-tiga ikan ini adalah sangat lumayan dan jika jumlahnya cukup banyak, dia akan mendapat pulangan wang yang sangat berbaloi.

Di perkampungan nelayan Costa Azul, Mexico, persaingan adalah sangat tinggi dan Jose berharap dapat membawa pulang hasil yang banyak.

Malangnya, rakan pancing yang biasa bersamanya, juga seorang nelayan yang berpengalaman membatalkan di saat-saat akhir.

ezequiel cordoba

Jose tidak begitu risau dengan situasi ini dan memilih seorang lagi nelayan yang lebih mudah, bernama Ezequiel Cordoba.

Walaupun dia tidak pernah bekerja bersama Ezequiel atau bercakap dengannya sebelum ini, Jose beranggapan anak muda ini cukup mahir untuk pengemabraan ini.

Lagipun, pengembaraan ini bukanlah terlalu jauh dan hanya memakan masa satu hari.

Dan pada 17 November 2012, pasangan ini berlayar dalam sebuah bot fiberglass dilengkapi sebuah enjin kecil. Di atas bot terdapat pelbagai alat memancing, radio elektronik mudah alih dan kotak ais yang besar untuk menyimpan ikan. 

Perjalanan itu kelihatan seperti membuahkan hasil yang banyak seperti diharapkan Jose kerana tak lama selepas berlayar mereka berjaya menangkap ikan lebih daripada 450 kilogram dan hampir tidak muat di dalam kotak ais.

Kemudian, bencana melanda.

Dilanda ribut kuat dan hujan lebat

ribut laut

Selepas beberapa jam memancing, satu ribut melanda yang berlangsung selama 5 hari. Jose Alvarenga dan Ezequiel cuba untuk memandu bot kembali ke pantai namun adalah mustahil untuk melihat di mana kedudukan pantai disebabkan hujan yang sangat lebat.

Bot itu juga menjadi agak tenggelam disebabkan oleh hasil tangkapan yang berat dan untuk lebih mudah memandu, mereka terpaksa melepaskan semula hasil yang lumayan tersebut ke dalam laut.

Mereka mampu meneruskan kelangsungan hidup dengan meminum air hujan dan juga bekalan makanan yang dibawa bersama.

Akhirnya, ribut berhenti dan mereka dapat melihat betapa teruk kerosakan yang berlaku.

Enjin bot mereka hilang bersama-sama alat memancing yang rosak dan kebanyakan alat elektronik mudah alih juga mengalami nasib yang sama.

Apa yang tinggal adalah alat radio yang mempunyai bateri kecemasan cukup untuk menghantar mesej kepada majikannya Villermino Rodriguez di darat, malangnya bateri tersebut habis sebelum lokasi mereka diketahui.

Dengan hanya beberapa bekalan asas, tiada radio dan enjin, kedua-dua nelayan ini tersadai di tengah laut.

Berharap mesej yang disampaikan kepada Villermino dapat membantu dalam menyelamat mereka, namun tidak pasti ia akan berlaku, kedua-dua nelayan ini mula meneruskan hidup di atas bot itu.

tersadai di lautan

Walaupun Ezequiel tidak berpengalaman dalam menjadi nelayan, Jose masih mampu untuk menangkap ikan, penyu, obor-obor dan burung menggunakan tangan untuk dijadikan makanan.

Mereka mendapat bekalan minuman daripada tahanan hujan, namun biasanya mereka memastikan badan terhidrat melalui gabungan darah penyu dan air kencing mereka.

Tak lama kemudian, hari bertukar minggu, dan minggu bertukar bulan. Kedua-dua mereka telah lama berputus asa untuk diselamatkan dan hanya berharap jika pesawat yang melepasi udara atau kapal yang berlayar ternampak mereka. 

Namun, tanpa keupayaan untuk mengarahkan bot mereka ke mana-mana, kebarangkalian untuk terlihat secara tak sengaja oleh pesawat atau kapal sangatlah rendah.

Jose dapat memenuhi masa lapang dan menjejaki masa yang berlalu dengan memetakan fasa-fasa bulan.

Membesar di kawasan pantai dan menghabiskan kebanyakan masanya di laut, Jose sudah biasa dengan diet makanan laut, kebergantungkan kepada bulan dan matahari serta air laut yang masin.

Namun tidak bagi Ezequiel Cordoba.

Selepas 4 bulan, Ezequiel tidak lagi tahan dari segi mental dan fizikal. Tubuh badannya mula menderita daripada kesan hidup di laut dan dia mula muak makan ikan, burung dan penyu mentah.

Tak lama kemudian, Ezequiel jatuh sakit dan tidak mampu untuk makan, yang akhirnya menyebabkan dia mati kelaparan.

Hanyut seorang diri

jose alvarenga ketika diselamatkan

Untuk tempoh 6 hari selepas kematian Ezequiel Cordoba, Jose Alvarenga membiarkan mayat tersebut tidak tersentuh. Keseorangan buat kali pertama hampir setengah tahun, Jose cuba untuk bunuh diri.

Akhirnya Jose membuang mayat Ezequiel dan memperbaharui kepercayaannya, memaksa dirinya untuk terus hidup.

Selepas mengira kitara bulan ke-15 dan menghabiskan hidup lebih daripada 400 hari di laut, Jose akhirnya ternampak apa yang diharapkannya selamat lebih setahun, daratan.

Botnya yang rosak telah dibawa ke arah selatan, ke penjuru terpencil Pulau Marshall, lebih daripada 9,500 kilometer daripada lokasi dia memulakan perjalanan.

Selepas meninggalkan botnya dan berenang ke pantai, Jose mengetuk pintu sebuah rumah berdekatan. Pasangan yang membuka pintu tersebut tidak mempercayai kisah yang diceritakan Jose lalu menghubungi pihak berkuasa.

Pihak polis terkejut dengan kisah itu, beranggapan bahawa Jose Alvarenga telah lenyap 11 bulan lalu, namun dia masih hidup dan kelihatan berada dalam keadaan baik.

Jose dihantar pulang dan bertemu dengan keluarganya yang mana telah terpisah sekian lama.

Jose juga berjumpa semula dengan majikannya, yang mana telah menghantar bantuan menyelamat namun tidak berhasil kerana ribut yang terlalu dahsyat membuatkannya mustahil untuk melihat apa-apa di laut.

Dan setelah ribut berhenti, semua orang beranggapan kedua-dua nelayan itu telah mati.

Meneruskan hidup di darat

perubahan pada jose alvarenga

Pada mulanya, tak ramai orang percaya akan cerita Jose. Antara sebabnya adalah Jose kelihatan terlalu sihat bagi seseorang yang telah tersadai lebih 14 bulan di lautan.

Walaupun dia kelihatan kurus, rambut dan jambang panjang tidak terurus serta kulit yang gelap disebabkan laut dan mahatari, namun tempoh yang sangat lama itu tanpa makanan dan minuman segar pastinya akan memberikan tubuh badan yang lebih teruk daripada apa yang dimiliki Jose.

Ada doktor yang memberikan teori bahawa Jose sekurang-kurangnya harus memiliki komplikasi kurang vitamin C.

Pakar maritim juga memberitahu mustahil untuk seseorang berlayar dalam garis lurus untuk sampai ke Pulau Marshall, apatah lagi dengan bot yang tidak mempunyai enjin atau sistem navigasi.

jose alvarenga bersama keluarganya

keadaan jose alvarenga kini 128

Namun, beberapa doktor menyatakan bahawa diet makanan lautnya, yang terdiri daripada burung dan daging penyu mengandungi vitamin C yang tinggi, yang mengelakkanya daripada mengalami kekurangan vitamin C. 

Pertikaian tentang laluannya ke Pulau Marshall juga dijelaskan apabila kajian Universiti Hawaii membuktikan bahawa arus laut boleh mengarakannya ke pulau tersebut.

Jose Alvarenga juga berhadapan dengan saman selepas dia pulang ke daratan, daripada keluarga Ezequiel Cordoba. Saman itu menuduh bahawa Jose tidak membuang mayat Ezequiel ke laut sebaliknya memakan untuk meneruskan hidupnya.

Peguam Jose menafikan tuduhan ini dan dia juga berjaya melepasi ujian pengesan pembohongan.

Kini Jose tinggal di El Salvadaor, di sebuah perkampungan kecil.

Rujukan;

1. Guardian

2. Telegraph

3. CNN


tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)