Kapal yang dinaiki sebuah keluarga nahas akibat dilanggar sekumpulan paus pembunuh dan mereka hanya sempat menyelamatkan diri menggunakan sebuah dingi (bot keselamatan kecil). Selama lebih sebulan mereka hanyut di tengah Lautan Pasifik tanpa sebarang makanan atau air minuman.

Bunyinya seakan-akan kisah fiksyen dalam filem pengembaraan Hollywood. Namun, itu adalah realiti yang berlaku pada keluarga Dougal Robertson semasa mereka membuat pelayaran mengelilingi dunia pada tahun 1971.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Belajar erti kehidupan sebenar

Dougal merupakan seorang pelaut yang sudah bersara pada tahun 1970 dan mula mengusahakan ladang tenusu di Meerbrook, Staffordshire, England. Dia hidup bersama isterinya, Lyn, serta cahaya mata mereka iaitu Douglas, Anne dan pasangan kembar bernama Neil dan Sandy.

Dalam satu temu ramah, Douglas memberitahu, pada mulanya ayah mereka ingin membawa mereka mengelilingi dunia menaiki bot dalam usaha mendidik mereka untuk belajar erti kehidupan sebenar kerana hidup mereka sebelum itu dikatakan amat terasing.

daugal roberson

Dougal Robertson

Selaku ketua keluarga, Dougal membuat keputusan drastik untuk menjual ladang miliknya dan menggunakan kesemua wang simpanan untuk membeli sebuah kapal skuner 13 meter yang diberi nama Lucette. Mereka memulakan pelayaran tanggal 27 Januari 1971 dari pelabuhan Falmouth, Cornwall.

Menurut Douglas, Dougal tidak melakukan sebarang persiapan sebelum berlayar. Bahkan dia langsung tiada inisiatif untuk berlatih mengemudi kapal di kawasan perairan berhampiran sebelum memulakan pengembaraan.

Douglas masih ingat dengan jelas pada hari kejadian, bapanya begitu gembira menghentak-hentakkan kaki ke lantai kapal sambil menjerit "Yee-haa!" Dia sungguh teruja menjalani impian terbesar dalam hidupnya.

Dihentam paus pembunuh

Keempat-empat anak Dougal dapat merasai tiupan angin dan percikan air ke muka sejurus kapal berlayar. Mereka mula sedar yang itu bukanlah sebuah perjalanan yang mudah dan mereka mungkin berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Selama hampir setahun setengah keluarga itu berlayar merentasi Lautan Atlantik sambil berhenti di beberapa pelabuhan Caribbean.

keluarga robertson 129

Setelah 17 bulan berlayar, kapal yang dinaiki tiba-tiba dihentam oleh sekumpulan paus pembunuh berhampiran Kepulauan Galapagos di Laut Pasifik. Seluruh kapal bergegar dengan kuat dan lunasnya dipercayai retak setelah mereka terdengar bunyi seakan-akan sebatang pokok dipatah dua.

Douglas terdengar bunyi percikan air di belakangnya dan mendapati tiga ekor paus pembunuh yang sedang mengekori kapal mereka. Walaupun pada hakikatnya paus pembunuh dilaporkan tidak mendatangkan ancaman pada manusia, namun Douglas yang masih dalam usia remajanya berasa sangat takut sekiranya dibaham oleh paus-paus ganas tersebut.

dougal robertson karam

Enam beranak itu termasuk seorang lagi pengembara tumpang bernama Robin Williams yang dijemput menyertai mereka sebelumnya kemudian berebut-rebut menaiki sebuah bot keselamatan kecil.

Masalah demi masalah

Menurut Douglas, bot keselamatan kecil itu mempunyai kapasiti maksimum seramai 10 orang tetapi hanya selesa jika dinaiki lima orang sahaja. Mereka juga mempunyai alat mengepam untuk membuatkan bot itu terapung tetapi rosak setelah beberapa kali digunakan.

douglas robertson kapal karam

Anak lelaki Dougal, Douglas Robertson

Maka, Douglas terpaksa meniup bot keselamatan itu menggunakan mulutnya. Menurut Douglas lagi, mereka dilanda pelbagai masalah sejak mula menaiki bot keselamatan itu.

Dougal Robertson mempunyai idea untuk melayari bot keselamatan itu ke tengah Laut Pasifik agar dapat menggunakan arus untuk balik ke Amerika.

Mereka hanya mempunyai beberapa bekalan air dan makanan yang sempat dibawa termasuklah roti kering, biskut, bawang dan buah-buahan. Walau bagaimanapun, bekalan itu hanya mampu menampung keperluan mereka selama enam hari sahaja.

Mereka mula menadah air hujan serta memburu penyu dan ikan untuk terus bertahan. Menurut Douglas, penyu merupakan diet utama mereka. Mereka akan minum darah penyu jika tiada air dan menjemur daging haiwan itu untuk dimakan.

Diselamatkan Jepun

Setelah 16 hari hanyut di lautan, bot keselamatan itu tidak dapat digunakan lagi. Mereka terpaksa berpindah menggunakan sebuah bot keselamatan yang jauh lebih kecil sepanjang 10 kaki yang dinamakan Ednamair. Mereka bergilir-gilir untuk duduk di bahagian bot yang kering.

douglas diselamatkan nelayan jepun

keluarga hanyut dalam sampan diselamatkan nelayan jepun

Setelah 38 hari terkandas di laut, Dougal dan anak kapalnya akhirnya ditemui oleh sebuah bot nelayan Jepun yang dinamakan Toka Maru II pada 23 Julai 1972 setelah terlihat isyarat kecemasan mereka.

Douglas berkata, kapal perang yang dinaiki bapanya ketika Perang Dunia Kedua pernah ditenggelamkan Jepun di Sri Lanka pada tahun 1942. Namun, orang Jepun jugalah yang menyelamatkan nyawa mereka sekeluarga pada tahun 1972.

Bapanya akhirnya membuang perasaan bencinya terhadap Jepun dan menganggap pengalaman belayar serta hanyut di laut itu sebagai sesuatu yang berbaloi.

Pengalaman menjadi memoir

Sebelum meninggal dunia akibat barah pada 1992, Dougal Robertson sempat menulis buku berjudul Survive the Savage Sea mengenai pengalamannya. Buku itu kemudian menjadi ilham kepada filem dengan tajuk yang sama.

survive the savage sea

Malah, Dougal menggunakan keuntungan buku itu untuk membeli sebuah bot baru. Dia kemudian belayar dan tinggal di Mediterranean sementara isterinya, Lyn tinggal di England.

Douglas pula menyertai tentera laut sebelum menjadi seorang akauntan. Keluarga Robertson telah mendermakan sampan Ednamair kepada Muzium Maritim Negara di Falmouth, Cornwall.

Pada 2008, Douglas menulis bukunya sendiri berjudul The Last Voyage of the Lucette kerana merasakan buku bapanya tidak menceritakan tentang sumbangan ahli keluarga yang lain ketika hanyut di laut.

Menurut Douglas, dia tidak pernah menyesal mengikuti bapanya belayar di laut walaupun pengembaraan itu hampir meragut nyawa mereka sekeluarga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)