Oleh pada 07 May 2020 kategori

syanie hisham

Kredit foto: Instagram Syanie Hisham

    

Pelakon Syanie menzahirkan kesyukuran apabila pembedahan membuang rahim dan ovari yang dijalaninya pada Rabu lalu berjalan dengan selamat.

Syanie atau nama sebenarnya, Syaniza Hisham, berkata, pembedahan berkenaan asalnya hanya dijangka berlangsung selama tiga jam, namun berpanjangan sehingga tujuh jam, begitupun keadaannya kembali stabil serta ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan.

"Pada 29 April lalu, saya telah menjalani pembedahan rahim dan ovari yang saya sendiri tak pernah terfikir akan melaluinya. Terdapat masalah pada ovari dan uterus saya yang perlu dibuang.

"Pembedahan yang disangka mengambil masa tiga jam hanya selesai dalam masa tujuh jam dan berada di ICU dalam keadaan baik," katanya.

Memikirkan risiko yang perlu ditanggung, atas faktor usia dan saiz badan, Syanie berkata, dirinya masih diselebungi rasa takut meskipun sudah berdepan dengan beberapa siri pembedahan.

    

instagram syanie hisham

Kredit foto: Instagram Syanie Hisham

    

"Bagaimanapun, dengan usia dan saiz begini, saya sangat takut dengan apa yang bakal berlaku. Ya, saya mungkin telah menjalani banyak pembedahan berbanding orang lain.

"Mungkin ada yang terfikir saya sudah terbiasa dengan situasi begini tapi percayalah, kali ini ia sangat berbeza.

"Fikiran saya ketika itu bercelaru dan hanya fikirkan perkara yang terburuk boleh terjadi," katanya yang meraikan ulang tahun kelahiran ke 46 pada Khamis.

Berbekalkan kasih sayang dan kata-kata semangat anggota keluarga membuatkan pelakon Gila-Gila Pengantin ini berasa bersyukur mempunyai insan terdekat yang sentiasa menyokongnya di sisi.

"Saya bersyukur keluarga saya ada bersama terutamanya adik saya, Ayin yang asyik marahkan saya (cara dia menunjukkan seolah-olah dia kuat walaupun saya tahu dia juga sedang bersedih) dan menyuruh saya untuk berfikiran positif dan sentiasa ingat pada Allah.

"Satu-satunya perkara yang membuat saya sebak apabila ibu berkata yang ibu boleh cari duit tapi tidak akan jumpa anak perempuan seperti saya jadi ibu pesan supaya jangan bersedih dan sentiasa ingat Allah, zikir dan selawat.

"Tak lupa juga adik beradik yang lain serta ipar duai. Mereka semua ada cara masing-masing dalam menunjukkan perasaan sayang terhadap saya. Mereka juga akan pastikan saya sentiasa tenang," katanya.

Di kesempatan sama, beliau merakamkan ucapan penghargaan kepada netizen yang mendoakan kesejahteraannya, sekaligus menyimpan harapan agar kesihatannya dapat kembali pulih seperti sediakala.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan dan terus menyokong saya, kepada doktor-doktor yang saya anggap seperti hero, keluarga kerana menyayangi, menjaga dan meyakinkan saya.

"Terima kasih Ya Allah untuk timeline baru yang Engkau berikan. Saya berdoa dan berharap agar ia menjadi sesuatu yang lebih baik. InsyaAllah," katanya.

    

Sumber berita: Syanie selamat jalani pembedahan buang rahim dan ovari selama 7 jam - “Fikiran bercelaru hanya fikir perkara buruk”

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)